Selasa, 10 Januari 2012

Individu pemarah mudah didekati, dihasut syaitan


HIDUP bertoleransi dan saling menghormati menjadi agenda penting masyarakat bertamadun. Hakikatnya, tidak ada individu yang bebas melakukan apa saja diingini kerana kita dibatasi undang-undang dan hukum agama.

Sikap ego dan mementingkan diri bukan mendatangkan kebaikan kepada pelakunya, sebaliknya menimbulkan kesan emosi tidak stabil dalam diri. Sebab itu, amalan terbaik ialah sentiasa merendahkan diri dan bersedia memaafkan orang lain.

Setiap hari kita sentiasa berdepan situasi menimbulkan perasaan marah. Kejadian itu berlaku di rumah, jalan raya, dalam kenderaan awam, pejabat, kedai dan di mana saja. Keadaan itu hanya dapat diredakan jika adanya sifat pemaaf dalam diri yang bertindak seperti air mematikan api.

Dan bagi orang yang dizalimi mereka akan membela diri. Dan balasan sesuatu kejahatan adalah kejahatan yang sama. Maka sesiapa yang memaafkan dan berbuat baik, maka pahalanya adalah tanggungan Allah SWT. Sesungguhnya Dia tidak menyukai orang zalim. Surah Asy-Syura, Ayat 39-40
Sifat pemaaf menjadi benteng yang menghalang daripada timbulnya rasa marah. Justeru, pemaaf adalah sifat luhur yang perlu ada pada diri setiap muslim kerana sifat itu mempunyai kesan amat besar dalam kehidupan dan dapat menyelamatkan daripada terjebak tindakan tidak sepatutnya.

Allah SWT berfirman yang bermaksud: “Dan orang yang menahan amarahnya dan memaafkan orang lain, Allah SWT menyintai orang yang berbuat kebajikan.” (Surah Ali-Imran, ayat 132)
Orang yang bersifat pemaaf tidak berdendam dan buruk sangka terhadap orang lain. Biarpun pernah diperlakukan dengan perkara menimbulkan perasaan marah, dia memaafkan perbuatan itu dan menerimanya secara positif.

Sifat itu memberi keyakinan bahawa yang berhak menghukum hanyalah Allah SWT. Biarlah Allah SWT yang menentukan balasan terhadap apa dilakukan orang lain terhadap kita. Individu pemaaf dan sabar sentiasa tenang serta bermuhasabah diri untuk menilai apa yang berlaku.

Memang orang dizalimi berhak membalas balik perbuatan itu, namun lebih baik jika memberi kemaafan. Tindakan tidak membalas balik akan mengelak daripada melakukan kezaliman.

Firman Allah SWT yang bermaksud: “Dan bagi orang yang dizalimi mereka akan membela diri. Dan balasan sesuatu kejahatan adalah kejahatan yang sama. Maka sesiapa yang memaafkan dan berbuat baik, maka pahalanya adalah tanggungan Allah SWT. Sesungguhnya Dia tidak menyukai orang zalim.”(Surah Asy-Syura, ayat 39-40)

Melakukan kebaikan kepada seseorang tidak seharusnya terhenti disebabkan satu kesilapan dilakukan olehnya. Ada banyak kes keretakan hubungan keluarga, sahabat dan rakan sekerja terputus semata-mata disebabkan satu kesalahan kecil.

Mereka yang tidak mahu memaafkan dan suka beradu kekuatan boleh disamakan seperti haiwan. Sifat haiwan tidak mahu mengaku kalah untuk mendapat apa yang diingini tanpa belas kasihan kepada lawannya.

Perasaan dendam dan curiga yang terus menguasai diri mudah bertukar menjadi tindakan lebih buruk jika tercetusnya percikan api kemarahan. Syaitan sentiasa memainkan peranan menimbulkan suasana lebih buruk. Godaan syaitan sukar ditepis jika iman lemah.

Syaitan pernah memberitahu Nabi Musa bagaimana dia mendekati manusia supaya melakukan perbuatan dilarang agama dengan katanya: “Tiga perempat daripada masa yang paling baik untuk aku menggoda manusia ialah sewaktu mereka dalam keadaan marah, kerana pada masa itu aku boleh memainkan hati mereka seperti sebiji bola.”

Sebab itu Islam menganjurkan agar saling memaafkan. Melaluinya akan mewujudkan keharmonian dan kesejahteraan dalam kehidupan bermasyarakat. Hidup tanpa marah dan dendam adalah nikmat kebebasan hidup yang sebenar.

Sifat memaafkan dianggap mudah kerana ia berada dalam diri kita sendiri. Kita menentukan sifat pemaaf atau sifat pendendam. Jadilah insan dalam hatinya penuh dengan bungaan kemaafan yang sentiasa segar.



tenkiu kt kekawan yg sudi membce entry kt cni..like klo ske bce

Isnin, 9 Januari 2012

10 Tips dalam tambah ilmu


Ikhlas tuntut ilmu ketika masuk taman syurga

menuntut ilmu ni ade adab - adab nyer agar kita peroleh ilmu yang berkat dan bermanfaat....

Antara adabnya ialah:


1. Ikhlas belajar. Islam menegaskan wajib menuntut ilmu sejak lahir hingga ke liang lahad. Belajar dengan pelbagai cara dan medium hinggalah boleh dibuat di hujung jari melalui Internet.

Dengan syarat segala yang dilakukan dibuat dengan penuh ikhlas bertujuan mendapat keredaan Allah.

 

2. Belajar dengan tekun dan bersungguh-sungguh. Kita dituntut bersungguh-sungguh dalam menuntut ilmu tanpa mengira masa dan keadaan.

Sifat malas hendaklah dihindari di samping menjauhkan diri daripada rakan yang bersifat malas.

Selepas berusaha bersungguh-sungguh dalam pelajaran dan menjawab soalan latihan, ujian dan peperiksaan dengan tenang, barulah kita bertawakal kepada Allah supaya kejayaan menjadi milik kita.

 

3. Menjauhi Maksiat. Maksiat ialah melakukan perbuatan yang melanggar perintah Allah iaitu melakukan perbuatan yang berdosa.

Oleh itu, ketika guru sedang mengajar di dalam kelas tumpuan hendaklah diberikan kepada setiap butir percakapan guru dan hindari fikiran daripada melayang ke arah maksiat.

 

4. Memilih teman yang soleh. Teman yang dimaksudkan bukanlah pasangan kekasih, tetapi memilih teman sejantina yang sentiasa patuh dan taat kepada Allah dan Rasul.

Kita dan teman hendaklah mengamalkan budaya tegur-menegur dan nasihat-menasihati supaya pelajar tidak lalai dalam menjalankan tugas dan tanggungjawab sebagai pelajar.

Sifat itu sangat berguna apabila melakukan ulang kaji pelajaran di dalam kumpulan belajar. Dengan itu, fakta dalam pembelajaran di sekolah dapat diingati dengan lebih cepat dan mudah.

 

5. Banyakkan mengingati Allah. Orang yang sentiasa berzikir akan dikurniakan hati yang tenang dan tenteram. Zikir dikatakan dapat menghidupkan hati yang mati.

Oleh itu, banyakkan berzikir dan berdoa selepas solat dan disarankan juga mengamalkan zikir harian yang terdapat di dalam bilik kelas di sekolah.

 

6. Menjaga kehormatan diri dan orang lain. Kehormatan diri dapat dijaga dengan mengamalkan tingkah-laku yang baik supaya tidak terjebak dengan perbuatan maksiat.

Bagi mengelak berlakunya maksiat, pelajar perempuan contohnya perlu memakai pakaian dan kemeja-T yang longgar. Di samping itu, hendaklah menjauhkan diri daripada menyakiti hati dan perasaan orang lain. Doa orang yang teraniaya sangat mujarab.

Dikhuatiri orang yang kita sakiti hatinya mendoakan sesuatu yang buruk berlaku kepada kita.

 

7. Doa dan keredaan ibu bapa. Sebagai anak yang soleh kita dituntut mendoakan kesejahteraan kedua ibu bapa kita. Ini kerana keredaan Allah bergantung kepada keredaan ibu bapa.


Beruntunglah pelajar yang masih mempunyai kedua ibu bapa kerana mereka dapat meneruskan bakti sewaktu mereka masih hidup.


Apatah lagi dengan memandang wajah ibu bapa saja kita diberikan pahala oleh Allah.

Oleh itu, setiap kali hendak ke sekolah, dapatkan restu daripada ibu bapa sebelum melangkah ke luar rumah. Sewaktu mengambil peperiksaan besar seperti PMR dan SPM nanti, berikan ibu bapa satu salinan jadual waktu peperiksaan dan mohon mereka mendoakan serta melakukan solat hajat pada waktu kita sedang menjawab soalan peperiksaan supaya kita mendapat keputusan cemerlang.

 

8. Menghormati guru tidak kira di mana. Menghormati guru adalah salah satu daripada rahsia kejayaan cemerlang dalam akademik dan bidang lain.

Sentiasa wujudkan rasa kasih kepada guru supaya guru sentiasa menyebut nama

kita dan mendoakan kejayaan kita.

 

9. Beramal dengan ilmu yang diperoleh. Sesuatu ilmu tidak bermakna jika tidak diamalkan. Orang yang memiliki ilmu itu umpama orang yang memiliki senjata.

Dengan ada senjata kita dapat mempertahankan diri kita daripada serangan musuh.

Ilmu itu dapat menghalang diri seseorang daripada pengaruh negatif yang cuba menjauhkan dirinya daripada keredaan Allah.



tenkiu kt kekawan yg sudi membce entry kt cni..like klo ske bce

Sabtu, 7 Januari 2012

Zikrullah tunjang kekuatan Mukmin


AL-QURAN merupakan kitab suci umat Islam yang menjadi rujukan utama dalam kehidupan seharian seorang Muslim. Segala saranan yang disebutkan oleh Allah SWT di dalam al-Quran wajar dan wajib untuk bersama kita tekuni dan mengamalkannya dengan sepenuh hati.

Antara saranan yang sering diulangi dalam al-Quran adalah suruhan sentiasa berzikir kepada Allah SWT dalam setiap keadaan. Pastinya banyak kelebihan yang bakal diperoleh oleh sesiapa yang sentiasa berzikir kepada-Nya kerana terdapat banyak rahsia dan kelebihan di sebalik amalan berzikir.
Tidak seperti ibadah-ibadah yang lain, amalan berzikir tidak terikat dengan apa-apa syarat dalam melaksanakannya. Ia boleh dilakukan pada bila-bila masa dan keadaan malah amat digalakkan untuk memperbanyakkannya.

Zikir menjadi talian terus seorang hamba untuk mengadu, merayu dan berhubung terus kepada Tuhannya. Setiap mukmin yang sentiasa mengingati Allah maka pastilah Allah juga akan sentiasa mengingatinya.

Dari segi bahasa, zikir bermaksud sebut dan ingat manakala dalam sudut istilah yang difahami umum adalah sebutan yang berulang-ulang tentang nama-nama Allah dan juga sifat-sifat-Nya.
Zikir yang biasa dilakukan secara umum oleh umat Islam merangkumi tasbih, tahmid, takbir, tahlil, membaca al-Quran dan sebagainya. Namun intipati kepada semua zikir-zikir tersebut adalah ingatan yang sebenar-benarnya kepada Allah SWT.

Perintah Allah SWT kepada orang-orang yang beriman supaya berzikir dengan banyak boleh dilihat di dalam firman-Nya yang bermaksud: Wahai orang-orang yang beriman, ingatlah serta sebutlah nama Allah dengan ingatan serta sebutan yang sebanyak-banyaknya. (al-Ahzab: 41)

Maka daripada ayat ini, dapat difahami bahawa zikir boleh dibahagikan kepada dua jenis iaitu berzikir dengan sebutan (zikir lisan) dan juga berzikir dengan ingatan (zikir hati). Kedua-dua jenis zikir ini mampu mendekatkan diri seorang Mukmin kepada Tuhannya dengan sedekat-dekatnya.

Di dalam sebuah hadis Qudsi yang diriwayatkan oleh Imam Al-Bukhari, terdapat satu hadis yang menjelaskan berkaitan kedua-dua jenis zikir ini. Aku berdasarkan keyakinan hamba-Ku terhadap-Ku, dan Aku bersamanya sekiranya dia ingat kepada-Ku, sekiranya dia ingat kepada-Ku dalam hatinya (secara bersembunyi), Aku juga ingat kepadanya dalam diri-Ku (secara sembunyi/sir), dan sekiranya dia ingat kepada-Ku di kalangan manusia ( secara terang-terangan/ jahr), Aku juga ingat kepadanya di kalangan yang lebih mulia daripada mereka (para malaikat).

Amalan yang agung

Amalan berzikir kadang-kadang dilihat sebagai amalan yang ringan dan remeh namun hakikatnya ia merupakan antara amalan yang mulia dan agung. Kedudukan amalan berzikir sangat tinggi berbanding amalan-amalan lain yang disyariatkan di dalam Islam dan boleh dianggap sebagai amalan yang agung.
Ketinggian dan keagungan amalan berzikir jelas di dalam firman Allah SWT yang bermaksud: Dan sesungguhnya mengingati Allah adalah lebih besar (faedahnya dan kesannya); dan (ingatlah) Allah mengetahui akan apa yang kamu kerjakan. (al-Ankabut: 45)

Secara hakikatnya, zikir ialah ingatan yang tulus kepada Allah SWT dan juga segala makna-makna yang berkaitan dengan-Nya. Ia boleh dicapai melalui sebutan yang diungkapkan oleh mulut atau ingatan yang mendalam di dalam minda dan pemikiran.

Tumpuan yang mendalam harus diberikan ketika berzikir agar matlamat berzikir iaitu mendekati Allah SWT dapat dicapai.

Firman Allah di dalam surah bermaksud: Dan sebutlah (dengan lidah dan hati) akan nama Tuhanmu (terus menerus siang dan malam), serta tumpukanlah (amal ibadatmu) kepadanya dengan sebulat-bulat tumpuan. (al-Muzammil: 8)

Maka dengan tumpuan yang mendalam dan zikir yang berterusan ini akan mampu menghasilkan mukmin yang terbaik serta mempunyai kekuatan fizikal dan mental. Mereka adalah golongan yang sentiasa menjadikan Allah SWT sebagai teman di dalam hati sepanjang masa dan dalam semua keadaan.

Firman Allah SWT yang bermaksud: Orang-orang yang menyebut dan mengingati Allah semasa mereka berdiri dan duduk dan semasa mereka berbaring mengiring, dan mereka pula memikirkan tentang kejadian langit dan bumi (sambil berkata): “Wahai Tuhan kami! tidaklah Engkau menjadikan benda-benda ini dengan sia-sia, Maha Suci Engkau, maka peliharalah kami dari azab neraka. (ali-Imran: 191)

Dalam keadaan dunia yang penuh dengan rintangan, cabaran dan dugaan, maka perlu bagi setiap orang Islam berusaha mempertahankan diri daripada hanyut di dalam arus dunia yang sentiasa mengajak manusia ke arah kebinasaan.
Setiap orang Islam harus memiliki hati yang kuat yang mampu menahan segala cabaran yang mendatang dan pada masa yang sama membantu umat Islam yang lain daripada terpesong daripada landasan agama Islam yang benar.

Maka zikir berperanan besar dalam membantu manusia dalam memiliki hati yang kukuh imannya, kuat menghadapi arus deras dunia dan mampu membimbing diri sendiri dan juga orang lain agar kembali kepada Allah SWT



tenkiu kt kekawan yg sudi membce entry kt cni..like klo ske bce

Jumaat, 6 Januari 2012

7 HAL AGAR SELALU TAKUT KEPADA ALLAH


  Abu Al-laits sebagaimana Imam Al-Ghazali dalam “Mukasyafah Al-Qulub” mengajarkan kita untuk melakukan 7 hal agar selalu takut kepada Allah:

1.   Takut kepada lidah.
-   Mencegah lidahnya dari perkataan dusta, menfitnah, menipu dan perkataan yang tidak berguna. Sebalknya ia menggunakan pada jalan berzikir kepada Allah, membaca Al-Quran dan menghafal ilmu.

2.   Takut kepada kalbu.
-   Mengeluarkan daridalam hatinya rasa permusuhan, kedengkian, dan
hasad dengki.Ini kerana hasad dengki dapat menghapuskan amal kebajikan, sebagaimana hadith jujungan mulia: “Hasd dengki memakan kebaikan seperti api membakar daun kering”

3.   Takut pada pandangan.
-   Tidak memandang sebagaimana perkara-perkara yang diharamkan 
Allah. Sebaliknya, ia mengarahkan pandangannya kepada sesuatu seraya mengambil pelajaran hidup (`ibrah) sebagaimana sabda Rasulullah s.a.w : “Barangsiapa yang memenuhi kedua matanya dengan pandangan haram, nescaya pada hari kiamat Allah akan memenuhi kedua matanya dengan api neraka.”

4.   Takut pada perut.
-   Tidak memasukkan ke dalam perutnya segala makanan dan minuman
yang haram. Sebagaimana hadith yang bermaksud: “Apabila satu suap makanan yang haram jatuh ke dalam perut anak Adam, setiap malaikat di bumi dan langit melaknatnya selama suapan berada di dalam perutnya. Jika ia mati dalam keadaan itu, tempat kembalinya adalah neraka jahanam.”
  
5.   Takut pada tangan .
-   Tidak menggunakan kepada jalan kemungkaran. Sebaliknya pada jalan yang diredhai Allah. Hayatilah sabda Rasulullah s.a.w : “Allah s.wt membangunkan sebuah rumah itu 70 ribu buah rumah yang masin-masing memiliki 70 ribu kamar. Tidak ada orang yang dapat memasinya kecuali orang yang meninggalkan setiap yang haram kerana Allah.”

6.   Takut pada kaki.
-   Tidak  berjalan untuk melakukan kemaksiatan kepada Allah. Sebaliknya ia bejalan pada ketaatan dan keredhaan Allah serta dalam bergaul dengan para ulama.


7.   Ketaatan.-   Menjadikan ketaannya semata-mata untuk mencari keredhaan Allah serta takut akan riak dan kemunafikan. Apabila melakukan hal itu, termasuklah ia dalam orang-orang yang disebut oleh Allah dalam firman-Nya di dalam surah At-Thur ayat 17 dan surah Az-Zukhruf ayat 35.


tenkiu kt kekawan yg sudi membce entry kt cni..like klo ske bce

Selasa, 3 Januari 2012

Tarbiah berkesan bentuk peribadi, pekerti mulia anak


Persefahaman tanggungjawab ibu bapa pastikan proses pembinaan identiti lebih cemerlang

SIKAP manusia banyak juga dipengaruhi budaya dan sosial yang dibina dalam proses mereka ditarbiah. Sekiranya sentiasa diajar bermalas-malasan, mereka tidak tahu rajin itu lebih baik. Sekiranya sentiasa diajar bermusuhan, mereka tidak tahu silaturahim itu lebih baik. Bahkan sekiranya mereka diberi kelonggaran untuk tidak menuntut ilmu, mereka tidak tahu belajar itu satu-satunya jalan keluar daripada kesusahan dan kepapaan. Mereka hanya akan menyedari ruginya menjadi jahil apabila mereka jauh ketinggalan.

Di dalam Islam, perkataan pendidikan atau tarbiah itu antara lain bermaksud suatu pendekatan yang terbaik sekali dalam bertafa’ul (berinteraksi) dengan fitrah insan dan melaksanakan proses pendidikan melalui tunjuk ajar dan teladan.

Satu teori pendidikan tidak akan sampai kepada matlamat yang dihajati jika ia gagal berfungsi dan tidak berkesan. Keberkesanan itu diukur dengan melihat sejauh mana hasil yang dihajati bertunas dan berkembang dalam diri individu yang dididik. Hasil pendidikan juga dapat dilihat melalui perubahan tingkah laku, tindakan dan hasil pemikiran mereka. Pendidikan yang tidak berkesan bukan saja merugikan tenaga, waktu dan wang, tetapi yang lebih dibimbangi apabila hasilnya bertentangan dengan apa yang dihajati.

Walaupun dengan menggunakan cara yang berbeza, tujuan tarbiah cuma satu, iaitu untuk memperelokkan peribadi dan menjadikan seseorang itu tahu membezakan apa yang baik dan buruk, juga yang halal dan haram. Setiap modul tarbiah yang digunakan pula adalah pemangkin untuk menyampaikan ilmu secara tidak langsung. Kehidupan seharian seorang anak yang bermula dengan bangun tidur secara beradab sehinggalah berakhir dengan pelukan dan ciuman sebelum tidur waktu malam penuh dengan modul tarbiah yang akan membina peribadinya kelak.

Malangnya, kekangan demi kekangan dalam kehidupan hari ini mengganggu proses tarbiah anak-anak. Ibu bapa bukan lagi menjadi pentarbiah yang konsisten, yang lengkap dengan modul rohani dan jasmani demi mencapai objektif yang digarap untuk kecemerlangan sahsiah anak-anak. Faktor sara hidup yang tinggi terutama menjadi halangan, sehingga kebanyakan ibu turut menanggung beban mencari nafkah dan mempertanggungjawabkan tugas tarbiah anak-anak dengan modul kehidupan seharian kepada pembantu rumah atau penjaga di pusat asuhan.

Kalau pun pendapatan seorang bapa sudah cukup untuk menanggung keluarga, ramai pula yang hidup melampaui kemampuan. Justeru, ibu turut menunaikan tanggungjawab seorang bapa untuk mencukupkan segala keperluan. Bahkan ada ibu yang terpaksa bekerja kerana suami tidak mahu menunaikan tanggungjawab itu, suami dipenjarakan, suami hilang dan sebagainya. Yang menjadi mangsa ialah anak yang baru mengenal dunia. Tarbiah yang dibina dengan mempelajari bahawa seorang ibu perlu bekerja dan menunaikan tanggungjawab biologi serta taat sebagai isteri menjadikan anak-anak mengalah dan menjauhkan diri. Mereka anggap mereka bukan tergolong dalam sasaran yang perlu diberi perhatian oleh seorang ibu.

Dalam konflik tanggungjawab ini, ibu bukanlah satu-satunya insan yang harus dipersalahkan apabila proses tarbiah anak terganggu. Banyak perkara yang harus disemak dan dipertimbangkan. Apabila Islam memberi tanggungjawab yang tidak sama kepada seorang suami dan seorang isteri atau seorang ibu dan seorang bapa dalam sesebuah keluarga, ia bukan bermakna Islam meninggikan atau merendahkan mana-mana pihak. Tanggungjawab seorang suami untuk mencari nafkah dan seorang isteri untuk mengandung, melahirkan serta mentarbiah anak sama penting dan sama payahnya.
Justeru, apabila seorang isteri menunaikan tanggungjawab sebagai isteri dan juga suami, yang menjadi masalah ialah apabila suami tidak mampu menunaikan tanggungjawab sebagai suami dan isteri. Sebab itulah ramai yang menggunakan khidmat pembantu rumah untuk menggantikan suami membantu tugas isteri. Akibatnya, tidak semua anak-anak ditarbiah untuk menjadi baik dan tahu membezakan yang halal dan haram.

Seorang bapa perlu mengetahui setiap perincian tanggungjawab sebagai pemimpin keluarga. Setiap tugas ada hikmahnya dan setiap amanah ada ganjarannya. Dalam konteks agama, seseorang itu menjadi pemimpin kerana banyaknya tanggungjawab yang harus ditunaikan, bukan banyaknya hak yang harus dituntut. Apabila hakikat ini tidak difahami, maka tugas dan fungsi sebagai bapa menjadi sebaliknya. Daripada menjadikan isteri dan anak-anak sebagai amanah yang harus dijaga dengan baik, mereka menjadikan isteri dan anak-anak sebagai pekerja yang sentiasa dikerah bertugas untuk kepuasan dirinya sebagai ‘ketua’.

Hakikatnya, persefahaman antara suami dan isteri amat penting untuk melengkapkan proses pembinaan identiti anak. Gabungan antara akhlak baik yang diwarisi daripada ibu bapa dan ilmu yang dipelajari adalah pertautan yang lengkap untuk menjadikan seorang itu mempunyai sahsiah yang baik. Setiap insan apabila boleh berfikir, mereka perlu insaf bahawa kewujudannya mempunyai matlamat, perjalanannya mempunyai haluan dan hidupnya mempunyai tugas dan tanggungjawab. Justeru, umat Islam selaku sebahagian daripada entiti penting di dalam masyarakat juga tidak boleh lari daripada meningkatkan kesedaran tentang persoalan ini dan seterusnya bingkas bangun memuhasabah diri ke arah mengurus kejayaan hidup di dunia dan di akhirat.



tenkiu kt kekawan yg sudi membce entry kt cni..like klo ske bce

Isnin, 2 Januari 2012

Rehatkan Hati


Mengapa setelah berzikir, solat atau berdoa hati belum tenang? Sedangkan Allah telah menetapkan dalam Al Quran bahawa dengan mengingati Allah hati akan menjadi tenang? Khususnya ketika menghadapi ujian rumah tangga mengapa hati kita masih resah, kacau dan galau walaupun sudah berbuih mulut meluahkan kalimah zikir? Justeru, ramai isteri atau suami mengadu, mengapa hati mereka tidak tenang walaupun telah berzikir ketika menghadapi krisis, ujian dan kesusahan dalam hidup berumah tangga?

Mengapa kita belum mendapat ketenangan sepertimana yang dimiliki oleh pasangan Sayidina Ali dan Siti Fatimah walaupun kita telah berzikir dengan kalimah 'Subhanallah', 'Alhamdulillah' dan 'Allahu Akbar',sama seperti yang pernah diamalkan oleh mereka? Apa yang tidak kena dengan zikir kita? Bukankah kalimahnya sama? Bukankah jumlah atau bilangannya sama?

Tidak syak lagi kita tidak dapat menghayati maksud tersirat daripada kalimah-kalimah zikir itu. Berzikir tanpa menghayati falsafah dan makna tersirat di sebaliknya, umpama burung kakak tua yang pandai bertutur. Untuk menghayati makna zikir sehingga meresap ke dalam hati perlukan ilmu, amalan dan latihan. Marilah kita sama-sama kita fahami apakah kesan atau rasa-rasa yang perlu dirasai oleh hati apabila kita mengingati Allah (berzikir).  Antara rasa-rasa itu ialah:

1. Rasa kehambaan.

Rasa kehambaan ialah rasa miskin, jahil, lemah, bersalah, hina dan lain-lain sifat kekurangan seorang manusia apabila berdepan dengan ujian daripada Tuhannya. Apabila diuji dengan kerenah pasangan, kekurangan harta, anak-anak sakit dan sebagainya, seorang suami atau isteri yang memiliki rasa kehambaan akan sedar bahawa semua itu hakikatnya datang daripada Allah.
Firman Allah: 

"Tidak sekali-kali akan menimpa Kami sesuatu pun melainkan apa yang telah ditetapkan Allah bagi kami. Dialah Pelindung kami, dan (dengan kepercayaan itu) maka kepada Allah jualah hendaknya orang yang beriman bertawakal.'' - (Surah At-Taubah 9: 51)."

Bila menyedari hakikat itu, seseorang akan pasrah dan merasakan bahawa dia wajar diuji. Hatinya berbisik, "Bukankah aku seorang hamba? Aku sewajarnya akur dengan apa yang berlaku dan tidak mempersoalkan mengapa aku diuji begini." Hatinya tidak akan berkata, "kenapa aku, bukan orang lain?" Menerima hakikat bahawa kita layak diuji akan menyebabkan hati menjadi tenang. Sebaliknya jika kita 'memberontak', hati akan bertambah kacau. Let go, let God – maksudnya lepaskan dan pasrahlah kepada Allah.

Apakah tanda-tanda kita memberontak apabila diuji?
Kata Imam Ghazali rahimahullah,"Cukuplah seseorang hamba dikatakan sudah 'memberontak' kepada Tuhannya apabila dia menukar kebiasaan-kebiasaan dalam hidupnya apabila diuji Allah dengan sesuatu yang tidak disukainya!"

Misalnya, seseorang suami atau isteri itu tidak mahu lagi untuk makan dan minum secara teratur, tidak menyisir rambut, tidak berpakaian kemas, tidak mengemaskan rumah atau menjaga anak-anaknya lagi.
Marilah sama-sama kita ingat, apabila ditimpa ujian, kita diajar untuk mengucapkan kalimah istirja', "Inna lillah wa inna ilaihi raji'un." 

Firman Allah:  
"Iaitu orang-orang yang apabila ditimpa musibah, mereka berkata sesungguhnya kami milik Allah dan kepada-Nya kami kembali. - (Surah Al-Baqarah 2:156)
 
Kalimah ini mengingatkan kita agar kembali merasakan erti kehambaan. Bahawa kita adalah milik Allah dan kepada-Nya kita akan dikembalikan. Kita layak, patut dan mesti diuji kerana kita hamba, bukan tuan apalagi Tuhan dalam hidup ini. Dengan ini kita akan dapat menurunkan rasa marah kepada pasangan, anak-anak, mertua atau sesiapa sahaja anggota keluarga kita. Ya, mereka berbuat demikian atas izin Allah jua.

2. Rasa bertuhan.

Rasa kehambaan yang serba lemah, itu mesti di imbangi oleh rasa bertuhan. Apabila kita rasa lemah, timbul pergantungan kepada Yang Maha Kuat. Apabila kita rasa kurang, timbul pengharapan kepada Yang Maha Sempurna. Apabila kita dihimpit kesedihan semakin kuat rasa pergantungan, pengharapan, permintaan kita kepada Allah. Mungkin selama ini kita terlalu bergantung kepada suami, isteri atau anak-anak.

Jika rasa kehambaan menyebabkan kita takut, hina dan lemah. Sebaliknya rasa bertuhan akan menimbulkan rasa sabar, tenang dan berani menghadapi apa jua masalah dalam rumah tangga. Seorang suami yang paling kuat menghadapi ujian dalam hidup ialah suami yang merasa lemah di sisi Allah. Ketika itu ujian walau bagaimana berat sekalipun akan mampu dihadapi kerana merasakan Allah akan membantunya.
 
Firman Allah: 
"Janganlah engkau berdukacita, sesungguhnya Allah bersama kita.''- (Surah Taubah 9:40)

 Rasa bertuhan inilah yang menyebabkan para nabi dan rasul sanggup berdepan dengan kerenah isteri mereka. Nabi Luth, Nabi Ayub, Nabi Nuh misalnya, mampu menghadapi ujian yang paling kritikal dalam rumah tangga mereka. Doa adalah senjata mereka manakala solat dan sabar menjadi wasilah mendapat pertolongan Allah.

Firman Allah: 
"Dan pintalah pertolongan dengan sabar dan mengerjakan solat.''-(Surah al-Baqarah 2:45)

Dalam apa jua keadaan,positif mahupun negatif, hati suami atau isteri tetap tenang.
Firman Allah: 
"Dialah Tuhan yang menurunkan ketenangan ke dalam hati orang yang beriman, supaya keimanan mereka makin bertambah daripada keimanan yang telah ada. Kepunyaan Allah tentang langit dan bumi, dan Allah itu Maha Tahu dan Bijaksana.''- (Surah al-Fath 48:4)

Apabila hati tenang, berlakulah keadaan yang dijelaskan oleh Rasulullah SAW melalui sabdanya yang dilaporkan oleh Sa'ad bin Abi Waqqas: "Aku hairan dengan orang beriman, sekiranya dia mendapat kebaikan, maka dia akan memuji Allah dan bersyukur, dan sekiranya dia mendapat musibah dia akan memuji Allah dan bersabar. Dan setiap mukmin diganjari dalam setiap urusannya sehingalah diberi pahala pada setiap suapan makan yang diangkat ke mulut isterinya."

3. Memahami maksud takdir Allah
Mana mungkin kita dapat mengelakkan daripada diuji kerana itu adalah takdir Allah SWT. Yang mampu kita buat hanyalah meningkatkan tahap kebergantungan kita kepada Allah di samping berusaha sedaya upaya menyelesaikan masalah itu. Ungkapan yang terkenal: We can't direct the wind but we can adjust our sail kita tidak mampu mengawal arah tiupan angin, kita hanya mampu mengawal kemudi pelayaran kita.

Kemudi dalam bahtera rumah tangga kita ialah hati. Hati yang bersifat berbolak-balik (terutamanya apabila diuji) hanya akan tenang apabila kita meyakini sifat kasih sayang, keampunan dan sifat pemurah-Nya tetap bersama kita sewaktu diuji. Dalam apa jua takdir yang ditimpakan-Nya ke atas kita adalah bermaksud baik sekalipun kelihatan buruk. Walaupun kadang-kala kita belum nampak kebaikannya,percayalah kebaikannya pasti ada.
Tidak salah untuk kita menyelesaikan masalah yang menimpa (bahkan kita dituntut untuk berbuat demikian), namun jika masalah itu tidak juga dapat diselesaikan, bersangka baiklah kepada Allah, berdasarkan

Firman Allah: 
"Boleh jadi kamu benci kepada sesuatu padahal ia baik bagi kamu, dan boleh jadi kamu suka kepada sesuatu padahal ia buruk bagi kamu. Dan (ingatlah), Allah jualah Yang Mengetahui sedang kamu tidak mengetahuinya.- (Surah Al-Baqarah 2: 216)"

Siapa tidak inginkan keharmonian, kasih sayang dan kemakmuran dalam berumah-tangga. Namun jika setelah berusaha sedaya upaya, krisis masih berlaku jua, maka bersangka baiklah dengan Tuhan. Mungkin itu caranya untuk kita mendapat pahala sabar. Begitu juga kalau kita ditakdirkan kita kesempitan belanja, maka berusahalah untuk menambah pendapatan, kerana itulah maksud Allah mentakdirkan begitu.  Ya, dalam apa jua takdir Allah, hati kita dipimpin untuk memahami apa maksud Allah di sebalik takdir itu.

Dengan ini kita tidak akan merungut, stres dan tertekan. Hayatilah kata-apa yang ditulis oleh Ibnu Atoillah ini: "Untuk meringankan kepedihan bala yang menimpa, hendak dikenal bahawa Allah-lah yang menurunkan bala itu. Dan yakinlah bahawa keputusan (takdir) Allah itu akan memberikan yang terbaik."

Jagalah rumah tangga kita dengan sebaik-baiknya. Carilah jalan damai sehabis daya.  Namun ingatlah jika badai terus melanda, ingatlah itu sudah maktub (tertulis). Jangan rosakkan hati kita dengan kalimah "kalau" atau "jika". Hayati sabda Rasulullah saw ini: "Oleh itu, hendaklah engkau bersungguh-sungguh berusaha memperoleh apa yang memberi manfaat kepadamu, serta hendaklah meminta pertolongan kepada Allah dan janganlah engkau bersikap segan dan malas. Dan jika engkau ditimpa sesuatu, maka janganlah engkau berkata: "Kalau aku lakukan anu anu, tentulah akan terjadi anu anu, tetapi katalah: "Allah telah takdirkan dan apa yang dikehendaki oleh kebijaksanaan-Nya Ia lakukan,' kerana perkataan 'kalau' itu membuka jalan kepada hasutan syaitan." (Hadis riwayat Muslim)

4. Mendapat hikmah apabila diuji.

Hikmah adalah suatu kebijaksanaan mendapat kebaikan di sebalik satu keburukan. Hikmah dikurniakan sebagai hadiah paling besar dengan satu ujian. Hikmah hanya dapat ditempa oleh mehnah – didikan langsung daripada Allah melalui ujian-ujian-Nya. Daripada Abd al-Rahman bin Azhar bahawa Ra­sul­ullah SAW bersabda: "Perumpamaan orang yang beriman apabila ditimpa sakit atau demam, bagai besi yang dimasukkan ke dalam api, lalu hilanglah karatnya (tahi besi) dan tinggallah yang baik sahaja."

Jika tidak diuji, bagaimana hamba yang taat itu hendak mendapat pahala sabar, syukur, reda, pemaaf, qanaah daripada Tuhan? Maka dengan ujian bentuk inilah para suami atau isteri meraih sebanyak-banyaknya pahala dan keredhaan Allah. Rumah tangga adalah medan 'perjuangan' melawan nafsu marah, putus asa, buruk sangka, dendam dan lain-lain sifat mazmumah yang mungkin timbul hasil interaksi dan komunikasi antara suami isteri, ibu-bapa dengan anak-anak, mertua dengan menantu.
Pendek kata, bagi orang beriman, ujian bukanlah sesuatu yang negatif kerana Allah sentiasa mempunyai maksud-maksud yang baik di sebaliknya. Justeru, hayatilah kata-kata hikmah ini: "Allah melapangkan bagimu supaya engkau tidak selalu dalam kesempitan, dan Allah menyempitkan bagimu supaya engkau tidak hanyut dalam kelapangan, dan Allah melepaskan engkau dari keduanya supaya engkau tidak bergantung kepada sesuatu selain Allah." 

Ya, inilah empat rasa yang sewajarnya ada ketika kita berzikir sewaktu mengharungi ujian dalam berumah-tangga. Bawalah hati kita berehat.Rehat sebenar ada di dalam zikir. Dan zikir yang paling besar adalah solat. Oleh kerana itulah Rasulullah saw sering menyuruh Bilal supaya azan dengan katanya yang membujuk, "Rehatkan kami dengan solat wahai Bilal!"




tenkiu kt kekawan yg sudi membce entry kt cni..like klo ske bce

Ahad, 1 Januari 2012

Syirik runtuhkan akidah, hancurkan ibadah

SEMUA orang yang beriman berkehendakkan amalan yang dikerjakannya bernilai dan diterima oleh Allah SWT. Amalan yang dilakukan akan dijaga dan dipelihara dengan baik agar tidak batal. Amalan yang terbatal tentunya tidak mempunyai nilai. Iia hanya sia-sia seumpama debu-debu yang berterbangan. Antara perkara yang boleh membatalkan aqidah kita ialah syirik kepada Allah SWT.
Syirik boleh terjadi dengan dua keadaan. Pertama adalah menyekutukan Allah SWT dengan sesuatu yang lain. Ia dikenali sebagai syirik kecil. Ini termasuklah menyembah dan menyamakan Allah SWT dengan batu, pokok, matahari, bulan, Nabi, pemimpin, malaikat dan sebagainya.
Syirik merupakan dosa yang paling besar berbanding dosa-dosa besar yang lain. Ia boleh meruntuhkan akidah seseorang. Apabila akidah telah runtuh, maka ibadah yang dilakukan sia-sia dan tidak berguna sama sekali.

Lebih dahsyat dari itu ialah dosa syirik tidak diampunkan dosa oleh Allah SWT. Ini berdasarkan firman Allah SWT yang bermaksud: Sesungguhnya Allah tidak akan mengampuni dosa syirik dan Dia mengampuni segala dosa yang selain dari (syirik) itu bagi siapa yang dikehendaki-Nya. Barang siapa yang mempersekutukan Allah maka sungguh ia telah berbuat dosa yang besar. (an-Nisa’: 48).

Jelas daripada ayat di atas menunjukkan bahawa Allah SWT tidak mengampunkan dosa-dosa orang yang telah melakukan syirik kepada-Nya. Namun, sekiranya orang yang melakukan syirik itu sempat bertaubat kepada Allah SWT sebelum meninggal dunia, maka dengan rahmat dan kasih sayang Allah yang Maha Pengampun, dia akan diampunkan dosa walaupun telah melakukan syirik.
Manakala orang yang tidak sempat bertaubat setelah mengerjakan dosa syirik tidak akan diampunkan dosa.

Dengan kata lain, dia kekal dalam seksaan neraka selama-lamanya. Adapun mereka yang melakukan dosa-dosa yang lain walaupun tidak sempat bertaubat, akan diampunkan dosa-dosa mereka setelah melalui tempoh hukuman di akhirat sebagaimana yang dikehendaki oleh Allah SWT.
Inilah pandangan yang dikemukakan oleh para ulama termasuk Imam Az-Zahabi dalam kitab terkemukanya, Al-Kabair.

Antara amalan-amalan yang boleh membawa kepada berlakunya syirik ialah mempercayai dukun atau bomoh dan meminta pertolongan daripada mereka.

Nabi SAW bersabda yang bermaksud: “Barang siapa yang menemui tukang tilik atau bomoh dan bertanya sesuatu kepada mereka, lalu dia mempercayai apa yang dikatakan oleh mereka itu, maka sesungguhnya dia telah kufur dengan apa yang diturunkan kepada nabi Muhammad SAW.” (Riwayat Ashabus Sunan).

Amalan bertemu dengan dukun, pawang dan bomoh banyak berlaku dalam masyarakat kita hari ini. Antaranya disebabkan sikap permusuhan yang membuahkan perasaan cemburu dan iri hati yang tidak berkesudahan. Lantas, jalan singkat untuk menjatuhkan dan menghancurkan kehidupan musuhnya ialah dengan meminta pertolongan bomoh yang sesat.

Di samping itu, kepercayaan bahawa pada tarikh dan bulan tertentu boleh membawa malang dan sial juga boleh membawa kepada syirik. Ini adalah kerana, hanya Allah SWT sahaja yang Maha Berkuasa menentukan segalanya. Ia tiada kaitan dengan detik dan masa tertentu.

Perbuatan lain yang boleh menyebabkan berlakunya syirik menggunakan atau memakai barangan tertentu untuk mendapat tuah atau menghalang sial. Ini termasuklah memakai tangkal atau azimat yang dipercayainya boleh menyembuhkan penyakit, pelaris perniagaan, ilmu kebal dan sebagainya.
Begitu juga yang menggunakan alatan seperti keris, tengkorak dan barangan mistik yang lain untuk dipuja bagi meraih sesuatu untuk keuntungan duniawi. Semua perbuatan ini juga dianggap syirik berdasarkan hadis Nabi SAW: “Sesungguhnya jampi mantera, tangkal dan ilmu pengasih adalah syirik”. (riwayat Abu Daud).

Keadaan kedua yang boleh menyebabkan syirik ialah riak iaitu melakukan sesuatu ibadah bukan kerana Allah SWT, tetapi untuk mempamerkannya kepada manusia. Riak adalah sebuah penyakit hati yang berpunca dari perasaan ingin dilihat hebat melebihi orang lain. Lalu ditunjuk-tunjukkan amalannya supaya orang yang melihatnya menyanjungi dan memujinya.

Riak juga dikenali sebagai syirik kecil. Ini adalah kerana orang yang melakukan amalan dengan hati yang riak seolah-olah melakukan amalan untuk orang lain, bukan untuk Allah SWT. Firman Allah SWT yang bermaksud: Maka barang siapa yang mengharapkan untuk bertemu dengan Tuhannya hendaklah dia mengerjakan amalan yang soleh (baik), dan janganlah mempersekutukan sebarangpun dalam beribadah kepadanya. (al-Kahfi: 110)

Nabi SAW bersabda: “Jauhilah kamu dari syirik yang kecil.” Lalu para sahabat bertanya, “Apakah syirik kecil itu?” Nabi SAW menjawab: “Riya.’” (riwayat Ahmad dan Baihaqi).
Ini bermakna, apabila seseorang itu melakukan sesuatu amalan dengan riak, maka amalannya sudah tidak bermakna lagi kerana ia tidak mendatangkan ganjaran pahala oleh Allah SWT. Firman Allah SWT: Dan kami hadapi segala amalan yang mereka kerjakan, lalu kami jadikan amalan itu seperti debu yang berterbangan. (al-Furqan: 23).





tenkiu kt kekawan yg sudi membce entry kt cni..like klo ske bce

Copyrigt@Segala Yang Tercatat diatas adalah untuk Renungan Bersama