BERDOA…panjatkan doa kepada Allah s.w.t supaya kita sentiasa beroleh
rahmat dan keampunan serta dimatikan dalam keadaan khusnul khatimah
SETIAP makhluk bernyawa akan merasai kematian namun bila saat
kematian itu akan tiba tiada seorang pun tahu. Yang pasti, giliran kita
menjadi jemputan Allah akan tiba bila-bila masa.
Adakah kita bersedia menghadapinya atau masih lagi lalai hingga terlupa sedetik masa berlalu kematian semakin hampiri kita?
Sering kali juga kita mendengar kematian, tetapi sejauh manakah kita
mengambil iktibar daripada kematian yang berlaku sama ada dalam kalangan
keluarga, sahabat atau jiran tetangga.
Bayangkan ruang di liang lahad yang sempit serta gelap gelita hanya
seorang diri. Tidak ada lagi masa dan peluang untuk memperbaiki
kesalahan lalu.
Ketika itu, kita tidak mampu lagi keluar dan kembali ke dunia nyata untuk bertemu orang yang kita sayangi.
Bagi orang beriman, mereka hendaklah sentiasa berdoa supaya dapat
mengakhiri ‘pengembaraan’ di dunia ini dalam keadaan khusnul khatimah
(pengakhiran yang baik).
Lakukanlah persediaan pada setiap masa untuk bertemu dengan Allah
supaya amalan yang dilakukan di muka bumi ini dikira sebagai amalan
soleh.
Barangkali ada di antara kita pernah menyembahyangkan atau mengusung
jenazah ke tanah perkuburan namun satu hari akan tiba giliran kita yang
akan disembahyangkan serta diusung untuk disemadikan.
Itulah hakikat kematian yang waktunya tidak boleh ditangguhkan atau
dipercepatkan walaupun sesaat. Dalam sebuah hadis menceritakan bagaimana
hendak mengubati hati yang berkarat.
Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud “Sesungguhnya hati manusia
itu akan berkarat seperti mana karatnya besi. Sahabat bertanya kepada
Rasulullah bagaimana hendak mengubatinya Ya Rasulullah? Maka Rasulullah
menjawab: Tilawah al-Quran dan sentiasa mengingati mati” .
Mengingati mati adalah pencuci hati yang cukup berkesan. Apabila
melihat kematian ‘menjemput’ orang terdekat menjadikan kita terdorong
mengetahui hakikatnya.
Dalam mengingati kematian, Al-Ghazali membahagikan manusia kepada
tiga tingkatan iaitu Al-Munhamik, iaitu orang yang tenggelam dalam tipu
daya dan hawa nafsu dunia.
Mereka tidak ingat kematian dan enggan diingatkan mengenai kematian.
Golongan seperti itu tidak mempersiapkan bekalan untuk menghadapi
kematian bahkan hidup mereka terus bergelumang dosa dan maksiat.
Kedua At-Taib, iaitu golongan yang bertaubat memohon keampunan
daripada Allah dan mereka banyak mengingati kematian yang mendorongnya
beramal dan mempersiapkan bekalan menuju akhirat.
Ketiga, Al ‘Arif, iaitu golongan yang mengetahui kedudukan dirinya di
hadapan Allah. Mereka sentiasa mengingati kematian bahkan selalu
menanti saat kematian kerana kematian baginya adalah pertemuan dengan
Allah.
Maka, mengingati mati sebenarnya mendorong seseorang bertindak
positif. Kematian yang baik yang disebutkan Allah di dalam kitab-Nya:
“Hai orang-orang yang beriman bertakwalah kepada Allah dengan
sebenar-benar takwa kepada-Nya dan janganlah kalian mati melainkan
kalian mati dalam keadaan Islam”. (Surah Ali Imran ayat 102).
Pensyarah Jabatan Asas Pendidikan dan Kemanusiaan, Universiti Malaya
(UM), Rahimi Md Saad, berkata kematian adalah hakikat yang akan dilalui
setiap yang bernyawa.
“Mati bukan sesuatu yang perlu ditakuti tetapi yang perlu
dibimbangkan bagaimana keadaan kita semasa menghadapi saat kematian itu.
“Ia berkait rapat dengan persediaan menghadapi alam akhirat yang menjadi kehidupan abadi kita,” katanya.
Beliau berkata sebab itu, zikrul maut atau mengingati mati menjadi
tuntutan kepada setiap manusia supaya mereka menyedari kehidupan dunia
ini pasti ada penamatnya.
“Peluang menyediakan bekalan ke akhirat akan terhenti di saat
kematian kita. Kematian juga mengingatkan kepada alam akhirat yang
memberi ganjaran sama ada ke syurga yang penuh kenikmatan atau
menghadapi seksaan api neraka.
“Setiap manusia mengharapkan syurga Allah namun tiada siapa yang
dapat meyakini mereka layak menerimanya. Keadaan ini pastinya akan
mendorong ke arah peningkatan amalan dan perubahan diri yang lebih
baik,” katanya.
Menurutnya majoriti ulama berpendapat doa meminta kematian sama ada
untuk diri sendiri atau orang lain amat ditegah oleh syarak kerana ia
adalah urusan Allah.
“Penentuan takdir untuk setiap hamba adalah hak Allah s.w.t
sepenuhnya. Sebagai hamba kita hanya perlu akur dengan apa yang
ditakdirkan oleh Allah.
“Manusia perlu sedar nyawa pemberian Allah adalah satu peluang untuk membuat persiapan akhirat yang tidak sepatutnya diabaikan.
“Apa saja ujian yang dilalui dalam hidup adalah untuk menentukan sama
ada kita layak menjadi hamba yang diredhai Allah,” katanya.
Beliau berkata, hakikat yang sering manusia terlepas pandang ialah kesabaran dalam mengharungi situasi sukar.
“Ia lebih mendekatkan diri kita kepada Allah. Tidak wajar sama sekali
seseorang hamba berputus asa dengan rahmat Allah dan berdoa supaya
Allah segera mencabut nyawanya.
“Sebahagian ulama mengharuskan tindakan sedemikian dengan syarat doa
itu dikaitkan dengan kehendak Allah seperti mendoakan, “Ya Allah
matikanlah aku andai kematian itu lebih baik untukku di sisi-Mu”, dan
seumpamanya namun ia pandangan sebahagian kecil ulama saja,” katanya.
Katanya, persiapan menghadapi kematian bukan bererti perlu beriktikaf di masjid tanpa melakukan sebarang pekerjaan lain.
“Persediaan yang perlu dilakukan ialah memastikan tingkah laku dan
perbuatan kita tidak melanggar perintah Allah s.w.t. Andai kita tidak
mampu memperbanyakkan amalan kebaikan cukuplah sekadar mengawal diri
daripada melakukan dosa dan menunaikan segala perintah Allah.
“Allah inginkan kita menjadi hamba yang taat dengan menunaikan yang wajib dan meninggalkan perkara dilarang.
“Amalan sunat pula adalah penyempurnaan kepada kewajipan itu. Jika
mampu, ia satu bonus bagi mengecapi kebahagiaan akhirat namun bukan
halangan mendapat syurga Allah,” katanya.
Menurutnya, Nabi mengajar umatnya doa untuk dijadikan amalan
berterusan bagi memohon kematian berlaku secara baik iaitu doa yang
bermaksud: “Ya Allah, tamatkanlah kehidupan kami dengan penamat yang
baik (husnul khatimah), dan janganlah Engkau tamatkan kehidupan kami
penamat yang buruk (su’ul khatimah)”.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Sila Tinggalkan Komen Disini