Daripada Ibn ‘Abbas katanya Rasulullah s.a.w. bersabda: Kami tidak melihat bagi dua orang yang berkasih sayang seperti perkahwinan. (Ibn Majah: no. 1847)
Jika ada cinta dan kasih di antara dua orang maka itu kasih itu tidak dapat menandingi hubungan perkahwinan yang didiri atas tuntutan syariat. Sebab itu, cinta tidak kena pada tempatnya dan sebelum masanya dikira sebagai penyakit kronik, kerana ia lari dari sifat dan cara asalnya. Sebelum menyintai seseorang atau sesuatu, hendaklah cinta dan kasih kepada Allah bertapak kemas dalam diri. Jika ini ada, maka seseorang tidak akan berani menyintai sesuatu yang tidak harus baginya.
Cinta sebelum berkahwin mengundang pelbagai kemungkinan. Titik permulaannya ialah dia terpesona dengan wanita. Inilah yang dinamakan fitnah. Apabila penyakit terpesona ini menimpai maka akan melarat kepada pertemuan, perbualan, bersunyian. Dari cara yang sederhana kepada yang lebih mesra. Daripada serius kepada senda gurau. Seterusnya dilitupi awan-awan khayalan. Walaupun pada asalnya dia mempunyai niat yang baik namun, niat yang baik tidak sekali-sekali mengharuskan sesuatu yang tidak harus.
Banyak batas-batas syariat yang dilanggar apabila terjerat dalam perangkap cinta:-
1 - Pandangan mata yang tidak dapat dikawal kerana terfitnah dan terpesona akibat panahan mata kekasih.
Katakanlah (Wahai Muhammad) kepada orang-orang lelaki yang beriman supaya mereka menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram), dan memelihara kehormatan mereka. Yang demikian itu lebih suci bagi mereka; Sesungguhnya Allah amat mendalam pengetahuannya tentang apa yang mereka kerjakan. (Surah al-Nur: 30)
Pandangan mata wajib dijaga kerana banyak perkara dan juga masalah lain yang mengikutinya.
2 – Terpesona percakapan dan suara yang lunak
Apa yang selalu berlaku di kalangan pasangan bercinta ialah suka berbual sehingga dalam perkara yang tidak mendatang manfaat sama ada secara bersemuka, talian telefon mahupun internet. Perbualan bukan sekejap.
Wahai isteri-isteri Nabi, kamu semua bukanlah seperti mana-mana perempuan yang lain kalau kamu tetap bertaqwa. oleh itu janganlah kamu berkata-kata dengan lembut manja (semasa bercakap dengan lelaki asing) kerana yang demikian boleh menimbulkan keinginan orang yang ada penyakit dalam hatinya (menaruh tujuan buruk kepada kamu), dan sebaliknya berkatalah dengan kata-kata yang baik (sesuai dan sopan). (Surah al-Ahzab: 32)
Walaupun perintah menjaga kata ditujukan kepada isteri-isteri Rasulullah s.a.w. ia juga merangkumi ummatnya kerana mempunyai illah (sebab hukum yang sama, iaitu kata-kata yang manja dan lunak itu ada pada orang perempuan.
3 - Hati yang menyembunyi pelbagai perasaan
Allah mengetahui pengkhianatan (penyelewengan dan ketiadaan jujur) pandangan mata seseorang, serta mengetahui akan apa yang tersembunyi di dalam hati. (Surah Ghafir: 19)
Allah s.w.t. mengetahui persuatan seseorang mencuri pandangan kepada orang yang bukan mahramnya, dan perasaan jahat atau baik yang yang tersembunyi di dalamnya.
3 - Hawa nafsu bergelora dalam diri
Dan orang-orang yang tidak mempunyai kemampuan berkahwin, hendaklah mereka menjaga kehormatannya sehingga Allah memberi kekayaan kepada mereka dari limpah kurnia-Nya; (Surah al-Nur: 33)
Perintah Allah s.w.t. supaya menjaga kesucian diri dan mengawal hawa nafsu dengan cara menjaga pandangan, bersabar dan berpuasa
Cinta sebelum berkahwin bukan satu jaminan kepada kebahagian akan datang. Alam percintaan adalah sesuatu yang tidak realistik, penuh khayalan dan mengelirukan. Sekian ramai pasangan yang dilamun cinta mendirikan rumah tetapi usia perkahwinan mereka lebih singkat daripada tempoh bercinta. Jika sudah terperangkap maka hendaklah menyegerakan perkahwinan kerana ia satu-satunya jalan pengubatannya.
Jika hati sudah terpesona kepada seseorang atau apabila sudah sampai seru untuk berkahwin, mintalah keluarga pergi untuk merisik calon. Ini lebih beradab dan bertanggungjawab daripada mengemukakan sendiri. Oleh kerana perkahwinan melibatkan banyak aspek kepentingan, tanggungjawab, persaudaraan dan kekeluargaan maka sewajibnya ia dimulakan dengan cara yang betul penuh ketaqwaan bukan terikut-ikut dengan budaya asing. Perkahwinan bukan hanya didirikan atas dasar cinta sahaja tetapi tanggungjawab dan juga amanah.
Dipetik dari Darul Kauthar.net
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Sila Tinggalkan Komen Disini