Mengapa setelah berzikir, solat atau berdoa hati belum tenang?
Sedangkan Allah telah menetapkan dalam Al Quran bahawa dengan mengingati
Allah hati akan menjadi tenang? Khususnya ketika menghadapi ujian
rumah tangga mengapa hati kita masih resah, kacau dan galau walaupun
sudah berbuih mulut meluahkan kalimah zikir? Justeru, ramai isteri
atau suami mengadu, mengapa hati mereka tidak tenang walaupun telah
berzikir ketika menghadapi krisis, ujian dan kesusahan dalam hidup
berumah tangga?
Mengapa kita belum mendapat ketenangan sepertimana yang dimiliki oleh
pasangan Sayidina Ali dan Siti Fatimah walaupun kita telah berzikir
dengan kalimah 'Subhanallah', 'Alhamdulillah' dan 'Allahu Akbar',sama
seperti yang pernah diamalkan oleh mereka? Apa yang tidak kena dengan
zikir kita? Bukankah kalimahnya sama? Bukankah jumlah atau bilangannya
sama?
Tidak syak lagi kita tidak dapat menghayati maksud tersirat daripada
kalimah-kalimah zikir itu. Berzikir tanpa menghayati falsafah dan makna
tersirat di sebaliknya, umpama burung kakak tua yang pandai bertutur.
Untuk menghayati makna zikir sehingga meresap ke dalam hati perlukan
ilmu, amalan dan latihan. Marilah kita sama-sama kita fahami apakah
kesan atau rasa-rasa yang perlu dirasai oleh hati apabila kita
mengingati Allah (berzikir). Antara rasa-rasa itu ialah:
1. Rasa kehambaan.
Rasa kehambaan ialah rasa miskin, jahil, lemah, bersalah, hina dan
lain-lain sifat kekurangan seorang manusia apabila berdepan dengan ujian
daripada Tuhannya. Apabila diuji dengan kerenah pasangan, kekurangan
harta, anak-anak sakit dan sebagainya, seorang suami atau isteri yang
memiliki rasa kehambaan akan sedar bahawa semua itu hakikatnya datang
daripada Allah.
Firman Allah:
"Tidak sekali-kali akan menimpa Kami sesuatu pun
melainkan apa yang telah ditetapkan Allah bagi kami. Dialah Pelindung
kami, dan (dengan kepercayaan itu) maka kepada Allah jualah hendaknya
orang yang beriman bertawakal.'' - (Surah At-Taubah 9: 51)."
Bila menyedari hakikat itu, seseorang akan pasrah dan merasakan bahawa dia wajar diuji. Hatinya berbisik, "Bukankah aku seorang hamba? Aku sewajarnya akur dengan apa yang berlaku dan tidak mempersoalkan mengapa aku diuji begini." Hatinya tidak akan berkata, "kenapa aku, bukan orang lain?"
Menerima hakikat bahawa kita layak diuji akan menyebabkan hati menjadi
tenang. Sebaliknya jika kita 'memberontak', hati akan bertambah kacau.
Let go, let God – maksudnya lepaskan dan pasrahlah kepada Allah.
Apakah tanda-tanda kita memberontak apabila diuji?
Kata Imam Ghazali rahimahullah,"Cukuplah seseorang hamba
dikatakan sudah 'memberontak' kepada Tuhannya apabila dia menukar
kebiasaan-kebiasaan dalam hidupnya apabila diuji Allah dengan sesuatu
yang tidak disukainya!"
Misalnya, seseorang suami atau isteri itu tidak mahu lagi untuk
makan dan minum secara teratur, tidak menyisir rambut, tidak berpakaian
kemas, tidak mengemaskan rumah atau menjaga anak-anaknya lagi.
Marilah sama-sama kita ingat, apabila ditimpa ujian, kita diajar untuk mengucapkan kalimah istirja', "Inna lillah wa inna ilaihi raji'un."
Firman Allah:
"Iaitu orang-orang
yang apabila ditimpa musibah, mereka berkata sesungguhnya kami milik
Allah dan kepada-Nya kami kembali. - (Surah Al-Baqarah 2:156)
Kalimah ini mengingatkan kita agar kembali merasakan erti kehambaan.
Bahawa kita adalah milik Allah dan kepada-Nya kita akan dikembalikan.
Kita layak, patut dan mesti diuji kerana kita hamba, bukan tuan apalagi
Tuhan dalam hidup ini. Dengan ini kita akan dapat menurunkan rasa marah
kepada pasangan, anak-anak, mertua atau sesiapa sahaja anggota
keluarga kita. Ya, mereka berbuat demikian atas izin Allah jua.
2. Rasa bertuhan.
Rasa kehambaan yang serba lemah, itu mesti di imbangi oleh rasa
bertuhan. Apabila kita rasa lemah, timbul pergantungan kepada Yang Maha
Kuat. Apabila kita rasa kurang, timbul pengharapan kepada Yang Maha
Sempurna. Apabila kita dihimpit kesedihan semakin kuat rasa
pergantungan, pengharapan, permintaan kita kepada Allah. Mungkin selama
ini kita terlalu bergantung kepada suami, isteri atau anak-anak.
Jika rasa kehambaan menyebabkan kita takut, hina dan lemah.
Sebaliknya rasa bertuhan akan menimbulkan rasa sabar, tenang dan berani
menghadapi apa jua masalah dalam rumah tangga. Seorang suami yang
paling kuat menghadapi ujian dalam hidup ialah suami yang merasa lemah
di sisi Allah. Ketika itu ujian walau bagaimana berat sekalipun akan
mampu dihadapi kerana merasakan Allah akan membantunya.
Firman Allah:
"Janganlah engkau berdukacita, sesungguhnya Allah bersama kita.''- (Surah Taubah 9:40)
Rasa bertuhan inilah yang menyebabkan para nabi dan rasul
sanggup berdepan dengan kerenah isteri mereka. Nabi Luth, Nabi Ayub,
Nabi Nuh misalnya, mampu menghadapi ujian yang paling kritikal dalam
rumah tangga mereka. Doa adalah senjata mereka manakala solat dan sabar
menjadi wasilah mendapat pertolongan Allah.
Firman Allah:
"Dan pintalah pertolongan dengan sabar dan mengerjakan solat.''-(Surah al-Baqarah 2:45)
Dalam apa jua keadaan,positif mahupun negatif, hati suami atau isteri tetap tenang.
Firman Allah:
"Dialah Tuhan yang menurunkan ketenangan ke
dalam hati orang yang beriman, supaya keimanan mereka makin bertambah
daripada keimanan yang telah ada. Kepunyaan Allah tentang langit dan
bumi, dan Allah itu Maha Tahu dan Bijaksana.''- (Surah al-Fath 48:4)
Apabila hati tenang, berlakulah keadaan yang dijelaskan oleh
Rasulullah SAW melalui sabdanya yang dilaporkan oleh Sa'ad bin Abi
Waqqas: "Aku hairan dengan orang beriman, sekiranya dia mendapat
kebaikan, maka dia akan memuji Allah dan bersyukur, dan sekiranya dia
mendapat musibah dia akan memuji Allah dan bersabar. Dan setiap mukmin
diganjari dalam setiap urusannya sehingalah diberi pahala pada setiap
suapan makan yang diangkat ke mulut isterinya."
3. Memahami maksud takdir Allah
Mana mungkin kita dapat mengelakkan daripada diuji kerana itu adalah
takdir Allah SWT. Yang mampu kita buat hanyalah meningkatkan tahap
kebergantungan kita kepada Allah di samping berusaha sedaya upaya
menyelesaikan masalah itu. Ungkapan yang terkenal: We can't direct the wind but we can adjust our sail – kita tidak mampu mengawal arah tiupan angin, kita hanya mampu mengawal kemudi pelayaran kita.
Kemudi dalam bahtera rumah tangga kita ialah hati. Hati yang bersifat
berbolak-balik (terutamanya apabila diuji) hanya akan tenang apabila
kita meyakini sifat kasih sayang, keampunan dan sifat pemurah-Nya tetap
bersama kita sewaktu diuji. Dalam apa jua takdir yang ditimpakan-Nya ke
atas kita adalah bermaksud baik sekalipun kelihatan buruk. Walaupun
kadang-kala kita belum nampak kebaikannya,percayalah kebaikannya pasti
ada.
Tidak salah untuk kita menyelesaikan masalah yang menimpa (bahkan
kita dituntut untuk berbuat demikian), namun jika masalah itu tidak juga
dapat diselesaikan, bersangka baiklah kepada Allah, berdasarkan
Firman Allah:
"Boleh jadi kamu benci kepada sesuatu padahal ia
baik bagi kamu, dan boleh jadi kamu suka kepada sesuatu padahal ia
buruk bagi kamu. Dan (ingatlah), Allah jualah Yang Mengetahui sedang
kamu tidak mengetahuinya.- (Surah Al-Baqarah 2: 216)"
Siapa tidak inginkan keharmonian, kasih sayang dan kemakmuran dalam
berumah-tangga. Namun jika setelah berusaha sedaya upaya, krisis masih
berlaku jua, maka bersangka baiklah dengan Tuhan. Mungkin itu caranya
untuk kita mendapat pahala sabar. Begitu juga kalau kita ditakdirkan
kita kesempitan belanja, maka berusahalah untuk menambah pendapatan,
kerana itulah maksud Allah mentakdirkan begitu. Ya, dalam apa jua
takdir Allah, hati kita dipimpin untuk memahami apa maksud Allah di
sebalik takdir itu.
Dengan ini kita tidak akan merungut, stres dan tertekan. Hayatilah kata-apa yang ditulis oleh Ibnu Atoillah ini: "Untuk
meringankan kepedihan bala yang menimpa, hendak dikenal bahawa
Allah-lah yang menurunkan bala itu. Dan yakinlah bahawa keputusan
(takdir) Allah itu akan memberikan yang terbaik."
Jagalah rumah tangga kita dengan sebaik-baiknya. Carilah jalan damai
sehabis daya. Namun ingatlah jika badai terus melanda, ingatlah itu
sudah maktub (tertulis). Jangan rosakkan hati kita dengan kalimah
"kalau" atau "jika". Hayati sabda Rasulullah saw ini: "Oleh itu,
hendaklah engkau bersungguh-sungguh berusaha memperoleh apa yang memberi
manfaat kepadamu, serta hendaklah meminta pertolongan kepada Allah dan
janganlah engkau bersikap segan dan malas. Dan jika engkau ditimpa
sesuatu, maka janganlah engkau berkata: "Kalau aku lakukan anu anu,
tentulah akan terjadi anu anu, tetapi katalah: "Allah telah takdirkan
dan apa yang dikehendaki oleh kebijaksanaan-Nya Ia lakukan,' kerana
perkataan 'kalau' itu membuka jalan kepada hasutan syaitan." (Hadis riwayat Muslim)
4. Mendapat hikmah apabila diuji.
Hikmah adalah suatu kebijaksanaan mendapat kebaikan di sebalik satu
keburukan. Hikmah dikurniakan sebagai hadiah paling besar dengan satu
ujian. Hikmah hanya dapat ditempa oleh mehnah – didikan langsung
daripada Allah melalui ujian-ujian-Nya. Daripada Abd al-Rahman bin Azhar
bahawa Rasulullah SAW bersabda: "Perumpamaan orang yang beriman
apabila ditimpa sakit atau demam, bagai besi yang dimasukkan ke dalam
api, lalu hilanglah karatnya (tahi besi) dan tinggallah yang baik
sahaja."
Jika tidak diuji, bagaimana hamba yang taat itu hendak mendapat
pahala sabar, syukur, reda, pemaaf, qanaah daripada Tuhan? Maka dengan
ujian bentuk inilah para suami atau isteri meraih sebanyak-banyaknya
pahala dan keredhaan Allah. Rumah tangga adalah medan 'perjuangan'
melawan nafsu marah, putus asa, buruk sangka, dendam dan lain-lain sifat
mazmumah yang mungkin timbul hasil interaksi dan komunikasi antara
suami isteri, ibu-bapa dengan anak-anak, mertua dengan menantu.
Pendek kata, bagi orang beriman, ujian bukanlah sesuatu yang negatif
kerana Allah sentiasa mempunyai maksud-maksud yang baik di sebaliknya.
Justeru, hayatilah kata-kata hikmah ini: "Allah melapangkan bagimu
supaya engkau tidak selalu dalam kesempitan, dan Allah menyempitkan
bagimu supaya engkau tidak hanyut dalam kelapangan, dan Allah melepaskan
engkau dari keduanya supaya engkau tidak bergantung kepada sesuatu
selain Allah."
Ya, inilah empat rasa yang sewajarnya ada ketika kita berzikir
sewaktu mengharungi ujian dalam berumah-tangga. Bawalah hati kita
berehat.Rehat sebenar ada di dalam zikir. Dan zikir yang paling besar
adalah solat. Oleh kerana itulah Rasulullah saw sering menyuruh Bilal
supaya azan dengan katanya yang membujuk, "Rehatkan kami dengan solat wahai Bilal!"
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Sila Tinggalkan Komen Disini