Miskin hati, iman lebih parah daripada tiada harta.
MANUSIA
mempunyai dua tugas utama sebagai hamba dan khalifah Allah SWT.
Bagaimanapun, Allah SWT dengan kasih sayangnya tidak membiarkan
hamba-Nya yang beriman dalam keadaan terbeban dengan cara mengurniakan
panduan penting iaitu al-Quran dan al-Sunnah.
Manusia
harus ada Allah SWT dan Rasul dalam hatinya yang menjadi kekuatan dalam
kehidupan. Adanya Allah dan Rasul, maka tidak akan ada lagi kebejatan
sosial, kepincangan politik dan kemelesetan ekonomi.
Sekiranya kita ada ilmu, ilmu akan menjaga kita, tetapi sekiranya kita ada banyak harta, kita yang akan menjaga harta.
Islam
menekankan kejayaan dunia hingga akhirat dan kerana itu Islam
menyediakan panduan berkaitan setiap aspek urusan supaya umat dapat
menggunakannya sebaik mungkin termasuklah dalam soal mengurus
kemiskinan.
Kemiskinan
sering dilihat sebagai keadaan yang menyusahkan, tetapi sebenarnya
tidak. Kemiskinan mampu memberikan pulangan positif kepada kesaksamaan
dari sudut kestabilan ekonomi.
Bayangkan
jika semua kaya, apa akan jadi pada sebuah negara? Sudah tentu berlaku
lambakan duit yang menyebabkan inflasi dan nilai wang itu akan menjadi
rendah. Inflasi juga menyebabkan barangan asasi menjadi mahal dan boleh
terjadi untuk membeli sebuku roti memerlukan segenggam duit kertas.
Bagaimanapun,
mustahil sebuah negara itu dihuni oleh semua masyarakatnya yang miskin.
Secara logiknya, jika ada orang miskin sudah tentu ada orang kaya.
Malaysia mempunyai paras kemiskinan yang tertentu berbanding negara
lain.
Gaji
minimum ditetapkan di bandar besar seperti Kuala Lumpur ialah RM1,500,
dan mereka yang berada di bawah paras itu dianggap miskin. Maka, istilah
kemiskinan itu subjektif dan tidak boleh diukur hanya melihat kepada
pendapatan saja.
Kemungkinan,
gaji bulanan hanya RM1,000, tetapi mereka mempunyai punca pendapatan
lain daripada hasil perniagaan sambilan menjadikan hasil pendapatan
bulanan mencecah jumlah RM2,500.
Pengamalan
ideologi kapitalis, harta cenderung bertumpu kepada golongan yang kaya,
manakala orang miskin cenderung menjadi lebih miskin. Maka, kemiskinan
tidak dapat dihapuskan.
Bagaimana
cara untuk mengurangi kadar kemiskinan? Ada pandangan mengatakan
kemiskinan bukanlah suatu masalah perlu ditangani dengan memberikan wang
ringgit sebagai keperluan peribadi semata-mata, tetapi ia berhubung
kait dengan isu (qalbi) atau hati.
Allah
SWT berfirman bermaksud: “Oleh itu, bukankah ada baiknya mereka
mengembara di muka bumi supaya dengan melihat kesan-kesan itu, mereka
menjadi orang ada hati yang dengannya mereka dapat memahami, atau ada
telinga yang dengannya mereka dapat mendengar. (Tetapi kalaulah mereka
mengembara pun tidak juga berguna) kerana keadaan yang sebenarnya
bukanlah mata kepala yang buta, tetapi yang buta itu ialah mata hati
yang ada di dalam dada mereka.” (Surah al-Hajj, ayat 46).
Kemiskinan
bukanlah penghalang utama kepada kemajuan negara, tetapi kemiskinan
perlu diolah mengikut situasi semasa. Kadang-kadang kemiskinan mampu
memberi ketenangan berbanding hidup dalam kekayaan.
Kemunduran
sesebuah negara berlaku apabila adanya masyarakat yang bukan saja
miskin dari segi harta, bahkan miskin dari segi hati dan keimanan.
Inilah yang dinamakan miskin, miskin dan miskin. Namun, tidak dinafikan
kemiskinan boleh melambatkan kemajuan negara.
Apabila
malas telah menguasai diri, ia akan merebak kepada sifat mazmumah yang
lain. Malas boleh menjadi punca kepada jenayah lebih besar seperti
dadah, judi dan lain-lain. Malas juga boleh menyebabkan keruntuhan rumah
tangga kerana apabila malas bekerja sudah tentu tiada wang.
Kemiskinan
selalunya berpunca daripada kemiskinan ilmu pengetahuan. Ketiadaan
ilmu, masyarakat mudah tertipu dengan pelbagai skim cepat kaya
menyebabkan mereka jatuh bankrap. Ketiadaan ilmu juga boleh menyebabkan
masyarakat terpinggir daripada arus kemodenan seterusnya menjadi penat
dalam mengejar kemajuan.
Sebenarnya
bukan semua orang bernasib baik menjadi kaya dengan hanya berniaga.
Ramai juga yang kecundang. Walaupun begitu, dengan adanya ilmu kita
tidak akan mudah jatuh miskin.
Saidina
Ali berkata: “Sekiranya kita ada ilmu, ilmu akan menjaga kita, tetapi
sekiranya kita ada banyak harta, kita yang akan menjaga harta.”
Namun,
untuk memastikan ilmu itu tidak menjadi sia-sia semestinya kemajuan
negara haruslah dibina ke arah kebaikan bukan dibina ke arah
kemungkaran. Itulah jalan yang mampu menyelesaikan masalah miskin,
miskin dan miskin.
Berdasarkan
zaman pemerintahan Umar Abdul Aziz, tidak ada orang yang ingin menerima
zakat. Hal itu bukan kerana kemiskinan sudah tidak wujud, tetapi
disebabkan rasa malu untuk menerima zakat. Ia lahir daripada hati yang
bersifat qanaah iaitu berasakan cukup.
Kemiskinan
bukan hanya disebabkan kekurangan harta semata-mata, tetapi sebenarnya
disebabkan kemiskinan iman dan takwa kepada Allah SWT. Apabila jiwa kaya
automatik harta akan meningkat disebabkan iman dan takwa mampu
meningkatkan kesungguhan untuk bekerja.