Sabtu, 24 Disember 2011

Solat itu doa senjata Muslim


Jika sebuah rumah memerlukan tiang sebagai asas utama pembinaannya, begitulah juga dengan agama yang memerlukan asas dalam menegakkan syiarnya dan asas tersebut adalah solat.


Fakta ini telah terpahat dalam sebuah hadis Nabi Muhammad SAW bermaksud “Solat itu tiang agama, sesiapa yang mendirikannya sesungguhnya dia sudah mendirikan agama, sesiapa meninggalkannya sesungguhnya dia meruntuhkan agama.” (Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim).


Solat berasal daripada terminologi Arab bermaksud doa. Manakala solat mengikut fuqaha bererti beberapa perbuatan yang dimulakan dengan takbiratul ihram dan disudahi dengan salam. Kedua-dua definisi ini saling melengkapi apabila solat itu berfungsi sebagai doa seorang hamba kepada ALLAH Maha Pencipta menerusi perbuatan sujud dalam solatnya.


UNIKNYA SOLAT

Pensyarah Fakulti Syariah dan Undang-Undang, Universiti Sains Islam Malaysia (Usim), Nabilah Yusof berkata, solat berfungsi sebagai asas dalam menegakkan agama, ia juga adalah rukun Islam kedua selepas mengucap dua kalimah syahadah.


Walau sempurna Muslim itu dari segi akhlak dan akidahnya, namun jika tidak melaksanakan solat, ia tetap menjejaskan kesempurnaan yang dimilikinya.


“Solat berfungsi sebagai kriteria utama bagi seseorang untuk layak atau tidak dinobatkan sebagai Muslim sejati,” katanya.


Antara lima Rukun Islam itu, mengucap dua kalimah syahadah dan solat tidak boleh diwakilkan kepada orang lain untuk disempurnakan ketika hayat mahupun selepas kematiannya. Ini membuktikan betapa penting dan uniknya solat yang hakikatnya bertujuan sebagai satu permohonan doa oleh hamba terhadap pencipta-NYA.


Nabilah berpandangan bahawa, peristiwa Israk dan Mikraj telah mentarbiahkan umat Islam mengenai pensyariatan solat. Pada awalnya, ketika Baginda dinaikkan ke Sidratul Muntaha bersama malaikat Jibrail dalam peristiwa itu dan dihadiahkan ALLAH untuk solat sebanyak 50 rakaat sehari semalam.


Ketika hendak turun, baginda bertemu dengan Nabi Musa yang mengajar untuk merayu pada ALLAH agar dikurangkan kuantiti solat tersebut. ALLAH itu Maha Pemurah, maka rayuan Baginda diterima dan pengurangan sebanyak sepuluh kali ganda diberi setelah beberapa siri rayuan dilakukan. Rayuan ini dilihat sebagai bukti keprihatinan Rasulullah terhadap umat agar dapat menunaikan kewajipan solat dengan sempurna kerana jumlah lima waktu sehari adalah sangat ringan untuk ditunaikan.


HIKMAH SOLAT

Tujuan solat disyariatkan adalah untuk melaksanakan perintah ALLAH yang memerintahkan hambanya agar menunaikan solat tepat pada waktunya. Namun di sebalik ketaatan itu tersembunyi banyak hikmah mengapa solat menjadi suatu ibadat yang sangat eksklusif.


 “Hikmah pensyariatan solat dapat mendisiplinkan hamba terhadap perintah ALLAH,” kata Nabilah.


ALLAH SWT berfirman yang bermaksud: “Sesungguhnya solat itu dapat mencegah manusia daripada perkara-perkara yang kejahatan dan kemungkaran”. (Surah Al Ankabut: 45)

“Pencegahan yang dijamin merangkumi pencegahan daripada sudut akidah dan kehidupan sosial atas individu serta masyarakat.


“Solat merupakan senaman rohani yang sangat mendamaikan kerana ia dipenuhi dengan bacaan ayat suci al-Quran dan zikrullah yang menenteramkan setiap jiwa pembacanya,” katanya panjang lebar.

Menurutnya, solat juga dihiasi dengan perbuatan dan lenggok tubuh yang dapat menundukkan sifat mazmumah insan terhadap Pencipta-NYA.

Ibadat itu hakikatnya mendekatkan diri seorang hamba terhadap al-Khaliq sebagai tempat mengadu, memohon perlindungan dan menyerahkan takdir kehidupan mereka di bawah kekuasaan Maha Esa.


 JANGAN PANDANG REMEH

Tanggungjawab Muslim dalam menunaikan solat seharusnya tidak dipandang remeh.Solat pada waktunya adalah wajib kecuali jika keadaan tidak mengizinkan seperti dalam majlis ilmu, mesyuarat yang penting, sakit yang menyukarkan untuk bergerak, menjaga pesakit dan seumpamanya.


“Walaupun solat dapat ditunaikan, namun nilai kesempurnaan solat itu sendiri berbeza daripada individu ke individu yang lain. ALLAH berfirman bermaksud: “Maka, musnahlah bagi mereka yang sembahyang! Yang mana mereka telah lalai dalam menunaikan solat.”(Surah al-Ma’un : 4-5)


“Justeru ayat ini membuktikan bahawa melewatkan sembahyang dengan perkara yang lalai akan menjejaskan kesempurnaan solat individu serta mendatangkan implikasi negatif di akhirat kelak,” tambahnya.


Keunikan dan sifat eksklusif solat terserlah apabila ia boleh ditunaikan dalam pelbagai kaedah mengikut keadaan individu sama ada individu normal, kelainan upaya mahupun yang terlantar sakit.


Nabilah berkata, gabungan solat tertentu dalam keadaan tertentu yang diistilahkan fuqaha sebagai rukhsah melalui solatjamak dan qasar adalah bukti serta tanda rahmat ALLAH terhadap hamba-NYA.


“Di sinilah keajaiban solat terbukti apabila ia menjadi terapi jiwa dan minda bagi golongan yang normal, bermasalah, kelainan upaya mahupun bagi mereka yang sakit,” tambahnya.

 ALLAH berfirman yang maksudnya: “Serulah aku (doa) nescaya aku akan makbulkan seruan kamu (doamu)” (Surah Al Ghaafir 40:60)


Antara waktu doa yang paling mustajab adalah selepas menunaikan solat. Menurutnya, banyak kajian membuktikan kebaikan solat ke atas fizikal dan kerohanian.

 Menunjukkan dengan menundukkan kepala ke bumi dengan berkiblatkan Kaabah yang berfungsi sebagai pusat tarikan graviti melalui perbuatan sujud dapat mengurangkan keserabutan minda dan penyakit migrain yang diakibatkan oleh pencemaran radiasi dan seumpamanya.


Oleh itu, solat wajib dipelihara dan cara pelihara solat adalah dengan bersembahyang pada awal waktu agar dapat memperoleh kesempurnaan dan kejayaan dunia akhirat.

ALLAH dalam firman-NYA yang bermaksud: “Peliharalah solat dan solat Wusta dan berdirilah kamu dalam keadaan tunduk kepada ALLAH.” (Surah Al Baqarah: 238).


Firman ALLAH SWT yang bermaksud: “Sesungguhnya telah berjaya orang yang beriman iaitu orang yang khusyuk dalam solatnya, orang yang menjauhkan diri daripada perbicaraan yang tidak berguna.” (Surah al-Mukminun : 1-3)


link

tenkiu kt kekawan yg sudi membce entry kt cni..like klo ske bce

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Sila Tinggalkan Komen Disini

Copyrigt@Segala Yang Tercatat diatas adalah untuk Renungan Bersama