Persefahaman tanggungjawab ibu bapa pastikan proses pembinaan identiti lebih cemerlang
SIKAP manusia banyak juga dipengaruhi budaya dan sosial yang dibina
dalam proses mereka ditarbiah. Sekiranya sentiasa diajar
bermalas-malasan, mereka tidak tahu rajin itu lebih baik. Sekiranya
sentiasa diajar bermusuhan, mereka tidak tahu silaturahim itu lebih
baik. Bahkan sekiranya mereka diberi kelonggaran untuk tidak menuntut
ilmu, mereka tidak tahu belajar itu satu-satunya jalan keluar daripada
kesusahan dan kepapaan. Mereka hanya akan menyedari ruginya menjadi
jahil apabila mereka jauh ketinggalan.
Di dalam Islam, perkataan pendidikan atau tarbiah itu antara lain
bermaksud suatu pendekatan yang terbaik sekali dalam bertafa’ul
(berinteraksi) dengan fitrah insan dan melaksanakan proses pendidikan
melalui tunjuk ajar dan teladan.
Satu teori pendidikan tidak akan sampai kepada matlamat yang dihajati
jika ia gagal berfungsi dan tidak berkesan. Keberkesanan itu diukur
dengan melihat sejauh mana hasil yang dihajati bertunas dan berkembang
dalam diri individu yang dididik. Hasil pendidikan juga dapat dilihat
melalui perubahan tingkah laku, tindakan dan hasil pemikiran mereka.
Pendidikan yang tidak berkesan bukan saja merugikan tenaga, waktu dan
wang, tetapi yang lebih dibimbangi apabila hasilnya bertentangan dengan
apa yang dihajati.
Walaupun dengan menggunakan cara yang berbeza, tujuan tarbiah cuma
satu, iaitu untuk memperelokkan peribadi dan menjadikan seseorang itu
tahu membezakan apa yang baik dan buruk, juga yang halal dan haram.
Setiap modul tarbiah yang digunakan pula adalah pemangkin untuk
menyampaikan ilmu secara tidak langsung. Kehidupan seharian seorang anak
yang bermula dengan bangun tidur secara beradab sehinggalah berakhir
dengan pelukan dan ciuman sebelum tidur waktu malam penuh dengan modul
tarbiah yang akan membina peribadinya kelak.
Malangnya, kekangan demi kekangan dalam kehidupan hari ini mengganggu
proses tarbiah anak-anak. Ibu bapa bukan lagi menjadi pentarbiah yang
konsisten, yang lengkap dengan modul rohani dan jasmani demi mencapai
objektif yang digarap untuk kecemerlangan sahsiah anak-anak. Faktor sara
hidup yang tinggi terutama menjadi halangan, sehingga kebanyakan ibu
turut menanggung beban mencari nafkah dan mempertanggungjawabkan tugas
tarbiah anak-anak dengan modul kehidupan seharian kepada pembantu rumah
atau penjaga di pusat asuhan.
Kalau pun pendapatan seorang bapa sudah cukup untuk menanggung
keluarga, ramai pula yang hidup melampaui kemampuan. Justeru, ibu turut
menunaikan tanggungjawab seorang bapa untuk mencukupkan segala
keperluan. Bahkan ada ibu yang terpaksa bekerja kerana suami tidak mahu
menunaikan tanggungjawab itu, suami dipenjarakan, suami hilang dan
sebagainya. Yang menjadi mangsa ialah anak yang baru mengenal dunia.
Tarbiah yang dibina dengan mempelajari bahawa seorang ibu perlu bekerja
dan menunaikan tanggungjawab biologi serta taat sebagai isteri
menjadikan anak-anak mengalah dan menjauhkan diri. Mereka anggap mereka
bukan tergolong dalam sasaran yang perlu diberi perhatian oleh seorang
ibu.
Dalam konflik tanggungjawab ini, ibu bukanlah satu-satunya insan yang
harus dipersalahkan apabila proses tarbiah anak terganggu. Banyak
perkara yang harus disemak dan dipertimbangkan. Apabila Islam memberi
tanggungjawab yang tidak sama kepada seorang suami dan seorang isteri
atau seorang ibu dan seorang bapa dalam sesebuah keluarga, ia bukan
bermakna Islam meninggikan atau merendahkan mana-mana pihak.
Tanggungjawab seorang suami untuk mencari nafkah dan seorang isteri
untuk mengandung, melahirkan serta mentarbiah anak sama penting dan sama
payahnya.
Justeru, apabila seorang isteri menunaikan tanggungjawab sebagai
isteri dan juga suami, yang menjadi masalah ialah apabila suami tidak
mampu menunaikan tanggungjawab sebagai suami dan isteri. Sebab itulah
ramai yang menggunakan khidmat pembantu rumah untuk menggantikan suami
membantu tugas isteri. Akibatnya, tidak semua anak-anak ditarbiah untuk
menjadi baik dan tahu membezakan yang halal dan haram.
Seorang bapa perlu mengetahui setiap perincian tanggungjawab sebagai
pemimpin keluarga. Setiap tugas ada hikmahnya dan setiap amanah ada
ganjarannya. Dalam konteks agama, seseorang itu menjadi pemimpin kerana
banyaknya tanggungjawab yang harus ditunaikan, bukan banyaknya hak yang
harus dituntut. Apabila hakikat ini tidak difahami, maka tugas dan
fungsi sebagai bapa menjadi sebaliknya. Daripada menjadikan isteri dan
anak-anak sebagai amanah yang harus dijaga dengan baik, mereka
menjadikan isteri dan anak-anak sebagai pekerja yang sentiasa dikerah
bertugas untuk kepuasan dirinya sebagai ‘ketua’.
Hakikatnya, persefahaman antara suami dan isteri amat penting untuk
melengkapkan proses pembinaan identiti anak. Gabungan antara akhlak baik
yang diwarisi daripada ibu bapa dan ilmu yang dipelajari adalah
pertautan yang lengkap untuk menjadikan seorang itu mempunyai sahsiah
yang baik. Setiap insan apabila boleh berfikir, mereka perlu insaf
bahawa kewujudannya mempunyai matlamat, perjalanannya mempunyai haluan
dan hidupnya mempunyai tugas dan tanggungjawab. Justeru, umat Islam
selaku sebahagian daripada entiti penting di dalam masyarakat juga tidak
boleh lari daripada meningkatkan kesedaran tentang persoalan ini dan
seterusnya bingkas bangun memuhasabah diri ke arah mengurus kejayaan
hidup di dunia dan di akhirat.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Sila Tinggalkan Komen Disini