Daripada Saidina Ali Abi Talib, Rasulullah bersabda: “Bahawa seseorang lelaki yang berkata dengan suatu perkataan supaya orang tertawa, maka sebab yang sedemikian itu, dilemparkan dia di dalam neraka jahannam selama 70 tahun.”
Lukman Al-Hakim mewasiatkan kepada anaknya: “Janganlah engkau terlalu mudah ketawa kalau bukan perkara yang menggelikan hati, jangan menanyakan sesuatu yang tidak ada gunanya bagi diri kamu dan jangan engkau mensia-siakan harta dunia kamu.”
Banyak bercakap atau banyak membuatkan orang ketawa termasuk dalam sifat tercela. Bukanlah ia bermaksud kita tidak boleh ketawa langsung tetapi ketawalah seperti ketawa nabi, iaitu sekadar menampakkan gigi putihnya dan tidak terbahak-bahak.
Banyak bercakap adalah perbuatan sia-sia, melainkan percakapan itu mendatangkan manfaat dan berpesan-pesan mengenai hal kebaikan antara satu sama lain, itu adalah dituntut.
Saidina Ali Abi Talib berkata bahawa Rasulullah bersabda: “Barang siapa banyak cakapnya, sedikit malunya dan sedikit wara’nya(mudah membuat yang haram), matilah hatinya. Maka dia akan hidup berbuat barang sekehendak hatinya.”
Ini bererti hidup mereka penuh dengan kelalaian dan ini menyebabkan hatinya mati, tidak suka atau tidak ingin kepada mengingati Allah melainkan sedikit sangat.
Kepada mereka yang ingin mengambil pengajaran ini, maka elakkan diri kita daripada mengambil mudah perkara yang difikirkan remeh tetapi besar bahayanya.
Oleh itu ambillah panduan daripada Rasulullah iaitu ‘duduk bersendirian itu lebih baik daripada mendekati orang durjana, sedang bergaul dengan orang yang baik(soleh) itu lebih baik daripada duduk sendirian.’
Maksud hadis di atas ialah hendaklah kita bergaul dengan orang yang banyak mengingati Allah dan hindarkan diri kita daripada orang yang lalai.
Wasiat Lukman AL-Hakim: “Wahai anakku! Bergaul mesralah kamu dengan orang alim dan berilmu. Perhatikan kata-kata nasihat mereka kerana sesungguhnya akan sejuk hati kamu bila mendengarnya. Hidupkan hati kamu dengan cahaya hikmah yang diperoleh daripada mutiara kata-kata alim ulama kerana nasihat mereka bagaikan tanah yang disirami hujan.”
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Sila Tinggalkan Komen Disini