Hati jatuh cinta kepada Tuhan sentiasa basahi bibir dengan kalam suci, zikrullah
HATI adalah sumber kebaikan dan keburukan seseorang. Apabila hati
penuh dengan ketaatan kepada Allah SWT, maka perilaku seseorang akan
penuh dengan kebaikan. Sebaliknya, apabila hati seseorang penuh dengan
hawa nafsu, maka yang akan muncul dalam perilaku seseorang adalah
keburukan dan kemaksiatan. Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:
“Sesungguhnya di dalam badan seseorang manusia itu, ada seketul darah.
Jika ia baik, maka baiklah seluruh badannya, jika ia buruk, maka
buruklah seluruh badannya, ketahuilah ia adalah hati.” (Riwayat Bukhari
dan Muslim)
Keburukan dan kemaksiatan ini akan datang apabila hati seseorang
berada dalam keadaan jauh dari mengingati Allah SWT. Ulama’ berkata,
“Apabila hati seseorang itu jauh daripada mengingati Allah, maka syaitan
dengan serta-merta akan masuk ke dalam hati seseorang dan
mempengaruhinya untuk berbuat keburukan”.
Hati yang dimasuki syaitan adalah hati yang sakit. Inilah yang
disebut sebagai ciri-ciri orang yang munafik. Firman Allah SWT dalam
Surah Al-Baqarah ayat 10 bermaksud:
“Dalam hati mereka (golongan yang munafik itu) terdapat penyakit
(syak dan hasad dengki), maka Allah tambahkan lagi penyakit itu kepada
mereka; dan mereka pula akan beroleh azab seksa yang tidak terperi
sakitnya; dengan sebab mereka berdusta (dan mendustakan kebenaran).
Oleh kerana itu, hati seseorang mukmin harus sentiasa dijaga daripada
dipengaruhi syaitan, dengan berada dalam sikap taat kepada Allah SWT.
Inilah yang disebut sebagai hati yang istiqamah.
Imam al-Qurtubi berkata ‘Hati yang istiqamah adalah hati yang
senantiasa lurus dalam ketaatan kepada Allah SWT baik berupa keyakinan,
perkataan mahupun perbuatan’.
Hati insan yang sentiasa terpaut kepada mengingati Allah SWT adalah
hati yang dicampakkan kepadanya as-Sakinah iaitu ketenangan. Dalam hal
ini Allah SWT berfirman, di dalam Surah Ar-Ra’d ayat yang ke-28:
“(Iaitu) orang-orang yang beriman dan tenang tenteram hati mereka
dengan zikrullah. ketahuilah dengan zikrullah itu, tenang tenteramlah
hati manusia.”
Bagi orang yang hatinya jatuh cinta kepada Allah SWT, maka ia lebih
suka berbicara dengan Allah SWT, dengan membaca kalam-Nya, lebih suka
bercengkerama dengan Allah SWT dalam iktikaf, dan lebih suka mengikuti
perintah Allah SWT daripada perintah yang lain.
Begitulah perasaan cinta kepada Allah SWT adalah manifestasi
seseorang hamba yang menyerahkan segala-galanya terhadap Allah. Firman
Allah SWT bermaksud:
“Katakanlah: Sesungguhnya solatku dan ibadatku, hidupku dan matiku,
hanyalah untuk Allah Tuhan Yang memelihara dan mentadbirkan sekalian
alam. (Surah al-An’am ayat 162)
Jika kita kembali kepada sirah baginda Nabi Muhammad SAW, mengapakah
sahabat-sahabat baginda sanggup mengorbankan jiwa raga, turun ke medan
perang demi mempertahankan agama Allah sedangkan mereka tidak ditawarkan
sebarang ganjaran dan kemewahan.
Mengapakah Sumaiyyah sanggup mengorbankan nyawanya demi
mempertahankan akidahnya? Mengapakah Bilal bin Rabah sanggup menahan
seksaan dijemur di tengah padang pasir, di bawah terik mentari demi
mempertahankan kalimah Ahad, yakni Allah yang Esa? Jawapannya, kerana
mereka meletakkan di dalam hati mereka, perasaan cinta kepada Allah
melebihi segala-galanya.
Namun mutakhir ini, hati umat Islam semakin jauh daripada mencintai
Allah. Hati umat Islam ditimpa penyakit al-wahnu iaitu cintakan dunia
dan bencikan kematian seperti sabda baginda SAW yang bermaksud:
“Hampir tiba suatu zaman di mana bangsa-bangsa dari seluruh dunia
akan datang mengerumuni kamu bagaikan orang-orang kelaparan mengerumuni
hidangan mereka. Maka salah seorang sahabat bertanya, apakah kerana
jumlah kami yang sedikit pada hari itu?”
“Nabi SAW, menjawab, Bahkan, pada hari itu jumlah kamu banyak sekali,
tetapi kamu umpama buih di lautan, dan Allah akan mencabut ‘rasa
gentar’ terhadap kamu dari hati musuh-musuh kamu, dan Allah akan
melemparkan ke dalam hati kamu penyakit al-wahnu.
“Seorang sahabat bertanya, apakah itu al-wahnu itu, ya Rasulullah?’
Rasulullah SAW menjawab, ‘cinta dunia dan takut mati’.” (Riwayat Abu
Dawud dan Ahmad)
Persoalan yang timbul dalam minda kita sekarang ialah kenapa pada
akhir zaman ini hati umat Islam begitu leka dengan kenikmatan duniawi
hingga melupakan tuntutan ukhrawi? Jawapannya, Imam an-Nawawi dalam
Kitab Nashaihul Ibad menukilkan satu riwayat menyatakan bahawa:
“Empat faktor yang menyebabkan hati menjadi gelap ialah perut yang
sentiasa kenyang dan melebihi had kekenyangan, bersahabat dengan orang
yang zalim, lupa akan dosa-dosa silam dan panjang angan-angan, manakala
empat faktor yang menyebabkan hati terang iaitu perut yang sentiasa
lapar kerana berhati-hati, bersahabat dengan orang salih, mengingati dan
menyesali dosa-dosa silam dan pendek angan-angan.”
Oleh itu, marilah kita semua umat Nabi Muhammad SAW dalam suasana dan
semangat bulan Rabiul Awal, bulan ulang tahun keputeraan baginda
Rasulullah SAW, sedar dan kembali kepada ajaran Islam yang dibawa
Rasulullah serta berlumba-lumba mengamalkan sunnah tinggalan baginda.
Mudah-mudahan kita akan menjadi umat yang cemerlang semasa hidup di
dunia yang sementara ini. Pada masa yang sama sentiasa rindu untuk
bertemu Allah dan akhirnya nanti kita akan melangkah pulang mengadap
Allah Azzawajalla dengan hati yang tenang dan sejahtera.
INFO
Empat faktor hati gelap
Perut sentiasa kenyang dan melebihi hak kekenyangan;
Bersahabat dengan orang zalim:
Lupa dosa-dosa silam dan;
Panjang angan-angan
Empat faktor hati terang
Perut yang sentiasa lapar kerana berhati-hati;
Bersahabat dengan orang salih;
Mengingati dan menyesali dosa-dosa silam dan:
Pendek angan-angan
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Sila Tinggalkan Komen Disini