Sabtu, 8 Jun 2013

3 Makhluk Utama dalam Isra’ Mikraj



TERDAPAT tiga makhluk Allah yang terlibat dalam peristiwa Israk Mikraj iaitu Nabi Muhammad, seekor haiwan bernama Buraq dan malaikat Jibrail AS.

Rasulullah SAW mewakili manusia yang dijadikan dari tanah dan dibekalkan akal dan nafsu, manakala Buraq pula mewakili binatang yang hanya dibekalkan nafsu tetapi mempunyai akal yang tidak sempurna sebagaimana manusia.

Jibrail AS pula adalah mewakili makhluk Allah yang dicipta daripada cahaya dan hanya memiliki akal sahaja.

Secara ringkasnya perlakuan makhluk-makhluk Allah itu adalah berdasarkan kepada apa yang ada kepada mereka iaitu akal dan nafsu. Akal adalah kemuncak kemuliaan pada setiap makhluk.
Akal yang diberikan oleh Allah jika digunakan dengan sebaiknya akan mendorong ke arah kebaikan dan kesejahteraan namun jika menggunakan hanya kepada pertimbangan akal semata-mata tidak boleh menjamin kebaikan dan kesejahteraan melainkan mesti dilandaskan berdasarkan kepada syariat Allah.
Hal ini adalah kerana kebaikan dan keburukan sesuatu perkara bukan mengikut pertimbangan akal semata-mata tetapi mestilah didasari oleh syariat dan peraturan Allah selaku pencipta dan pentadbir.
Oleh yang demikian, Allah telah mengutus para nabi dan rasul untuk memimpin manusia ke arah kebenaran.

Pertemuan

Dalam peristiwa Mikraj, ketiga-tiga makhluk Allah iaitu Rasulullah sendiri, malaikat Jibrail dan Buraq bergerak dari satu lapisan langit kepada satu lapisan langit sehingga sampai di suatu tempat dikenali sebagai Sidratul Muntaha.

Apabila tiba di Sidratul Muntaha, di situlah terhentinya perjalanan itu, lalu Jibrail berundur, maka Rasulullah bertanya kepadanya: “Apakah sampai di sini engkau harus meninggalkan aku? Jibrail menjawab: “Aku tidak boleh melangkah walau setapak pun melewati tempat ini.”

Rasulullah sendiri bertemu dengan Allah di mana diriwayatkan bahawa jarak di antara Baginda dengan Allah hanyalah jarak anak panah atau dekat lagi. Firman Allah dalam surah al-Najm ayat kelapan dan sembilan iaitu: Kemudian ia mendekatkan dirinya (kepada Nabi Muhammad SAW), lalu ia berjuntai sedikit demi sedikit sehingga jarak sekadar dua hujung busar panah atau lebih dekat lagi.

Maka terbuka segala tabir, terbukalah hijab, sehingga baginda melihat wajah Allah. Maka di situlah juga Rasulullah mendapat perintah mengejakan solat sebanyak 50 waktu solat sehari semalam.

Persimpangan

Rasulullah SAW seorang manusia yang sempurna dapat mengatasi ketinggian malaikat mahupun Buraq untuk bertemu Allah dan ini bererti akal waras yang dipandu syariat dapat mengawal nafsu menjadikan manusia mencapai kedudukan yang amat tinggi di sisinya.

Sebaliknya manusia yang diperkudakan oleh nafsu semata-mata tanpa pertimbangan akal yang dipandu syariat menjadikan manusia di kedudukan yang amat rendah dan hina di mata makhluk dan tiada nilai sedikitpun di sisi Allah.

Firman Allah dalam surah al-Tin ayat keempat dan keenam bermaksud: Sesungguhnya kami telah menciptakan manusia dalam bentuk yang sebaik-baiknya. Kemudian Kami kembalikannya ke tempat yang serendah-rendahnya neraka, kecuali orang yang beriman dan beramal saleh maka mereka beroleh pahala yang tidak putus-putus.

Fitrah

Secara fitrahnya kita dapat merasai tentang nilai kemanusiaan dan kemuliaan akal. Manusia dalam keadaan mana sekalipun sentiasa meletakkan akal lebih tinggi daripada pinggang (nafsu).
Kita merasa amat tidak selesa apabila kita berbaring dalam keadaan yang condong bila mana kedudukan kepala ke bawah dari pinggang kita. Mengapa? Jawapannya kerana kedudukan tersebut telah meletakan kedudukan kemaluan (nafsu) lebih tinggi dari kepala (akal/otak).

Dalam kedudukan yang sama (berbaring) ditempat yang rata permukaannya sekalipun kita merasa tidak merasa selesa apatah lagi sebaliknya. Bila kita letak bantal sebagai alas kepala, baru kita rasa selesa. Kita berjalan, duduk, makan, minum, semua keadaan tetap meletakkan kepala di atas mengatasi punggung.

Binatang adalah makhluk yang ada akal tetapi tiada sempurna dan nafsu. Adanya nafsu untuk kelangsungan kehidupan di dunia. Akal tidak sempurna sebagaimana manusia, jin dan malaikat.
Manusia yang mahu bersujud di hadapan Allah adalah manusia yang paling mulia di sisinya. Ketika bersujud, manusia berada dalam keadaan yang paling rendah dan hina kerana sengaja meletakkan kepala lebih rendah daripada kemaluan.

Ia dilakukan semata-mata sebagai tanda kehambaan daripada seorang makhluk kepada khalik iaitu pencipta. Semasa di Padang Mahsyar nanti ketika Rasulullah memohon syafaat kepada Allah bagi memulakan perbicaraan terhadap umatnya dan umat-umat seluruhnya, baginda bersujud terlebih dahulu di hadapan Allah sehingga diperkenankan.

Oleh demikian, Allah memerintahkan kepada seluruh malaikat dan iblis untuk sujud kepada Adam. Semua sujud kecuali iblis. Mereka enggan dan takbur, maka jadilah mereka daripada kalangan orang-orang yang kafir.

Firman Allah di dalam Surah al-Baqarah ayat 34: Dan ingatlah ketika Kami berfirman kepada para malaikat: Sujudlah (tunduklah dengan membongkokkan badan sebagai memberi penghormatan) kepada Nabi Adam: Lalu mereka sekalian sujud melainkan Iblis, ia enggan dan takbur serta ia menjadi sebahagian daripada golongan orang-orang yang kafir.



tenkiu kt kekawan yg sudi membce entry kt cni..like klo ske bce

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Sila Tinggalkan Komen Disini

Copyrigt@Segala Yang Tercatat diatas adalah untuk Renungan Bersama