Dalam sebuah kitab karangan 'Ustman bin Hasan bin Ahmad Asy-Syaakir
Alkhaubawiyi, seorang ulama yang hidup dalam abad ke XIII Hijrah,
menerangkan bahawa sesungguhnya Allah S.W.T telah menciptakan akal, maka
Allah S.W.T telah berfirman yang bermaksud : "Wahai akal mengadaplah
engkau." Maka akal pun mengadap kehadapan Allah S.W.T., kemudian Allah
S.W.T berfirman yang bermaksud : "Wahai akal berbaliklah engkau!", lalu
akal pun berbalik. Kemudian Allah S.W.T. berfirman lagi yang bermaksud :
"Wahai akal! Siapakah aku?".
Lalu akal pun berkata, "Engkau adalah Tuhan yang menciptakan aku dan aku
adalah hamba-Mu yang daif dan lemah." Lalu Allah S.W.T berfirman yang
bermaksud : "Wahai akal tidak Ku-ciptakan makhluk yang lebih mulia
daripada engkau." Setelah itu Allah S.W.T menciptakan nafsu, dan
berfirman kepadanya yang bermaksud : "Wahai nafsu, mengadaplah kamu!".
Nafsu tidak menjawab sebaliknya mendiamkan diri. Kemudian Allah S.W.T
berfirman lagi yang bermaksud : "Siapakah engkau dan siapakah Aku?".
Lalu nafsu berkata, "Aku adalah aku, dan Engkau adalah Engkau." Setelah
itu Allah S.W.T menyiksanya dengan neraka jahim selama 100 tahun, dan
kemudian mengeluarkannya. Kemudian Allah S.W.T berfirman yang bermaksud :
"Siapakah engkau dan siapakah Aku?".
Lalu nafsu berkata, "Aku adalah aku dan Engkau adalah Engkau." Lalu
Allah S.W.T menyiksa nafsu itu dalam neraka Juu' selama 100 tahun.
Setelah dikeluarkan maka Allah S.W.T berfirman yang bermaksud :
"Siapakah engkau dan siapakah Aku?". Akhirnya nafsu mengakui dengan
berkata, " Aku adalah hamba-Mu dan Kamu adalah tuhanku." Dalam kitab
tersebut juga diterangkan bahawa dengan sebab itulah maka Allah S.W.T
mewajibkan puasa.Dalam kisah ini dapatlah kita mengetahui bahawa nafsu
itu adalah sangat jahat oleh itu hendaklah kita mengawal nafsu itu,
jangan biarkan nafsu itu mengawal kita, sebab kalau dia yang mengawal
kita maka kita akan menjadi musnah.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Sila Tinggalkan Komen Disini