ABU Rayhan al-Biruni, seorang ahli fizik terkenal yang hidup pada
abad keempat Hijrah, adalah seorang ilmuwan yang amat rajin mempelajari
pelbagai disiplin ilmu sehingga beliau pernah diiktiraf sebagai salah
seorang ilmuwan Muslim yang tersohor.
Pada satu ketika, saat menjelangnya ajal di katil pembaringan,
seorang sahabatnya ahli fikah datang menziarahinya. Bagi al-Biruni, ini
adalah kesempatan terbaik untuknya bertanyakan mengenai pelbagai masalah
dan hukum.
Ahli fikah itu terkejut dan berkata: “Saya fikir pada saat ini
bukanlah waktu yang sesuai untuk tuan berbahas dan berbicara mengenai
ilmu pengetahuan.” Jawab al-Biruni secara terus-terang: “Kamu silap,
wahai sahabatku! Aku fikir adalah lebih baik sekiranya aku mengetahui
masalah dan hukum ini, kemudian aku meninggal dunia, daripada aku tidak
mengetahui sesuatu apa pun, lalu aku meninggal.”
Sebenarnya yang menaruh bimbang dan takut (melanggar perintah) Allah
dalam kalangan hamba-Nya hanyalah orang yang berilmu. (Surah Fatir, ayat
28)
Begitulah cara hidup orang yang berilmu yang sentiasa cintakan ilmu
pada setiap masa dan ketika. Ilmu adalah hidangan rohani kita. Di
samping kita memikirkan kepentingan fizikal dan keperluan jasmani, kita
juga perlu memikirkan hidangan rohani dan keperluan spiritual.
Cucu Rasulullah SAW, Saidina Hussein pernah berkata: “Aku merasa
hairan pada sekelompok manusia yang hanya sibuk memikirkan apa yang
harus dimakan, namun sama sekali tidak berfikir ilmu apakah yang
sepatutnya dimiliki.”
Menyedari akan kepentingan ilmu dalam kehidupan manusia, Islam
mewajibkan setiap Muslim untuk menuntutnya dan mencarinya sebanyak
mungkin selaras dengan sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Menuntut
ilmu adalah fardu kepada setiap Muslim, lelaki mahu pun wanita.”
(Riwayat Ibnu Majah)
Sabda baginda SAW lagi yang bermaksud: “Kelebihan seorang yang
berilmu berbanding dengan seorang yang abid adalah seumpama kelebihan
bulan purnama yang terang benderang di sisi bintang yang bergemerlapan
dan cakerawala yang lain.” (Riwayat Abu Daud dan Tirmizi)
Di dalam al-Quran juga terdapat banyak rangkaian ayat memberi
kemuliaan dan keistimewaan penuntut ilmu dan pencintanya. Antaranya,
firman Allah dalam surah al-Mujadalah, ayat 11 maksudnya: “Allah
meninggikan darjat orang yang beriman di antara kamu dan orang yang
diberi ilmu pengetahuan agama (daripada kalangan kamu).”
Dalam al-Quran juga terdapat banyak perintah untuk mempelajari dan
merenung rahsia penciptaan alam, watak manusia, sejarah umat silam dan
hukum-hakam. Sejarah Islam juga merakamkan bahawa beberapa orang kafir
ditawan dalam Peperangan Badar, diberikan peluang Rasulullah SAW untuk
dibebaskan daripada tawanan dengan tebusan.
Namun, terdapat beberapa orang saja yang boleh membaca dan menulis
yang mendapat peluang diberikan itu, iaitu mengajarkan ilmu kepada
pemuda Islam.
Oleh sebab itu, ilmu pengetahuan mempunyai kedudukan yang tinggi dan
istimewa di sisi Allah yang mana ia terbukti melalui pengiktirafan Allah
terhadap ilmu melalui wahyu pertama Ilahi kepada junjungan besar
Rasulullah yang memerintahkan baginda mempelajari ilmu dan
menitikberatkan kepentingan pembelajaran dalam setiap aspek kehidupan
manusia.
Firman Allah SWT dalam surah al-‘Alaq, ayat satu hingga lima yang
bermaksud: “Bacalah (wahai Muhammad) dengan nama Tuhanmu yang
menciptakan (sekalian makhluk). Dia menciptakan manusia daripada sebuku
darah beku. Bacalah dan Tuhanmu yang Maha Pemurah. Yang mengajar manusia
melalui pena dan tulisan. Dia mengajarkan manusia apa yang tidak
diketahuinya.”
Yang lebih menariknya, Islam menganggap hanya manusia yang dihiasi
dengan ilmu pengetahuan saja adalah golongan yang bertakwa kepada Allah.
Firman Allah yang bermaksud: “Sebenarnya yang menaruh bimbang dan takut
(melanggar perintah) Allah dalam kalangan hamba-Nya hanyalah orang yang
berilmu. (Surah Fatir, ayat 28)
Jelas di sini bahawa ilmu pengetahuan dalam Islam mengandungi satu
kefahaman ilmu yang menyeluruh dan bersepadu yang mana antara ilmu dan
nilai-nilainya tidak dapat dipisahkan sama sekali. Termasuk dalam
konteks ini, ilmu sains dan teknologi juga antara cabang ilmu
pengetahuan memberi manfaat dan faedah amat besar kepada kelangsungan
tamadun manusia.
Malahan Islam menjulang ilmu pengetahuan sebagai mekanisme utama menjurus ke arah kecemerlangan ummah
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Sila Tinggalkan Komen Disini