Khamis, 2 Disember 2010

Gurau Senda



Hidup kita memang selalu dipenuhi dengan gurau senda dengan orang di sekeliling, biasanya kawan-kawan. Mana ada orang yang bergurau dengan dirinya sendiri, betul tak? Maknanya, bila kita bergurau senda, secara tak langsung ia akan melibatkan perasaan orang lain yang mendengar gurauan kita.

Apa yang selalu ada dalam sesebuah gurauan? Lawak yang direka-reka, cerita yang dibuat-buat, perli memerli dan kata mengata antara satu sama lain. Itu antara yang biasa saya temui. Jarang sekali orang bergurau tapi dalam masa yang sama dia tak menipu. Tak sah kalau bergurau, dia tak mengata-ngata (secara bergurau) kepada orang lain.

Kebanyakan kita menganggap gurauan adalah perkara biasa. Ada juga yang menyangka menipu dibolehkan ketika bergurau sebab tak membahayakan orang di sekeliling kita dan apa yang kita guraukan hanya mainan semata-mata, bukan betul-betul, dan bukan niat untuk betul-betul berbohong.

Betulkah persepsi macam ni?

Banyak Ketawa Mematikan Hati


Kita akan ketawa apabila mendengar gurauan yang menggelikan hati. Ya, itu memang sesuatu yang normal.

Tapi, hakikatnya, di situlah akan timbulnya masalah. Gurauan yang melampau-lampau akan menyebabkan kita banyak ketawa.

Dalam Kitab Ihya’ Ulumiddin karangan Imam Ghazali, beliau menyenaraikan senda gurau sebagai salah satu unsur bahaya yang dibawa oleh lidah. Kata beliau,

“Asalnya senda gurau itu tercela dan terlarang, kecuali sekadar sedikit yang dapat dikecualikan daripadanya.” [1]

Ini berdasarkan hadis Rasulullah S.A.W.:

Maksudnya: “Jangan engkau berbantahan dan bergurau dengan saudaramu!”

Kita dibolehkan bergurau senda tetapi jangan berlebih-lebihan. Kenapa? Kerana ia akan mengundang banyak ketawa. Dan banyak ketawa akan mematikan hati. Dan mungkin akan menjatuhkan maruah diri. Kata Imam Ghazali,

“Adapun berlebih-lebihan pada bergurau, maka akan mempusakai banyak tertawa. Dan banyak tertawa itu mematikan hati dan mewarisi kedengkian pada sesetengah keadaan. Dan menjatuhkan kehebatan diri dan kemuliaan. Dan apa yang terlepas dari hal-hal tersebut, maka tidak tercela, sebagaimana diriwayatkan dari Nabi S.A.W. bahawa baginda bersabda:

Maksudnya: “Sesungguhnya aku bersenda gurau dan aku tidak mengatakan, selain yang benar.” [2]

Kita biasa dengar,

“Isy dia ni. Ketawa sampai tak ingat dunia!”

Hakikatnya begitulah keadaan orang yang ketawa berlebih-lebihan. Larut dalam dunia ketawanya. Sampai lupa dan tak sedar apa yang berlaku di sekelilingnya. Dan lebih parah lagi, ketawanya itu juga menunjukkan kelalaian dari mengingati akhirat.

Nabi S.A.W. bersabda:

Maksudnya: “Jikalau kamu tahu apa yang aku tahu, nescaya pasti kamu banyak menangis dan sedikit ketawa.” [3]

Nilai Gurauan vs Nilai Persaudaraan


Ketawa memang seronok. Tapi menjadi bahan ketawa sangat menyakitkan hati. Hakikatnya, itulah yang selalu ada dalam sesebuah gurauan - mentertawakan orang lain.

Kita mungkin sekadar main-main, kata orang menyakat. Tapi, siapa tahu apa yang dirasai ‘watak utama’ kisah gurauan tersebut?

Mungkin tak kisah, mungkin marah, mungkin kecil hati dan mungkin terus tak bertegur sapa.

Gurauan yang dianggap sekadar main-main boleh menjadi bibit kepada pergaduhan, pertengkaran, tak bertegur sapa dan permusuhan yang berpanjangan antara sesama Muslim. Begitu murahkah nilai persaudaraan dalam Islam sehingga kita sanggup menggadaikannya dengan kata-kata gurauan dan mainan yang langsung tiada nilai di sisi Allah?

Rasulullah S.A.W. sendiri telah memberi amaran dalam sabda baginda:

“Sesungguhnya orang yang berkata-kata dengan suatu perkataan untuk mentertawakan teman-teman duduknya, akan jatuh dalam api neraka, lebih jauh dari bintang surayya.”

Jujur dalam Berjenaka dan Gurau Senda


Sedarkah kita, ketika bergurau senda dengan rakan-rakan, kita mungkin dah berbohong? Berbohong di sini bukan bermaksud betul-betul bercakap bohong. Tapi, hanya sekadar cakap main-main; atau kata orang sekadar mengacah saja.

Soalnya, betul ke kita tak boleh menipu walaupun dengan hanya niat untuk bergurau? Nama pun gurauan, jadi kita bukan berniat untuk betul-betul menipu, hanya sekadar main-main dan tak berniat untuk memudharatkan sesiapa. Dan biasanya, akhir sekali, kita mesti akan cakap,

“Aku main-main je la…”

“Aku tipu engkau je tadi. Saja nak tengok macam mana reaksi engkau.”

Kalau diikutkan logik akal pendek kita, mungkin tidak ada salahnya. Tapi, mari kita teliti sabda Rasulullah S.A.W. :

“Hendaklah kamu jujur. Sesungguhnya kejujuran menunjuk kepada kebaikan. Dan kebaikan menunjuk kepada syurga. Seorang lelaki terus jujur dan mencari kejujuran sehinggalah dia dicatatkan di sisi Allah sebagai seorang yang sangat jujur. Berwaspadalah terhadap dusta. Sesungguhnya dusta menunjuk kepada kejahatan. Dan kejahatan menunjuk kepada neraka. Seorang lelaki terus berdusta dan mencari pendustaan sehingga dia dicatat di sisi Allah sebagai seorang yang sangat berdusta." [4]

“Celakalah orang yang memperkatakan sesuatu agar orang lain ketawa, lalu dia berdusta. Celakalah untuknya. Celakalah untuknya.” [5]

Apa pun tujuan kita, pendustaan sesekali tidak dibenarkan walaupun hanya untuk bergurau dan berjenaka. Islam mengharuskan gurau senda, keceriaan dan hiburan jiwa, tetapi tidak menjadikannya sebagai pembuka jalan kepada kita untuk berdusta.

Jadi, kalau nak bergurau, pastikan gurauan kita tak ada unsur-unsur penipuan dan pendustaan. Sebagaimana sabda Rasulullah S.A.W.:

Maksudnya: “Sesungguhnya aku bersenda gurau dan aku tidak mengatakan, selain yang benar.” [6]

Macam mana cara yang betul untuk bergurau? Mari kita susuri sirah Nabi Muhammad S.A.W., bagaimana cara baginda bergurau senda dengan orang-orang di sekeliling baginda.

Suatu hari, seorang lelaki telah datang kepada Rasulullah S.A.W., meminta tunggangan daripada baginda kerana hendak pulang ke negerinya. Apabila Nabi mendengar permintaan lelaki itu, baginda bersabda: “Sesungguhnya aku akan menunggangkanmu di atas anak unta.” Padahal, pada waktu itu Nabi berkata demikian hanya dengan tujuan untuk bergurau.

Apabila lelaki itu mendengar kata-kata Nabi, dia merasa susah hati kerana memikirkan bagaimana anak unta yang kecil dan lemah boleh ditunggang untuk perjalanan yang jauh. Lalu, lelaki itu berkata, “Apa yang boleh aku buat dengan seekor anak unta? Kalau kamu berikan pada aku, tentulah menjadi beban dan hanya menambahkan kesusahan saja, sebab ia masih kecil dan tidak boleh ditunggang.”

Maka Rasulullah S.A.W. berkata, “Adakah yang melahirkan unta itu selain daripada unta betina? Maka itulah yang mahu aku berikan kepadamu iaitu unta besar yang asalnya dilahirkan oleh ibunya.” [7]

Lihat bagaimana cara Rasulullah S.A.W. menjaga adab-adab dalam bergurau senda. Baginda tidak sesekali menipu orang yang diajak bergurau, sebaliknya cara baginda ada ‘seninya’ yang tersendiri.

Sayyidina Umar r.a. pernah berkata: “Tahukah kamu mengapa dinamakan gurau senda (al-muzaah) dengan kata-kata al-muzaah?” (maksud asal al-muzaah: alih).

Mereka itu menjawab: “Tidak!”

Maka Umar r.a. menjawab: “Kerana senda gurau (al-muzaah) itu, mengalihkan orang yang bergurau daripada kebenaran.”

Jadi, berwaspadalah kita dalam setiap gurauan dan kata-kata kita. Setiap apa yang dituturkan oleh kita akan dipertanggungjawabkan ke atas diri kita di akhirat kelak. Gurau senda mampu menghiburkan jiwa dan boleh mengeratkan hubungan sesama Muslim, tapi andai tidak kena caranya, gurau senda boleh melontarkan kita ke dalam azab neraka. Na'uzubillahi min dzalik.

~Wallahu a'lam~

Nota kaki:

[1] Ihya' Ulumiddin, Imam Ghazali, Jilid 4, Bab Bahaya Lidah.
[2] Riwayat Ibnu Abid-Dun-ya dari Abu Hurairah.
[3] Riwayat Bukhari dan Muslim dari Anas dan 'Aisyah r.a.
[4] Riwayat Bukhari dan Muslim.
[5] Riwayat at-Tirmizi.
[6] Riwayat Ibnu Abid-Dun-ya dari Abu Hurairah.
[7] Riwayat Abu daud dan at-Tirmizi dari Anas, Hadis shahih.
tenkiu kt kekawan yg sudi membce entry kt cni..like klo ske bce

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Sila Tinggalkan Komen Disini

Copyrigt@Segala Yang Tercatat diatas adalah untuk Renungan Bersama