IBLIS datang kepada Nabi Musa dan berkata, “Engkaulah yang dipilih Allah untuk risalah dan langsung berkata-kata kepadamu, sedang aku seorang makhluk biasa, yang ingin juga bertaubat kepada Tuhan, maka tolonglah aku semoga dapat diterima taubatku”.
Nabi Musa gembira, lalu Baginda mengambil wuduk, bersolat dan berdoa, ” Ya Tuhan, iblis seorang makhluk-Mu, ia akan bertaubat, maka terimalah taubatnya”. Maka diturunkan wahyu kepada Musa, “Ya! Musa, dia tidak akan bertaubat”. Jawab Musa, “Ya! Tuhan, dia minta taubat”.
Maka turun wahyu kepada Musa, ” Aku terima permintaanmu Musa, maka suruhlah ia (Iblis) sujud kepada kubur Adam, maka Aku akan menerima taubatnya.”
Nabi Musa sangat gembira, dan menyampaikan suara wahyu itu kepada Iblis, tiba-tiba iblis marah dan sombong serta berkata, “Aku tidak akan sujud kepadanya (Adam) pada masa hidupnya, bagaimana akan sujud sesudah matinya? Lalu Iblis berkata, “Hai Musa, kerana engkau menolong aku kepada Tuhan, maka kini engkau berhak mendapat hadiah dariku,” Aku berpesan kepadamu tiga perkara:
- Ingatlah kepadaku (Iblis) ketika marah, sebab aku di dalam tubuhmu mengikut saluran darah.
- Ingatlah kepadaku ketika menghadapi musuh perang sebab aku datang kepada anak Adam mengingatkan kepadanya keadaan isteri dan anak-anaknya serta hartanya, sehingga ia lari ke belakang (meninggalkan perjuangan).
- Awaslah, jangan duduk sendirian dengan wanita bukan muhrim, sebab aku sebagai utusannya (perantaraan) kepadamu dan urusannya kepada kamu.Kejadian di atas adalah pedoman kepada manusia supaya tidak mengikut arahan iblis yang sentiasa mahu merosakkan keturunan Adam.Peristiwa ini juga mengingatkan supaya lelaki dan wanita mengetahui batasan pergaulan, kerana yang ketiga di antara mereka adalah iblis.
Sumber: Abullaits Assamarqandi, Tanbihul Ghafilin
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Sila Tinggalkan Komen Disini