Al-Imam Al-Ghazali berkata: “Carilah hatimu di tiga tempat. Pertama
ketika membaca al-Quran, kedua ketika sembahyang dan ketiga ketika
engkau mengingati mati. Jika pada tiga tempat itu kamu tidak menemukan
hatimu maka pohonkanlah kepada Allah agar Ia memberimu hati kerana
sesungguhnya kamu ketika itu tidak memiliki hati.”
Kejayaan seseorang bergantung pada usahanya mengenal Allah, dan tiada
jalan yang paling dekat untuk mengenal Allah selain mempelajari
al-Quran. Dunia hanya boleh direbut dengan kekuatan dari Allah, tanpa
bergantung kepada-Nya manusia tidak akan mendapat apa yang diimpikan.
Kejayaan ialah sejauh mana seseorang mengikat dirinya dengan Allah
Taala dengan ikatan yang kuat. Maka al-Quran yang menjadi ikatan antara
hamba dengan Allah Taala. Melaluinya seseorang pandai memilih yang hak
dari yang batil, dia mengetahui jalan terang dan mengikuti petunjuk
al-Quran.
Meneroka dunia dan mengurus diri dan masyarakatnya melalui bimbingan
wahyu. Dia lahir menjadi manusia yang jujur, kuat bekerja dan memiliki
misi jelas dalam hidupnya kerana diniatkan segala pekerjaan itu sebagai
ibadah kepada Allah.
Siapa yang bergantung kepada selain Allah dia tidak akan mendapat
faedah dari pergantungannya itu. Ibnu al-Qayyim berkata: “Ketika manusia
bergantung kepada dunia, gantungkanlah dirimu hanya kepada Allah.
Ketika manusia bergembira kerana dunia, jadikanlah dirimu bergembira
kerana Allah. Ketika manusia mencari bahagia dengan kekasih-kekasih
mereka, carilah bahagia dengan mencintai Allah dan ketika manusia pergi
menghadap raja-raja dan pembesar mereka pergilah menuntut hajatmu hanya
kepada Allah.”
Sesungguhnya ibadah yang menghampirkan manusia dekat kepada Allah
adalah sujud, permintaan yang tidak akan ditolak adalah doa yang ikhlas
dan proses pembersihan dosa yang dilakukan terus-menerus adalah
sembahyang.
Sembahyang adalah sumber tenaga yang diperlukan untuk menghadapi
perjalanan hidup yang mencabar. Sembahyang yang berkualiti boleh
melahirkan jiwa yang reda sekali gus kuat berikhtiar semata-mata mahu
berlumba melakukan amal saleh dan membina kehidupan di dunia.
Antara tanda kebijaksanaan orang mukmin ialah pandai merancang masa
depan. Bukan hanya pandai melipatgandakan harta dan membina istana
tetapi jauh pandangannya hingga menembusi alam akhirat.
Pernahkah anda merancang bagaimana menghabiskan masa muda dan
melewati masa tua dengan ketinggian ilmu dan persediaan amal, akhirnya
merancang untuk mati dengan tenang? Mengingati mati boleh menghidupkan
hati, menyuntik semangat untuk beramal lebih baik dari kelmarin,
menumbuhkan rasa takut dan harap kepada Allah seterusnya menggugah hati
sentiasa bertaubat.
Jika ramai manusia berlumba-lumba menghadiri pesta keriangan,
memenuhi pasar dan mengunjungi tempat peranginan indah, tidak salah jika
kita menjadikan ziarah kubur sebagai aktiviti rutin yang boleh
mengingatkan diri kepada kematian seperti Rasulullah SAW yang melazimi
ziarah kubur dan mendoakan kaum muslimin tidak kira siang ataupun malam
hari.
Dengan membaca Al-Quran, solat dan mengingati mati seorang mukmin
telah melakukan penjagaan yang rapi terhadap hatinya. Bagaimanakah pula
keadaan orang yang tidak memiliki ketiga-tiga cahaya hati ini? Mesti
hidupnya hampa, jika kaya pasti merana, miskin pula terseksa, jika jahil
tersesat, kalau alim ilmunya pula tidak bermanfaat.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Sila Tinggalkan Komen Disini