ADA empat penyakit dalam diri individu yang semestinya dibasmi kerana
jika dibiarkan, penyakit itu akan membarah dan membudaya kukuh sehingga
menenggelamkan perwatakan individu sebagai seorang mukmin sebenar.
Penyakit itu seperti kata Saidina Ali Abi Talib: “Kelak akan menimpa
umat ini penyakit umat terdahulu iaitu penyakit sombong, kufur nikmat,
mensia-siakan masa dan lupa diri dalam memperoleh harta dan
bermegah-megah dengan harta. Mereka terjerumus ke dalam jurang
kemenangan dunia, saling bermusuhan, dengki-mendengki dan dendam
sehingga melakukan kezaliman.”
Ini senario dalam masyarakat Islam hari ini yang sentiasa lupa akibat
perbuatan dan tingkah laku mereka yang menyeleweng daripada landasan
agama, sedangkan Allah dan Rasul-Nya banyak memberi peringatan serta
pesanan supaya berwaspada. Sikap pertama mesti dibendung ialah sombong
kerana ini senjata syaitan untuk menjerumuskan seseorang ke jurang
kehinaan.
Allah menegaskan dalam firman bermaksud: “Dan jangan engkau
memalingkan mukamu (kerana memandang rendah) kepada manusia, dan jangan
engkau berjalan di bumi dengan berlagak sombong. Sesungguhnya Allah
tidak suka orang yang sombong takbur lagi membanggakan diri.” (Surah
Luqman, ayat 18)
Sombong ialah penyakit hati yang akan memudaratkan hubungan dengan
manusia lain. Bayangkan seandainya dia seorang peniaga. Bagaimanakah
perniagaannya hendak berjaya dan dihormati pelanggan?
Tentu peniaga sebegini dibenci dan dijauhi. Jadi, siapakah yang rugi?
Sebaliknya, jika seseorang peniaga itu sentiasa berwajah manis dengan
senyuman, sudah tentu ia akan menjadi faktor tarikan dan secara tidak
langsung mampu melonjakkan keberkesanan perniagaannya.
Perkara kedua kata Saidina Ali ialah kufur nikmat. Ini penyakit
sangat berbahaya. Kufur nikmat ialah cepat lupa diri hingga lupa
bersyukur kepada Allah yang memberikan nikmat. Ini warisan penyakit
Firaun dan Qarun yang dilaknat Allah kerana sombong dan kufur dengan
nikmat dikecapi.
Seseorang itu dikategorikan sebagai kufur nikmat apabila bakhil
terhadap harta kekayaannya. Jiwa terasa kaku untuk menghulurkan sedekah
jariah buat insan lain yang memerlukan, apatah lagi berzakat?
Ini semua akan mengundang padah dan laknat Allah serta bakal
berhadapan seksa sengsara di akhirat nanti. Allah sudah memberi amaran
keras terhadap orang yang kufur nikmat.
Ditinjau dari perspektif psikologi, sikap kufur nikmat mencerminkan
corak hati yang tamak dan rakus sehingga terbuai dalam keenakan harta
dunia. Dari sisi pandang sosiologi pula, mereka dilihat insan yang ingin
melihat hanya dirinya saja memperoleh nikmat.
Ingat pesanan Rasulullah SAW yang bermaksud: “Seorang hamba berkata:
Hartaku, hartaku! Sesungguhnya harta yang punya itu hanya ada tiga,
iaitu apa yang ia makan hingga habis, apa yang ia pakai hingga usang dan
apa yang ia berikan hingga ia mendapatkan pahalanya. Sedangkan harta
selain itu akan menghilang dan ditinggalkan untuk orang lain
(diwariskan).” (Hadis riwayat Muslim)
Penyakit ketiga yang perlu dihindari ialah lalai dalam pengurusan
masa. Jika diperhatikan, majoriti kaum muslimin yang leka dan melalaikan
aspek mengurus masa. Lihat saja bagaimana anak muda saban malam
berlumba haram, merempit di jalanan dan yang suka melepak di pusat beli
belah.
Ibnu Mas’ud meninggalkan wasiat berguna buat kita semua, katanya:
“Demi Allah, aku tidak menyesali sesuatu pun seperti penyesalanku
terhadap suatu hari yang matahari terbit di dalamnya, di mana ajalku
semakin dekat dan amalku tidak bertambah.”
Sementara, pesan Ibnu Umar pula: “Jika kamu memasuki waktu petang,
maka jangan menunggu pagi. Apabila kamu memasuki waktu pagi, maka jangan
menunggu datangnya petang.” Kedua-dua pesanan sahabat Rasulullah SAW
itu wajar direnungi untuk memperkasakan kualiti pengurusan masa kita.
Penyakit umat akhir zaman yang keempat sangat sinonim dengan situasi
semasa yang sedang kita lihat iaitu bermegah dengan harta benda dunia.
Manusia tidak lagi mempedulikan aspek etika dan aturan wajib dalam
memperoleh harta, janji asal dapat.
Bagaimana cara atau kaedahnya tidak diberikan perhatian disebabkan
rakus dan berlumba mengejar harta dunia. Apa dinyatakan Saidina Ali ada
kebenarannya. Oleh itu, kita perlu sentiasa berhati-hati supaya diri,
keluarga, masyarakat dan negara tidak berada dalam bahaya.
sumber: tekan disini
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Sila Tinggalkan Komen Disini