Kemudian dijadikan oleh Allah Akal. Ianya satu organ rahsia yang disembunyikan lokasi khusus dari Allah yang menciptanya. Tujuan tauhidnya ialah supaya manusia itu yakin dengan suatu perkara yang tidak nampak dengan mata kasar yang sangat terbatas ini. Begitulah halnya dengan adanya perkara-perkara yang ghaib yang tidak mampu dilihat dengan mata kepala manusia tetapi pasti kewujudannya itu. Justeru, akal ini berfungsi membezakan antara baik dan buruk atau sebagai indicator dalam sesuatu tindakan seseorang. Semua manusia tahu zina itu haram, arak itu haram, judi, pergaulan bebas lelaki perempuan, dedah aurat dan sebagainya adalah haram, namun persoalannya mengapa ianya masih terjadi?Jawapannya ialah Allah mencipta satu lagi organ rahsia yang berlawanan dengan Akal yang positif tadi iaitu organ negatif yang dikenali sebagai Nafsu. Inilah yang dikatakan keadilan Allah.Jika manusia hanya dibekalkan dengan Akal sahaja manusia tidak akan makan, minum, tidur, kahwin dan sebagainya sepertimana malaikat. Maka dipasangkan dengan nafsu ianya menjadi stabil jika manusia itu sempurna kedua-duanya. Jika berat sebelah nafsunya maka manusia akan keterlaluan dalam kehidupan seperti Allah menghalalkan nikah dia masih memilih zina, Allah menghalalkan air dia masih memilih arak, Allah menghalalkan jual beli dia masih memilih riba dan sebagainya.
Mengapa manusia yang tahu halal haram masih memilih yang haram? Jawapannya ialah nafsunya yang kuat dari akalnya. Akal kata zina haram tetapi nafsu nak buat juga maka terjadilah zina. Akal kata mendedahkan aurat itu haram, tetapi nafsu mahu tunjuk juga auratnya maka terjadilah ianya. Inilah konsep yang mudah sebenarnya untuk difahami dan dihayati kepada segala jenis permasalahan sosial, ekonomi atau apa jua kerosakan dalam kehidupan ini. Nafsu adalah fitrah, dengannya kita berhajat kepada makan, tidur, intinjak, seks, riadhah dan sebagainya namun bila nafsu yang tidak seimbang dengan akal maka terjadilah daripada makan tadi kepada pembaziran, daripada tidur tadi kepada meninggalkan solat,daripada seks tadi kepada zina, daripada riadhah tadi kepada mendedahkan aurat dan begitulah juga dengan yang lain. Bila nafsu seimbang dengan akal maka makan kita akan berala kadar. Tidur kita hanya sekadar menghilangkan mengantuk, nikah kahwin kita kerana Allah bukan kerana mahu anak, puaskan batin, layan nafsu dan sebagainya. Itulah pentingnya kepada keseimbangan akal dan nafsu yang diciptakan oleh Allah ini.
Kemudian peringkat yang terakhir diceritakan oleh Sheikhul Islam ini ialah Allah menciptakan kepada manusia hati yang merupakan organ di dalam tubuh badan manusia. Hati ini adalah jasmani bentuk hukumnya tetapi rohani pada bentuk tasufnya. Oleh itu jika akal tadi berfungsi sebagai indicator tetapi hati pula adalah decider atau pembuat keputusan sama ada perlu bertindak atau pun tidak. Maka di hati inilah diciptakan dua makhluk Allah yang maha hebat dan dahsyat iaitu Iman dan Syaitan. Di hatilah tempat mereka berdua ini akan berlumba-lumba untuk memastikan hati akan mengikut kehendak mereka. Allah meletakkan kedua-dua ini pada satu titik persamaan iaitu hati di mana tindakan manusia tadi akan bermula daripada keputusan di sini, yakni hati. Iman yang mantap akan melumpuhkan serangan syaitan tetapi jika iman yang lemah akan dihanyutkan oleh hasutan dan asakan syaitan dengan nafsu akan bertindak tanpa mampu disekat oleh akal tadi kerana iman telahpun lumpuh di pusat kawalan rohani ini. Jadi jelas bahawa jika seseorang itu tidak solat jawabnya ialah iman di hatinya yang berfungsi untuk mengarahkan akal tadi gagal, tetapi dilumpuhkan oleh syaitan dengan mengarahkan nafsu untuk tidak solat. Orang yang tidak solat bukan tidak ada iman atau akal tetapi imannya lemah dari syaitan dan begitu juga akalnya gagal befungsi kerana nafsunya lebih kuat.
Jadi ketiga-tiga pasangan ini iaitu roh (jiwa) dan tanah (jasad),akal dan nafsu serta iman dan syaitan tidak boleh dipisahkan kerana ianya suatu ketetapan mutlak pada seseorang manusia yang lemah seperti kita ini.pusat segala tindakan ini adalah hati,namun bagaimana iman kita mahu mengalahkan syaitan yang laknat ini?jawapannya ialah hati perlu diisi dengan agama.dari agama ini manusia akan lebih tahu tentang apa itu dosa pahala,suyrga neraka,halal haram dan juga salah betul.jika elemen-elemen ini telahpun diisi dengan baik maka akan hadirlah satu alat yang dikenali sebagai ilmu.alat ini akan membunuh segala sifat-sifat syaitan yang tadi iaitu jahil,sombong,zalim dan sebagainya.namun alat ini hanya mampu mengetahui akan hukum-hukumnya sahaja seperti zina hukumnya haram dan solat itu wajib tetapi tindakannya belum kuat,ianya hanya mampu menghilangkan kejahilan sahaja dengan tidak mampu kepada penyucian dan pembersihan hati yang banyak syaitan itu.maka di sinilah kita berhajat kepada satu perasaan takut dengan maksiat dan dosa kepada Allah iaitu Taqwa.
Inilah tahap kesempurnaan insani iaitu manusia akan sepenuhnya mengetepikan syaitan dan nafsu dalam segala aspek kehidupan harian sama ada dalam baik atau buruk.taqwa ini akan hadir pada hati-hati manusia bilamana alat tadi sentiasa diasah,diguna dan diamalkan selalu.makin kerap diamalkan makin kuatlah taqwa,atau takutnya pada yang Esa.Jelasnya,ilmu yang diamalkan akan hadirlah ketaqwaan pada dirinya kerana ilmu yang berterusan dengan amalan itu adalah proses pencarian Tuhan atau pun Makrifatullah.taqwa inilah sangat penting yang wajib ada pada setiap manusia kerana ianya mampu melenyapkan hasutan syaitan dan kehendak nafsu yang keterlaluan tadi dengan menetapkan iman serta meluruskan kehendak akal kita.Mengapa manusia hari ini masih buat perkara yang dilarang oleh Allah dan meruntuhkan institusi kehidupan?isunya tidak perlu ke peringkat taqwa sebaliknya tanya dahulu ilmu yang merupakan alat tadi sudah ada atau tidak.
Hati yang menjadi pusat kawalan rohani tadi harus dibekalkan dengan ilmu. Ilmu kepada permasalahan tadi seperti kalau masalah rumahtangga maka perlu kepada ilmu rumahtangga, masalah keruntuhan akhlak maka perlu kepada ilmu akhlak dan hokum. Ini sahaja kuncinya iaitu ilmu-ilmu tertentu harus ada pada masalah-masalah tertentu. Baru kita tahu cara menghuraikannya. Namun jika ilmu ini sudah pun ada barulah perlu kepada amalan yang berterusan atau pun istiqamah untuk proses pencarian taqwa tadi. Bila kita ada taqwa barulah jawapannya semua terjawab iaitu segala apa sahaja kerja buat kita hanya kerana Allah, itu sahaja full stop. bila kita buat apa sahaja kerana Allah barulah kita tidak menyesal dalam apa jua ujian Allah pada kita sama ada kita miskin, sakit, sedih, sengsara, lapar atau sebagainya kerana ini semua adalah ujian yang telah difahami daripada niat dan tujuan kita tadi. Tidak perlu menyesal jika diuji dengan 1001 masalah sekali pun kerana yang mendatangkan masalah tadi adalah daripada yang Maha Kuasa, dengan syarat sudah selesai perbahasan tentang ilmu dan amal tadi. Seterusnya barulah hadir yang dikatakan halawatul iman, iaitu kemanisan atau kesempurnaan iman.
Ya Allah. Sesungguhnya aku meluahkan semua ini kerana aku merasakan diri ini sangat lemah dalam menjalani kehidupan ini. Ampunilah aku, rahmatilah aku, kuatkanlah aku dan berilah ilmu kepadaku untuk aku menyampaikannya kepada orang lain. Aku bersyukur kepadaMu setelah sekian lama aku diuji dengan kesedihan, ketakutan, kelemahan dah juga kegelapan, akhirnya Kau memberikanku kegembiraan, keyakinan, kekuatan dan juga cahaya kehidupan. Nikmat yang Kau beri ini sangat banyak dan tidak terkira ya Allah, Oleh itu tolonglah jadikan aku dikalangan orang-orang yang bersyukur dan takut kepadaMu dengan hari-hari yang bersisa ini cukupkanlah daku dari kekurangan, mudahkan daku dari kesulitan dan berkatilah daku dari penyesalan ini. Jadikanlah hari-hari akan datang ini dengan ketenangan dengan doaku, yakinku, tawakkalku dan rintihanku padaMu. Amin ya rabbal alamin.
Sumber:
Mohd Fahimi Bin Zakaria
alkimyak@yahoo.com.my
www.mohfaz88.blogspot.com
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Sila Tinggalkan Komen Disini