SEMUA orang yang beriman berkehendakkan amalan yang dikerjakannya
bernilai dan diterima oleh Allah SWT. Amalan yang dilakukan akan dijaga
dan dipelihara dengan baik agar tidak batal. Amalan yang terbatal
tentunya tidak mempunyai nilai. Iia hanya sia-sia seumpama debu-debu
yang berterbangan. Antara perkara yang boleh membatalkan aqidah kita
ialah syirik kepada Allah SWT.
Syirik boleh terjadi dengan dua keadaan. Pertama adalah menyekutukan
Allah SWT dengan sesuatu yang lain. Ia dikenali sebagai syirik kecil.
Ini termasuklah menyembah dan menyamakan Allah SWT dengan batu, pokok,
matahari, bulan, Nabi, pemimpin, malaikat dan sebagainya.
Syirik merupakan dosa yang paling besar berbanding dosa-dosa besar
yang lain. Ia boleh meruntuhkan akidah seseorang. Apabila akidah telah
runtuh, maka ibadah yang dilakukan sia-sia dan tidak berguna sama
sekali.
Lebih dahsyat dari itu ialah dosa syirik tidak diampunkan dosa oleh Allah SWT. Ini berdasarkan firman Allah SWT yang bermaksud: Sesungguhnya
Allah tidak akan mengampuni dosa syirik dan Dia mengampuni segala dosa
yang selain dari (syirik) itu bagi siapa yang dikehendaki-Nya. Barang
siapa yang mempersekutukan Allah maka sungguh ia telah berbuat dosa yang
besar. (an-Nisa’: 48).
Jelas daripada ayat di atas menunjukkan bahawa Allah SWT tidak
mengampunkan dosa-dosa orang yang telah melakukan syirik kepada-Nya.
Namun, sekiranya orang yang melakukan syirik itu sempat bertaubat kepada
Allah SWT sebelum meninggal dunia, maka dengan rahmat dan kasih sayang
Allah yang Maha Pengampun, dia akan diampunkan dosa walaupun telah
melakukan syirik.
Manakala orang yang tidak sempat bertaubat setelah mengerjakan dosa syirik tidak akan diampunkan dosa.
Dengan kata lain, dia kekal dalam seksaan neraka selama-lamanya.
Adapun mereka yang melakukan dosa-dosa yang lain walaupun tidak sempat
bertaubat, akan diampunkan dosa-dosa mereka setelah melalui tempoh
hukuman di akhirat sebagaimana yang dikehendaki oleh Allah SWT.
Inilah pandangan yang dikemukakan oleh para ulama termasuk Imam Az-Zahabi dalam kitab terkemukanya, Al-Kabair.
Antara amalan-amalan yang boleh membawa kepada berlakunya syirik
ialah mempercayai dukun atau bomoh dan meminta pertolongan daripada
mereka.
Nabi SAW bersabda yang bermaksud: “Barang siapa yang menemui tukang
tilik atau bomoh dan bertanya sesuatu kepada mereka, lalu dia
mempercayai apa yang dikatakan oleh mereka itu, maka sesungguhnya dia
telah kufur dengan apa yang diturunkan kepada nabi Muhammad SAW.”
(Riwayat Ashabus Sunan).
Amalan bertemu dengan dukun, pawang dan bomoh banyak berlaku dalam
masyarakat kita hari ini. Antaranya disebabkan sikap permusuhan yang
membuahkan perasaan cemburu dan iri hati yang tidak berkesudahan.
Lantas, jalan singkat untuk menjatuhkan dan menghancurkan kehidupan
musuhnya ialah dengan meminta pertolongan bomoh yang sesat.
Di samping itu, kepercayaan bahawa pada tarikh dan bulan tertentu
boleh membawa malang dan sial juga boleh membawa kepada syirik. Ini
adalah kerana, hanya Allah SWT sahaja yang Maha Berkuasa menentukan
segalanya. Ia tiada kaitan dengan detik dan masa tertentu.
Perbuatan lain yang boleh menyebabkan berlakunya syirik menggunakan
atau memakai barangan tertentu untuk mendapat tuah atau menghalang sial.
Ini termasuklah memakai tangkal atau azimat yang dipercayainya boleh
menyembuhkan penyakit, pelaris perniagaan, ilmu kebal dan sebagainya.
Begitu juga yang menggunakan alatan seperti keris, tengkorak dan
barangan mistik yang lain untuk dipuja bagi meraih sesuatu untuk
keuntungan duniawi. Semua perbuatan ini juga dianggap syirik berdasarkan
hadis Nabi SAW: “Sesungguhnya jampi mantera, tangkal dan ilmu pengasih
adalah syirik”. (riwayat Abu Daud).
Keadaan kedua yang boleh menyebabkan syirik ialah riak iaitu
melakukan sesuatu ibadah bukan kerana Allah SWT, tetapi untuk
mempamerkannya kepada manusia. Riak adalah sebuah penyakit hati yang
berpunca dari perasaan ingin dilihat hebat melebihi orang lain. Lalu
ditunjuk-tunjukkan amalannya supaya orang yang melihatnya menyanjungi
dan memujinya.
Riak juga dikenali sebagai syirik kecil. Ini adalah kerana orang yang
melakukan amalan dengan hati yang riak seolah-olah melakukan amalan
untuk orang lain, bukan untuk Allah SWT. Firman Allah SWT yang
bermaksud: Maka barang siapa yang mengharapkan untuk bertemu dengan
Tuhannya hendaklah dia mengerjakan amalan yang soleh (baik), dan
janganlah mempersekutukan sebarangpun dalam beribadah kepadanya. (al-Kahfi: 110)
Nabi SAW bersabda: “Jauhilah kamu dari syirik yang kecil.” Lalu para
sahabat bertanya, “Apakah syirik kecil itu?” Nabi SAW menjawab: “Riya.’”
(riwayat Ahmad dan Baihaqi).
Ini bermakna, apabila seseorang itu melakukan sesuatu amalan dengan
riak, maka amalannya sudah tidak bermakna lagi kerana ia tidak
mendatangkan ganjaran pahala oleh Allah SWT. Firman Allah SWT: Dan kami hadapi segala amalan yang mereka kerjakan, lalu kami jadikan amalan itu seperti debu yang berterbangan. (al-Furqan: 23).
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Sila Tinggalkan Komen Disini