SENTIASA MERASA CUKUP….
rezeki yang berkat menjadikan seseorang itu sentiasa merasa
cukup dan tenang walaupun bukan hidup dalam kemewahan.
rezeki yang berkat menjadikan seseorang itu sentiasa merasa
cukup dan tenang walaupun bukan hidup dalam kemewahan.
Bermakna, kita memang mengharapkan makanan dan apa saja rezeki yang kita peroleh diberkati Allah.
Rasulullah bersabda
yang bermaksud: “Tiada seorang pun yang berdoa kepada Allah dengan
suatu doa, kecuali dikabulkan-Nya dan dia memperoleh salah satu
daripada tiga keadaan, iaitu dipercepatkan penerimaan doanya di dunia,
disimpan (ditunda) untuknya sampai di akhirat atau diganti dengan
mencegahnya daripada musibah (bencana) yang serupa.” (Hadis riwayat
at-Tabrani).
Yang jelas,
pengharapan kita untuk mendapatkan rezeki yang berkat menjadikan
kehidupan kita lebih tenang, cukup dan sentiasa dalam naungan Allah.
Rasulullah bersabda: “Makanan untuk seorang mencukupi untuk dua orang
dan makanan untuk dua orang mencukupi untuk empat orang dan makanan
untuk empat orang mencukupi untuk lapan orang.” (Hadis riwayat Bukhari
dan Muslim).
Justeru, dalam isu
keberkatan, setiap Muslim perlu mempunyai sifat qanaah iaitu reda dan
menerima apa saja tanpa menuntut perkara yang bukan keperluannya. Lawan
kepada sifat qanaah adalah tamak. Ia menjadikan seseorang itu sentiasa
cemburu dan dengki dengan rezeki orang lain. Maka, ucapan
‘Alhamdulillah’ perlu dilafazkan bagi menanam sifat qanaah supaya kita
sentiasa menerima perkara yang baik.
Rezeki adalah
ketentuan Allah kurniakan kepada hamba-Nya dari pelbagai sudut.
Terdapat tiga kesudahan rezeki iaitu jika pakaian, lama kelamaan pasti
ia terbuang, makanan menjadi najis atau menjadi bekalan di akhirat jika
dibelanjakan ke jalan Allah.
Justeru, untuk
menambah keberkatan kita perlu membiasakan diri dengan amalan
bersedekah. Sifat pemurah akan memberikan ketenangan kepada diri selain
turut disayangi orang lain.
Kita perlu ingat, harta yang kita miliki selama ini terdapat juga hak orang lain yang wajib ditunaikan.
Kekayaan bukan
terletak pada hebatnya harta seperti kereta mewah, rumah, tanah serta
perniagaan yang dijalankan tetapi kekayaan iman yang mencerminkan
kesederhanaan hidup.
Dari Abu Hurairah
berkata Rasulullah bersabda yang bermaksud: “Allah berfirman kepada
malaikat pembahagi (pengedar) rezeki kepada bani Adam: Mana satu
hamba-Ku yang kamu temui menuju harapannya kepada Aku semata- maka
jaminkanlah rezekinya di langit dan bumi. Dan mana satu hamba-Ku yang
kamu temui sedang mencari rezekinya, sesungguhnya dia sedang menuntut
keadilan, maka lorongkanlah jalan-jalannya tetapi jika dia menuntut
selain dari itu, maka biarkanlah antara mereka dengan apa yang mereka
tuntut itu, kelak mereka tidak akan memperoleh lebih daripada apa yang
Aku tentukan untuk mereka itu.” (Hadis riwayat Abu Naim).
Apabila rezeki tiada
nilai keberkatan, kita sentiasa dalam suasana tidak mencukupi. Ada
satu, mahu yang lain dan begitulah seterusnya namun tetap merasa
kekurangan. Berkat bermaksud peningkatan serta penyuburan iaitu yang
sedikit kita merasa seolah-olah banyak dan mencukupi.
Allah Maha Berkuasa untuk memberi, menarik, meluas serta menyempitkan rezeki sesiapa sahaja.
Memang banyak hikmah rezeki yang berkat, antaranya menjadi punca termakbulnya doa.
Ingatlah, jika Allah
cepat memakbulkan sesuatu doa hamba-Nya itu, bermakna Allah amat
menyayanginya. Jika Allah lambat memakbulkan doa, maka itu adalah satu
ujian buat hamba-Nya manakala jika Allah tidak memakbulkan doa seorang
hamba-Nya maka Dia merancang sesuatu yang lebih baik untuk kita.
Jadi, kita perlu
sentiasa mencari keberkatan dalam hidup seharian kerana ia penting bagi
menjamin kesejahteraan. Apabila mendapat keberkatan, kemurahan rezeki
itu secara langsung dapat dinikmati.
Sabda Rasulullah
s.a.w yang bermaksud: “Barang siapa yang ingin murah atau lapang
rezekinya dan dipanjangkan umurnya, hendaklah ia menghubungkan atau
menyambungkan silaturahim (sesama manusia) (Riwayat Bukhari).
Kita jangan mendidik diri dengan sifat kedekut kerana ia menyempitkan rezeki.
Rezeki amat berkait
rapat dengan peribadi seseorang. Ia akan tertahan apabila mereka
bergelumang dengan dosa yang dilakukan seharian tanpa bertaubat.
Firman Allah yang
bermaksud: “Hai sekalian manusia, makanlah yang halal lagi baik
daripada apa yang terdapat di bumi, dan janganlah kamu mengikuti
langkah-langkah syaitan, kerana sesungguhnya syaitan itu adalah musuh
yang nyata bagimu.” (Surah al-Baqarah ayat 168).
Bagaimana kehidupan
kita jika sentiasa bergelumang dengan pendapatan haram? Rasulullah
bersabda yang bermaksud: “Setiap daging yang tumbuh dari bahan makanan
yang haram maka api nerakalah yang lebih layak baginya”. (Hadis Riwayat
At-Tarmizi).
Seperti yang
dijelaskan dalam sebuah hadis; apabila Said Bin Abi Waqas meminta agar
Rasulullah mendoakannya supaya Allah memperkenankan doanya, maka
Rasulullah bersabda yang bermaksud: “Perelokan sumber rezekimu, pasti
doamu dimakbulkan.” Kadang kala kita hairan kerana umat Islam takut
untuk memakan daging babi kerana ia adalah haram tetapi mereka selamba
dan acuh tidak acuh apabila mengambil pendapatan haram.
Penceramah dan perunding motivasi, Mohd Zawawi Yusoh berkata, berkat berkaitan dengan langkah kita ke syurga ataupun neraka.
“Setiap pekerjaan
yang dilakukan janganlah sehingga mengabaikan ibadat asas seperti solat
kerana ia menghilangkan keberkatan rezeki.
“Jika solat terabai,
berat untuk sedekah, bersikap acuh tak acuh dengan pengeluaran zakat
maka akan hilang nilai keberkatan itu sendiri,” katanya.
Beliau berkata
keberkatan juga berkait rapat dengan cara dan proses seseorang itu
mendapatkan rezekinya tidak kira apa saja pekerjaan yang mereka
lakukan.
“Tanda keberkatan
adalah semakin banyak mereka menerima sesuatu, semakin taat mereka
kepada Allah dan semakin baik hubungan dengan orang di sekeliling.
“Bagi mereka yang bekerja di pejabat, mereka perlu mematuhi peraturan
iaitu cukup masa bekerja, tuntutan kerja lebih masa dibuat dengan betul
serta tidak mencuri tulang,” katanya.
Selain itu, beliau berkata pelaksanaan kerja juga perlu sentiasa betul agar yang menurut perintah Allah s.w.t.
“Dalam perniagaan
misalnya, jika pelaksanaannya tidak betul seperti unsur penipuan dan
riba’ dalam pengurusan, pasti hasilnya tidak sah.
“Kerja yang berkat
dan sempurna sentiasa melaksanakan perintah Allah. Firman Allah yang
bermaksud: “Dan katakanlah (Wahai Muhammad): “Bekerjalah kamu. Nanti
Allah akan melihat pekerjaanmu serta Rasul-Nya dan orang-orang Mukmin.
Nanti kamu akan di kembalikan kepada Yang Mengetahui yang ghaib dan
yang hadir, lalu dikhabarkan-Nya kepadamu apa yang telah kamu
kerjakan”. (Surah at-Taubah ayat 105).
Katanya, Allah mengurniakan kepada manusia pelbagai bentuk rezeki seperti wang, pangkat mahupun kuasa.
“Manusia perlu menitikberatkan usaha mencari rezeki halal supaya hidup bertambah berkat di dunia dan akhirat.
“Apabila sumber itu
halal, maka lahirlah perbuatan mulia. Manakala jika makanan itu
berpunca dari sumber haram, akan lahirlah perbuatan tercela,” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Sila Tinggalkan Komen Disini