Jumaat, 1 Mac 2013

Manusia Bertanya Al-Quran Menjawab

 

Segala kejadian yang berlaku di muka bumi dan kepada setiap diri manusia, semuanya mengandungi hikmah tersendiri dan Allah سبحانه وتعالى. Maha Mengetahui setiap sesuatu yang diciptakan dan ditakdirkan-Nya.

Manusia perlu bersabar dan bertenang dan mencari kebaikan dan hikmah disebalik setiap peristiwa dan kejadian yang berlaku. Dari sinilah akan melahirkan jiwa yang redha dengan Qadak dan Qadar dan sifat bersyukur ke atas nikmat dan rahmat daripada Allah سبحانه وتعالى.

Terdapat sembilan persoalan yang sering dikemukakan oleh manusia kepada Allah سبحانه وتعالى . dan Dia menjawabnya menerusi firmanNya di dalam al-Quran.


1.  Kenapa Aku Diuji?

Allah سبحانه وتعالى menjawab :

أَحَسِبَ النَّاسُ أَن يُتْرَ‌كُوا أَن يَقُولُوا آمَنَّا وَهُمْ لَا يُفْتَنُونَ ﴿٢﴾ وَلَقَدْ فَتَنَّا الَّذِينَ مِن قَبْلِهِمْ ۖ فَلَيَعْلَمَنَّ اللَّـهُ الَّذِينَ صَدَقُوا وَلَيَعْلَمَنَّ الْكَاذِبِينَ ﴿٣

 “Patutkah manusia menyangka bahawa mereka akan dibiarkan dengan hanya berkata: “Kami beriman”, sedang mereka tidak diuji (dengan sesuatu cubaan)? Dan demi sesungguhnya! Kami telah menguji orang-orang yang terdahulu daripada mereka; Maka (dengan ujian yang demikian), nyata apa yang diketahui Allah tentang orang-orang yang sebenar-benarnya beriman, dan sesungguhnya Dia mengetahui orang-orang yang berdusta.” (Surah al-Ankabut  ; Ayat 2-3).

Setiap ujian yang ditimpakan oleh Allah سبحانه وتعالى kepada para hamba-Nya sebenarnya Dia ingin mengurniakan sesuatu ganjaran yang lebih besar dan lebih baik. Allah سبحانه وتعالى akan menghapuskan dosa-dosanya dan memberi ganjaran pahala yang besar. Di hari akhirat nanti tidak ada balasan yang lebih baik melainkan mendapat balasan syurga.


2.  Kenapa Aku Tak Dapat Apa Yang Aku Idam-Idamkan?

Allah سبحانه وتعالى menjawab :
وَعَسَىٰ أَن تُحِبُّوا شَيْئًا وَهُوَ شَرٌّ‌ لَّكُمْ ۗ وَاللَّـهُ يَعْلَمُ وَأَنتُمْ لَا تَعْلَمُونَ

“Dan boleh jadi kamu benci kepada sesuatu padahal ia baik bagi kamu, dan boleh jadi kamu suka kepada sesuatu padahal ia buruk bagi kamu. Dan (ingatlah), Allah jualah Yang mengetahui (semuanya itu), sedang kamu tidak mengetahuinya.” (Surah al-Baqarah  ; Ayat 216)

Sseungguhnya sesuatu perkara itu hakikat sebenarnya Allah Maha Mengetahui. Baik atau buruk sesuatu perkara itu, semuanya adalah di dalam ilmu dan pengetahun Allah سبحانه وتعالى. Yakinilah jika sesuatu doa atau hajat tidak ditunaikan-Nya ada sesuatu yang lebih baik akan diberi Allah سبحانه وتعالى sebagai penganti apa yang kita hajatkan. Jika tidak dapat di dunia, nanti di hari akhirat Dia akan memberkannya kepada kita, oleh itu berbaik sangkalah kepada-Nya.


3.  Kenapa Ujian Seberat Ini?

Allah سبحانه وتعالى menjawab :
لَا يُكَلِّفُ اللَّـهُ نَفْسًا إِلَّا وُسْعَهَا ۚ

“Allah tidak membebani seseorang melainkan sesuai dengan kesanggupannya.” (Surah al-Baqarah ; Ayat 286)

Allah سبحانه وتعالى Maha Mengetahui kemampuan kita sebagai hamba-Nya yang kerdil, oleh itu apa sahaja yang berlaku ke atas diri kita sebenarnya masih ujian ringan dan di bawah kemampuan sebenar diri kita untuk menghadapinya. Anggaplah sesuatu ujian itu dengan fikiran yang positif dan cubalah renungkan bahawa terdapat orang lain yang lebih berat menghadapi ujian daripada kita maka dengan itu akan terasa beban yang ditanggung akan menjadi lebih ringan.


4.  Kenapa Kita Rasa Kecewa?

Allah سبحانه وتعالى menjawab :
وَلَا تَهِنُوا وَلَا تَحْزَنُوا وَأَنتُمُ الْأَعْلَوْنَ إِن كُنتُم مُّؤْمِنِينَ

“Janganlah kamu bersikap lemah dan janganlah pula kamu berdukacita (bersedih hati terhadap apa yang akan menimpa kamu), padahal kamulah orang-orang yang paling tinggi darjatnya (mengatasi musuh dengan mencapai kemenangan) jika kamu orang-orang yang (sungguh-sungguh) beriman.” (Surah Ali Imran  ; Ayat 139)

Yakinlah sifat orang mukmin tidak akan rasa kecewa atau putus asa kerana orang mukmin akan sentiasa redha dengan Qadak dan Qadar. Jika kita merasai kita mulia di sisi Allah سبحانه وتعالى kerana kita orang yang beriman dan bertakwa maka akan hilang perasaan negatif ini.


5.  Bagaimana Harus Aku Menghadapi Kesusahan Ini?

Allah سبحانه وتعالى menjawab :
وَاسْتَعِينُوا بِالصَّبْرِ‌ وَالصَّلَاةِ ۚ وَإِنَّهَا لَكَبِيرَ‌ةٌ إِلَّا عَلَى الْخَاشِعِينَ

“Dan mintalah pertolongan (kepada Allah) dengan jalan sabar dan mengerjakan solat; Dan sesungguhnya solat itu amat berat kecuali bagi orang-orang yang khusyuk.” (Surah al-Baqarah ; Ayat 45)

Benarlah saranan Allah سبحانه وتعالى bahawa sifat sabar dan sentiasa mengerjakan solat wajib dan solat sunat akan membantu orang mukmin ketika dia menghadapi ujian dan kesukaran dalam hidup. Dia akan melapangkan fikiran kita dan melepaskan daripada segala kesusahan ini jika kita istiqamah dengan bersabar dan menjadikan solat kerana solat adalah doa dan munajat para hamba kepada Tuhannya.


6.  Kepada Siapa Aku Berharap?

Allah سبحانه وتعالى menjawab :
حَسْبِيَ اللَّـهُ لَا إِلَـٰهَ إِلَّا هُوَ ۖ عَلَيْهِ تَوَكَّلْتُ ۖ وَهُوَ رَ‌بُّ الْعَرْ‌شِ الْعَظِيمِ

 “Cukuplah Allah bagiku (yang menolong dan memeliharaku), tidak ada Tuhan (yang berhak disembah) selain daripada-Nya. Hanya kepada-Nya aku bertawakal, dan ial ah yang mempunyai Arasy yang besar.”  (Surah at-Taubah ; Ayat 129)

Tidak ada tempat lain untuk kita bergantung dan memohon pengharapan hanya kepada Allah سبحانه وتعالى yang Maha Pengasih dan Maha Penyayang. Tuhan yang mengkabulkan segala doa dan permintaan.


7.  Apa Yang Aku Dapat Daripada Semua Ujian Ini?


Allah سبحانه وتعالى menjawab :
إِنَّ اللَّـهَ اشْتَرَ‌ىٰ مِنَ الْمُؤْمِنِينَ أَنفُسَهُمْ وَأَمْوَالَهُم بِأَنَّ لَهُمُ الْجَنَّةَ

“Sesungguhnya Allah telah membeli daripada golongan Mukmin (orang-orang yang beriman) akan jiwa mereka dan harta benda mereka dengan (balasan) bahawa mereka akan beroleh Syurga.” (Surah at-Taubah  ; Ayat 111)

Tidak ada balasan yang paling berharga yang di miliki oleh manusia yang bertakwa melainkan balasan syurga seluas langit dan bumi. Semua ujian yang dihadapai tidak akan sia-sia kerana Allah سبحانه وتعالى telah berjanji akan memberikan balasan syurga kepada siapa yang sanggup berjihad dijalan-Nya dengan harta, masa dan nyawa semata-mata mencari keredaan-Nya.


8.   Sanggupkah Aku Hadapi Ujian Ini!

Allah سبحانه وتعالى menjawab :
وَلَا تَيْأَسُوا مِن رَّ‌وْحِ اللَّـهِ ۖ إِنَّهُ لَا يَيْأَسُ مِن رَّ‌وْحِ اللَّـهِ إِلَّا الْقَوْمُ الْكَافِرُ‌ونَ

“…dan janganlah kamu berputus asa daripada rahmat serta pertolongan Allah. Sesungguhnya tidak berputus asa dari rahmat dan pertolongan Allah itu melainkan kaum yang kafir.” (Surah Yusuf  ; Ayat 87)

Orang Mukmin tidak akan putus asa dengan rahmat Allah Allah سبحانه وتعالى dan sentiasa bersabar dengan ujian yang melanda dirinya kerana sifat orang yang putus asa adalah sifat orang-orang kafir.


9.  Sampai Bila Aku Akan Merana Begini?

Allah سبحانه وتعالى menjawab :
فَإِنَّ مَعَ الْعُسْرِ‌ يُسْرً‌ا ﴿٥﴾ إِنَّ مَعَ الْعُسْرِ‌ يُسْرً‌ا ﴿٦

“Maka (tetapkanlah kepercayaanmu) bahawa sesungguhnya tiap-tiap kesukaran disertai kemudahan, (Sekali lagi ditegaskan) bahawa sesungguhnya tiap-tiap kesukaran disudahi dengan kemudahan.” (Surah al-Insyirah ; Ayat 5-6)

Benar apa yang dijelaskan oleh al-Quran bahawa setiap kesusahan itu akan ada kebahagiaan . Allah سبحانه وتعالى. Maha Adil dan tidak pernah menganiaya hamba-hamba-Nya dan akan sampai juga masanya Dia akan memberi pertolongan dan memberi kemudahan. Ingatlah bahawa pertolongan Allah سبحانه وتعالى cukup hampir bila kita baik sangka dengan-Nya.


Hikmah

Begitulah sembilan soalan dan semuanya telah diberi jawapan oleh Allah سبحانه وتعالى melalui Al-Quran kerana sesungguhnya al-Quran adalah mukjizat daripada Allah سبحانه وتعالى kepada seluruh makhluk-Nya. Apabila kita dapat memahami hikmah disebalik kesemua kejadian di dunia ini, maka hati kita akan menjadi tenang dan yakin dengan janji-janji Allah سبحانه وتعالى yang dinyatakan-Nya di dalam al-Quran.

Firman Allah سبحانه وتعالى:
مَا أَصَابَ مِن مُّصِيبَةٍ فِي الْأَرْ‌ضِ وَلَا فِي أَنفُسِكُمْ إِلَّا فِي كِتَابٍ مِّن قَبْلِ أَن نَّبْرَ‌أَهَا ۚ إِنَّ ذَٰلِكَ عَلَى اللَّـهِ يَسِيرٌ‌

“Tidak ada sesuatu kesusahan (atau bala bencana) yang menimpa di bumi, dan tidak juga yang menimpa diri kamu, melainkan telah sedia ada tertulis di dalam Kitab Loh Mahfuz (pengetahuan Kami) sebelum Kami menjadikannya; Sesungguhnya mengadakan yang demikian itu adalah mudah bagi Allah.” (Surah Al-Hadid ; Ayat 22)
.
Dalam ayat yang lain Allah berfirman سبحانه وتعالى :
وَمَا يَعْزُبُ عَن رَّ‌بِّكَ مِن مِّثْقَالِ ذَرَّ‌ةٍ فِي الْأَرْ‌ضِ وَلَا فِي السَّمَاءِ وَلَا أَصْغَرَ‌ مِن ذَٰلِكَ وَلَا أَكْبَرَ‌ إِلَّا فِي كِتَابٍ مُّبِينٍ

“Dan tidak akan hilang lenyap dari pengetahuan Tuhanmu biarpun sebesar zarah (sesuatu dari sehalus-halus atau seringan-ringan) yang ada di bumi atau di langit, dan tidak ada yang lebih kecil dari itu dan tidak ada yang lebih besar daripada itu melainkan (semuanya tercatat) dalam kitab terang yang nyata (Loh Mahfuz).” (Surah Yunus ; Ayat 61)



والله أعلم بالصواب

Wallahu A’lam Bish Shawab

 (Hanya Allah Maha Mengetahui apa yang benar)


sumber
tenkiu kt kekawan yg sudi membce entry kt cni..like klo ske bce

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Sila Tinggalkan Komen Disini

Copyrigt@Segala Yang Tercatat diatas adalah untuk Renungan Bersama