Selasa, 6 Disember 2011

Hijrah memupuk persefahaman jitu

Persefahaman Asas Perpaduan Ummah membawa makna yang sangat besar sekiranya difahami dan dijayakan bersama-sama. Agama Islam amat menitikberatkan kepada umatnya supaya hidup saling bekerjasama dan bersefahaman dalam masyarakat. Itulah satu-satunya cara yang boleh memberikan kehidupan yang aman damai dan sejahtera.

Umat Islam adalah umat yang terbaik dan sentiasa berusaha menzahirkan kebaikan dan menghapuskan keburukan. Allah SWT telah menegaskan dalam kitab suci Al-Quran, surah Ali Imran, ayat 110 yang bermaksud: 

Kamu wahai umat Muhammad adalah sebaik-baik umat yang dilahirkan bagi umat manusia kerana kamu menyuruh berbuat segala perkara yang baik dan melarang segala yang salah. Serta kamu beriman kepada Allah dengan sebenar-benarnya.

Islam adalah agama rahmat kepada manusia dan alam ini. Rasulullah SAW memerintahkan untuk memudahkan dan tidak menyulitkan. Pengertian mudah di sini bererti mengikuti manhaj yang memberi keluasan dan toleransi, juga keringanan yang jauh dari tindakan yang sulit, sukar dan berat. Allah mengutus Nabi Muhammad SAW untuk membawa rahmat. Bukan sahaja kepada sukunya iaitu Quraisy, mahupun kepada bangsa Arab sahaja. Beliau diutuskan sebagai pembawa rahmat ke seluruh alam. Ia meliputi semua bangsa manusia termasuk tumbuh-tumbuhan, haiwan bahkan jin. Rahmat yang dibawa oleh Nabi Muhammad SAW menjangkau batasan masa. Tidak hanya sekadar untuk zamannya sahaja, bahkan mengunjur sehingga zaman berikutnya. Satu daripada bentuk rahmat yang dibawa oleh Baginda ialah mengajak manusia untuk bersatu-padu mentauhidkan Allah dan tidak berpecah-belah sesama manusia.

Perpaduan dalam perspektif islam.
Secara umum, mengikut perspektif Islam, perpaduan terjalin melalui dua ikatan iaitu perpaduan sesama anggota masyarakat, dan perpaduan antara kaum Muslimin. Perpaduan juga dapat dilihat daripada dua dimensi, iaitu perpaduan luaran yang tergambar sebagai kerukunan muafakat, memperteguh suasana sosiopolitik negara demi kepentingan bersama. Yang kedua perpaduan yang jauh lebih asasi, iaitu kesatuan dalaman setiap individu yang terzahir daripada persefahaman antara pautan kejiwaan dan kerohanian.

Mengimbas kembali peristiwa hijrah Rasulullah SAW, usaha pertama baginda untuk membina masyarakat di Madinah ialah dengan mendirikan masjid sebagai asas perpaduan. Seterusnya Baginda menyatukan dua golongan yang telah beratus-ratus tahun bermusuhan sesama sendiri iaitu golongan Aus dan Khazraj, lalu dikenali sebagai Ansar. Begitu juga dengan golongan yang datang dari Mekah yang diberi nama golongan Muhajirin. Hasilnya, terbentuk satu masyarakat yang bersatu padu di bawah ikatan ukhuwah Islamiah bercirikan kehendak Allah dan rasul. Firman Allah SWT dalam surah al-Anfal Ayat 46 yang bermaksud:

“Dan janganlah kamu bersengketa, maka kamu akan gagal (lemah) dan hilang kehebatan kamu.”

Perpaduan dalam Islam bukan sekadar hubungan baik sesama orang Islam semata-mata, malah merangkumi kaum bukan Islam. Sejarah pada zaman Rasulullah SAW mencatatkan bahawa masyarakat Yahudi dan Kristian ketika itu hidup aman dan damai di Madinah kerana hak mereka tidak dicerobohi oleh umat Islam.
Dalam menjalinkan hubungan baik antara masyarakat Islam dengan masyarakat bukan Islam, model negara Islam Madinah pimpinan Rasulullah SAW perlu dijadikan contoh. Pada awal hijrah, umat Islam adalah golongan minoriti berbanding penganut Kristian dan Yahudi yang mendominasi Madinah ketika itu.

Namun melalui penonjolan akhlak dan moral yang terpancar dalam bentuk teori dan praktikal, ditambah dengan keadilan pemerintahan dan pengurusan Islam yang disesuaikan dengan masyarakat majmuk ketika itu, maka akhirnya tertegak sebuah negara yang kuat, aman dan damai, bersatu padu di bawah pimpinan Nabi Muhammad SAW.


tenkiu kt kekawan yg sudi membce entry kt cni..like klo ske bce

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Sila Tinggalkan Komen Disini

Copyrigt@Segala Yang Tercatat diatas adalah untuk Renungan Bersama