Insya-Allah dengan keikhlasan dalam mengerjakan suruhan dan perintah Allah akan diberikan ganjaran setimpal.
Di antara amalan yang dituntut Islam bukan saja pada Rejab, malah setiap masa ialah membaca al-Quran.
Al-Quran adalah kitab suci yang terakhir diturunkan. Kandungan merangkumi segala dasar syariat yang terkandung dalam kitab suci yang diturunkan sebelumnya. Mereka yang mempercayai al-Quran akan berusaha membaca, mempelajari, memahaminya serta mengamalkannya, juga mengajarkan kepada orang lain.
Rasulullah bersabda menyatakan semulia-mulia ibadat ialah membaca al-Quran dan mengajarnya.
Membaca al-Quran adalah amalan mulia, mendapat pahala berlipat ganda pada setiap huruf yang diturunkan. Al-Quran adalah sebaik-baik bacaan bagi mereka yang beriman, sama ada ketika senang atau susah. Selain ibadat yang diberi ganjaran, membaca al-Quran menjadi ubat atau penawar bagi mereka yang gelisah jiwanya.
Seorang lelaki berjumpa Ibnu Mas'ud meminta nasihat untuk dijadikan ubat jiwanya yang sedang resah gelisah, fikiran kusut, tiada selera makan dan tidak boleh tidur seperti biasa.
Ibnu Mas'ud menyatakan bahawa untuk mengubatinya ia menasihati agar sahabat tadi mengunjungi tiga tempat iaitu tempat orang membaca al-Quran. Atau mendengar baik-baik orang yang membaca al-Quran. Pergi ke majlis ilmu yang mengingatkan hati kepada Allah, memohon ketenangan jiwa dan ketenteraman fikiran juga kemurnian hati. Andainya jiwa masih juga tidak terubat dengan cara ini, minta kepada Allah agar diberi hati yang lain, kerana hati yang dimiliki bukan hatinya.
Sahabat itu mengamalkan apa yang disuruh oleh Ibn Mas'ud. Dia pergi mengambil wuduk kemudian membaca al-Quran dengan penuh khusyuk. Selepas sempurna membaca al-Quran, jiwanya dirasa begitu tenang dan tenteram, manakala kegelisahannya hilang sama sekali.
Membaca al-Quran, sama ada memahami ertinya atau tidak adalah ibadat, amalan soleh dan memberi rahmat serta manfaat bagi mereka yang melakukannya.
Memberi cahaya dalam hati, memberi cahaya kepada keluarga juga tempat di mana al-Quran itu dibaca.
Sebuah hadis riwayat oleh Bayhaqi daripada Anas dinyatakan bahawa Rasulullah ada bersabda, maksudnya: “Hendaklah kamu beri nur (cahaya) rumah tangga kamu dengan sembahyang dan dengan membaca al-Quran.”
~MimbarKedah~
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Sila Tinggalkan Komen Disini