Berkhatan adalah memotong selaput kulit yang menutupi kepala zakar lelaki atau memotong sedikit hujung daging yang ada di sebelah atas faraj perempuan. Berkhatan termasuk di antara amalan-amalan yang telah disyariatkan oleh Allah SWT terhadap hambaNya. Ia adalah sebagai pelengkap fitrah yang telah dianugerahkan oleh Allah kepada mereka. Dari Abu Hurairah ra berkata Rasulullah SAW bersabda :
“Nabi Ibrahim yang dijuluki Khalil Ar-Rahman (Kekasih Allah yang maha penyayang) berkhatan setelah berusia lapan puluh tahun dan beliau berkhatan dengan menggunakan kapak.” (Riwayat Al-Bukhari)
Mencabut Bulu Ketiak
Perbuatan mencabut bulu ketiak adalah sunat. Jika sakit maka bolehlah digunakan pisau cukur atau alat-alat yang lain. Boleh juga isteri mencabut bulu ketiak suami dan suami mencabut bulu ketiak isteri. Amalan sebegini boleh menambahkan lagi kemesraan suami isteri. Rasulullah SAW bersabda :
“Lima perkara fitrah iaitu berkhatan, mencukur bulu kemaluan, memotong kuku, mencabut bulu ketiak (cukur), memendekkan misai.” (Riwayat Muslim)
Mencukur Bulu Kemaluan
Mencukur bulu-bulu yang tumbuh di sekitar qubul dan dubur. Ibnu Hajar dalan fathul bari menjelaskan bahawa sunat mencukur bulu-bulu yang tumbuh di sekitar kemaluan depan dan belakang. Dari Anas ra berkata :
“Nabi SAW membenarkan kami untuk tidak menggunting misai, memotong kuku, mencabut bulu ketiak, mencukur bulu kemaluan selama empat puluh malam dan tidak boleh lebih dari tempoh itu.” (Riwayat Ahmad, Abu Daud)
Memotong Kuku
Memotong kuku termasuk sunat fitrah. Para ulamak Fikah sepakat, memotong kuku hukumnya sunat dan tidak dimestikan pada waktu tertentu, tetapi sunat memotong pada hari Jumaat. Dari Abi Hurairah ra berkata :
“Nabi SAW menggunting kumis dan memotong kuku setiap hari Jumaat, pagi-pagi sebelum beliau pergi solat Jumaat.” (Riwayat At-Thabrani dan Al-Bazar)
Imam An-Nawawi mengatakan bahawa sunat memulai dengan memotong kuku kedua tangan dahulu sebelum memotong kuku kaki. Mulai dengan telunjuk kanan, kemudian jari tengah, kemudian jari manis, kemudian kelingking, kemudian ibu jari. Sesudah itu jari kelingking, jari manis, jari tengah, telunjuk dan diakhiri dengan ibu jari. Sesudah itu ditukar ke kaki kanan, mulai dengan kelingking kanan dan disudahi dengan kelingking kiri.
Menipiskan Misai
Hukum menipiskan misai adalah sunat. Tidak harus dibiarkan panjang kerana ianya menyerupai orang majusi. Dari Ibnu Umar berkata :
“Nabi SAW bersabda : Bezakan identity kamu dengan kaum musyrikin, iaitu dengan memanjangkan janggut dan menipiskan misai.” (Riwayat Al-Bukhari dan Muslim)
Memelihara Janggut
Bagaimanapun, ia tidak boleh dipotong terlampau pendek hingga seakan-akan dicukur dan tidak boleh pula dibiarkan begitu sahaja tanpa rawatan hingga terlihat tidak kemas. Yang terbaik adalah mengambil jalan tengah. Sebab, sikap sedemikian itu adalah simbol kesempurnaan. Di samping itu, janggut yang lebat menunjukkan kejantanan dan kematangan. Dari Ibnu Umar ra berkata Nabi SAW bersabda :
“Berbezalah dengan orang-orang musyrik, peliharalah janggut dan cukurlah misai.” (Riwayat Al-Bukhari)
Merapikan Rambut
Abu Qatadah membubuh minyak ke atas rambutnya sebanyak dua kali sehari dan ini merupakan perintah Nabi SAW yang berbunyi : Malah hendaklah kamu sentiasa menghormatinya dengan cara merapikannya. Mencukur rambut kepala dibolehkan dan begitu juga memanjangkannya dengan syarat dirawat dengan baik. Dari Abu Hurairah ra berkata :
“Nabi SAW bersabda : Sesiapa yang mempunyai rambut, hendaklah orang itu memuliakannya dengan cara merapikannya.” (Riwayat Abu Daud)
Mencukur atau gunting sebahagian rambut dan meninggalkan sebahagian yang lain hukumnya ialah makruh tanzih. Dari Ibnu Umar ra berkata :
“Rasulullah SAW melarang daripada Al-Qaza. Lalu ada seseorang yang bertanya kepada Nafi : Apakah yang dimaksudkan dengan Al-Qaza itu? Nafi menjawab : Mencukur sebahagian rambut kepala seseorang kanak-kanak menakala sebahagiannya lagi dibiarkan.” (Riwayat Al-Bukhari)
Zaman sekarang ini telah menjadi budaya anak-anak muda mengikuti gaya rambut yang berbagai, ada yang berbentuk ala trojen, ada bentuk ala Korea dan Jepun dan banyak lagi jenis rambut yang digayakan oleh orang muda zaman sekarang ini. Berdasarkan hadis di atas mengatakan orang yang memotong rambut sebahagian dan ditinggalkan sebahagian itu adalah makruh. Tetapi kita kena ingat perkara yang makruh ini sangat hampir dengan perkara yang haram. Takut-takut perbuatan mengayakan rambut itu menjadi haram dengan sebab-sebab yang tertentu. Sebagai sikap berjaga-jaga lebih baiklah elakkan dari memotong dan mengayakan rambut seperti itu.
Membiarkan Uban
Lelaki dan perempuan disunatkan memelihara atau membiarkan uban tanpa dicabut, kerana uban ini melambangkan seseorang itu telah berusia atau telah tua dan masa dia hidup di dunia ini sudah tidak lama lagi. Hal ini juga akan membuatkan seseorang itu sentiasa mengingati mati. Orang yang menyimpan uban juga akan dihapuskan oleh Allah satu kesalahan yang telah dilakukannya. Rasulullah SAW bersabda :
“Janganlah kamu mencabut uban, kerana ia merupakan cahaya bagi seorang muslim. Allah akan mencatat satu kebaikan, mengangkat satu darjat dan menghapus satu kesalahan dari setiap muslim yang beruban selama masih memeluk agama Islam.” (Riwayat Ahmad, Abu Daud, At-Tirmizi, An-Nasai dan Ibnu Majah)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Sila Tinggalkan Komen Disini