Agama Islam begitu menitikberatkan persoalan berhemat dalam membelanjakan harta atau wang, dan Islam menegaskan agar umatnya tidak melakukan pembaziran yang hanya akan mendatangkan kerugian. Pembaziran diambil dari kalimah Bahasa Arab iaitu yang bermaksud membazir atau boros. Manakala dari sudut istilah Syarak pula membawa maksud sesuatu yang dikeluarkan pada jalan yang bukan hak (kebenaran).
Ibnu Mas’ud menjelaskan bahawa pembaziran adalah perbuatan menafkahkan (mengeluarkan) atau menggunakan harta pada jalan maksiat yakni tidak pada jalan yang diperintahkan oleh Allah SWT dan tidak berlandaskan tuntutan sunnah Rasulullah SAW.
Manakala Ibnu Kathir pula mentakrifkan pembaziran sebagai perbuatan mensia-siakan nikmat Allah kepada perkara-perkara maksiat yang melanggar perintah Allah SWT.
Dalam membincangkan tentang konsep pembaziran, ramai di kalangan kita yang tersalah anggap hingga menyempitkan ruang lingkup pembaziran kepada wang dan harta benda sahaja. Sesungguhnya konsep pembaziran itu sangat luat skopnya dan ruang perbincangannya mencakupi perkara-perkara bersifat material (kebendaan) dan bukan material.
Perkara-perkara yang berbentuk kebendaan meliputi harta benda seperti wang ringgit, makanan, minuman, pakaian, air, tenaga (elektrik dan minyak petrol) dan sebagainya. Manakala pembaziran dari sudut bukan material pula termasuklah tenaga, masa, perbuatan manusia, kuasa, usia dan sebagainya.
Harta benda, wang, pakaian, kenderaan, kediaman, tenaga, masa dan sebagainya itu adalah nikmat pemberian Allah SWT yang wajar kita hargai dengan memanfaatkannya ke jalan yang baik.
Sekiranya perkara-perkara tersebut dipergunakan pada jalan sia-sia serta dilarang oleh Allah SWT, maka ia termasuk di dalam pembaziran. Mereka yang suka membazir dan boros ini sebenarnya tergolong di dalam kalangan orang-orang yang tidak tahu bersyukur dengan nikmat pemberian Allah SWT(kufur nikmat).
Islam amat melarang umatnya melakukan pembaziran sehingga Allah SWT menyifatkan orang-orang yang suka membazir itu sebagai saudara syaitan. Firman Allah SWT yang bermaksud, “Sesungguhnya orang-orang yang melakukan pembaziran itu adalah saudara-saudara syaitan, sedang syaitan itu pula adalah makhluk yang sangat kufur kepada Tuhannya” (Surah al-Isra’: 27).
Allah SWT menggariskan panduan kepada manusia dalam soal makan dan minum supaya tidak berlaku pembaziran. Firman-Nya yang bermaksud, “…dan makanlah serta minumlah dan jangan pula kamu berlebih-lebihan. Sesungguhnya Allah SWT tidak suka orang-orang yang berlebih-lebihan” (Surah al-A’raf: 31).
Dalam masyarakat Islam kita, perbuatan membazir ini berlaku dalam pelbagai keadaan. Pembaziran berlaku bukan sahaja dari sudut makan minum, malah yang lebih parah lagi ialah dari sudut pembaziran masa, tenaga muda dan umur.
Jika pembaziran dari sudut makan minum itu dapat kita lihat dengan terbuangnya makanan dan minuman ke dalam tong sampah, tetapi pembaziran dari sudut masa dan umur (usia) pula seringkali tidak kita sedari kerana tidak dapat dinilai dengan mata kasar. Kegiatan melepak, berpeleseran dan berbual-bual kosong adalah antara perbuatan yang sia-sia, malah mungkin boleh mengundang dosa jika ada unsur-unsur maksiat di dalamnya.
Justeru, perlu kita fahami bahawa segala nikmat termasuk nikmat masa, usia, harta, ilmu, tubuh badan dan sebagainya akan disoal dan dipertanggungjawabkan oleh Allah ke atas kita di akhirat kelak. Sabda Rasulullah s.a.w. yang bermaksud, “Tidak akan berganjak dua tapak kaki manusia pada hari kiamat sehingga dia disoal tentang empat perkara. Mengenai umurnya, ke manakah dihabiskan umurnya? Mengenai ilmunya, apakah yang sudah dilakukan dengan ilmunya? Mengenai hartanya, dari sumber manakah dia perolehi dan ke jalan manakah dia belanjakan? Dan tentang tubuh badannya, apakah yang telah dia lakukan?” (HR Tirmizi).
Orang yang mengerti nilai waktu tidak sanggup membiarkan waktunya habis dengan percuma, tetapi dipenuhi dengan amal-amal yang berguna kerana dia sedar waktu itu adalah umurnya. Berlalunya waktu tanpa sebarang pengisian yang baik bererti sia-sia umurnya itu. Pepatah Arab ada berkata, ”Waktu itu sangat berharga, maka jangan engkau habiskan kecuali untuk sesuatu yang berharga juga”.
Pembaziran masa sering berlaku jika kita tidak bijak menguruskannya. Terdapat segelintir di kalangan masyarakat kita yang suka menghabiskan masa dengan sia-sia. Bagi yang bekerja, mereka kadang-kadang mencuaikan masa dan sengaja melengahkan tugas atau kerja yang diberikan kepadanya. Tidak merancang tugasan, agihan tugas yang tidak sistematik, menyerahkan tugas kepada orang yang bukan ahlinya dan sikap pekerja sendiri yang tidak bermotivasi serta tidak mementingkan nilai masa adalah antara faktor yang menyumbang ke arah pembaziran masa.
Lebih teruk lagi apabila pembaziran masa yang dilakukan itu mengakibatkan berlakunya kelemahan pengurusan, merosotnya produktiviti, kurangnya kualiti serta perjalanan pentadbiran yang tidak sistematik dan produktif.
Rasulullah SAW sendiri menasihati umatnya agar meninggalkan apa yang tidak berfaedah bagi kehidupan dunia dan agamanya sama ada berupa perkataan yang sia-sia atau perbuatan yang tiada manfaat yang hanya menghabiskan masa dan umur dengan percuma.
Sabda baginda daripada Abu Hurairah R.A yang bermaksud, “Sebahagian daripada kebaikan keislaman seseorang ialah meninggalkan sesuatu yang tidak bermanfaat baginya” (H.R al-Tirmizi).
Justeru, perjalanan hidup Rasulullah s.a.w. dan para sahabat baginda adalah teladan yang terbaik untuk diikuti merangkumi hal-hal pengurusan kenegaraan, perniagaan, ekonomi, peperangan, hal ehwal rumahtangga dan kekeluargaan. Kesemuanya itu baginda uruskan dengan baik tanpa adanya pembaziran.
Lantaran itu, wajiblah bagi kita umat Islam menghindarkan diri dari pembaziran sama ada yang melibatkan wang, harta, masa, tenaga, usia dan sebagainya supaya kita tidak tergolong dalam golongan mereka yang dibenci dan dimurkai Allah. Hargailah segala nikmat kurniaan Allah dengan menggunakannya secara wajar, berhemah, bersyukur, berjimat dan memanfaatkannya ke jalan yang diredhai Allah SWT.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Sila Tinggalkan Komen Disini