Jumaat, 4 Mac 2011

Kelakar dan Ketawa dalam islam..

Rasulullah s.a.w bersabda, maksudnya:":Celakalah orang yang berbicara lalu mengarang cerita dusta agar orang lain tertawa. Celakalah !" Riwayat Abu Daud.

Kelakar adalah perbuatan, kata-kata dan sebagainya yang dapat menggembirakan atau yang dapat menggelikan hati orang lain. Sinonimnya adalah jenaka, lawak dan gurau senda. Membuatkan orang lain senang hati adalah termasuk dalam amal kebajikan dan Rasulullah s.a.w juga selalu berjenaka dengan ahli keluarga dan para sahabat baginda.

Namun begitu bergurau mempunyai adab-adab tertentu yang telah digariskan oleh Islam seperti:
a) Tidak menjadikan aspek agama sebagai bahan jenaka seperti mempersendakan sunnah Rasulullah s.a..w .
b) Gurauan tersebut bukan merupakan cacian atau cemuhan seperti memperlekehkan orang lain dengan menyebut kekurangannya.
c) Gurauan itu bukan ghibah (mengumpat) seperti memburukkan seseorang individu dengan niat hendak merendah-rendahkannya.
d) Tidak menjadikan jenaka dan gurauan itu sebagai kebiasaan.
e) Isi jenaka adalah benar dan tidak dibuat- buat.
f) Bersesuaian dengan masa, tempat dan orangnya kerana adalah tidak manis bergurau di waktu seseorang berada dalam kesedihan dan sebagainya.
g) Menjauhi jenaka yang membuatkan orang lain ketawa secara berlebihan (ketawa terbahak-bahak) kerana banyak ketawa akan memadamkan cahaya hati.

Sesungguhnya Rasulullah s.a.w apabila ketawa baginda hanya menampakkan barisan gigi hadapannya sahaja, bukan ketawa yang berdekah-dekah, mengilai-ngilai atau terkekeh-kekeh dengan maksud bahawa selaku seorang Muslim kita hendaklah sentiasa menjaga batas kesopanan dalam erti kata yang sepatutnya.

Jangan banyak ketawa sebab hati yang selalu berkomunikasi dengan Allah (zikir) sangat tenang dan tenteram. Hasan al-Banna.

Ada riwayat yang menunjukkan bahawa kebanyakan ketawanya ialah dengan tersenyum, dan apabila baginda ketawa, baginda ketawa seperti embun yang dingin. Sementara itu, ada juga riwayat yang menyebutkan bahawa ketawa Rasulullah tidak menunjukkan gigi.

Bagaimanapun, semua perlakuan itu cuma sekadar mengingatkan umat Islam selaku umat pendakwah bahawa gurauan, ketawa itu cuma amalan untuk mengurangi ketegangan jiwa. Saidina Ali k.w juga menyebutkan bahawa sesekali kita perlu bergurau untuk menyebabkan jiwa rasa terhibur. Tetapi, ini tidak bererti kita perlu berhibur secara keterlaluan.

Maka, Hasan al-Banna telah menyusun dan merintis semula faham ini dengan meletakkan suatu pesanan yang sangat berguna kepada para dai’e dan Muslimin yang beriltizam dengan agama Islam ini.

Al-Banna tidaklah sampai mengharamkan gurauan dan ketawa. Namun, beliau seperti baginda Rasulullah s.a.w dan Saidina Ali, telah menyeru dan memperbaharui seruan melalui wasiatnya supaya umat Islam ini kurangkan bergurau dan melebihkan amalan dan tindakan. Ini kerana, gurauan dan gelak ketawa yang berlebihan boleh mematikan hati dan fikiran daripada memikirkan nasib dan permasalahan umat Islam yang menderita akibat penjajahan yang berterusan.

Tetapi, jika kita berterusan hidup dalam ketegangan, hal ini akan menyebabkan kerunsingan, kerisauan yang akhirnya mengundang kesan kejiwaan yang parah pula. Maka, sikap yang terbaik dalam hal ini ialah kita mewakafkan lebih banyak masa untuk memikirkan serta menyusun tindakan bagi menyelesaikan permasalahan umat Islam. Selebihnya, saki-baki waktu itu diluangkan untuk merehatkan jiwa, hati dan fikiran kita setelah penat bekerja dalam seharian.

Atau jika masa dan kehidupan ini boleh kita pecahkan dalam bentuk peratusan, maka bolehlah diandaikan seperti ini. Iaitu, masa dan kehidupan untuk berfikir dalam hal permasalahan umat Islam ini ialah 70 peratus, manakala baki masa 30 peratus lagi adalah untuk senda gurauan. Bagaimanapun, peratusan ini hanyalah sebagai gambaran kepada betapa pentingnya seseorang Muslim itu hidup di atas muka bumi ini untuk memperuntukkan kebanyakan masanya ke arah hal yang lebih berfaedah. Sementara, hal gurau senda dan bergelak-ketawa itu hanyalah sekadar sedikit sahaja.

Wallahua'lam...
tenkiu kt kekawan yg sudi membce entry kt cni..like klo ske bce

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Sila Tinggalkan Komen Disini

Copyrigt@Segala Yang Tercatat diatas adalah untuk Renungan Bersama