Umat Islam perlu elak pembaziran, perkara mungkar
ANDAINYA setiap individu muslim memahami dan menyedari betapa
cintanya Allah SWT kepada orang yang berbuat baik, sudah tentu dia akan
merebut cinta Allah itu dengan mengisi setiap ruang waktu kehidupannya
berbuat amal salih.
Allah SWT berfirman yang bermaksud: “Sesungguhnya Allah mencintai orang yang berbuat kebajikan.” (Surah al-Baqarah, ayat 195)
Dan sesiapa mengerjakan sesuatu dosa, maka sesungguhnya dia hanya
mengerjakannya untuk (menjadi bala bencana yang) menimpa dirinya sendiri
dan (ingatlah) Allah Maha Mengetahui lagi Maha Bijaksana. – Surah
al-Nisa, ayat 111
Jika setiap muslim itu benar-benar menginsafi betapa Allah SWT sangat
membenci perlakuan jahat dan maksiat, sudah tentu dia akan berasa takut
untuk mendekati segala perbuatan jahat dan mungkar. Jika sudah
terlanjur, dia akan segera meninggalkannya dan bertaubat kepada Allah
SWT.
Mukmin yang menjerumuskan dirinya dalam perlakuan jahat dan amalan
mungkar sebenarnya terdedah kepada dosa, kemurkaan serta balasan Allah
SWT sama ada di dunia atau akhirat kelak. Inilah perlu ditakuti muslim
yang masih tidak mengendahkan tegahan Allah SWT.
Allah SWT berfirman yang bermaksud: “Dan sesiapa mengerjakan sesuatu
dosa, maka sesungguhnya dia hanya mengerjakannya untuk (menjadi bala
bencana yang) menimpa dirinya sendiri dan (ingatlah) Allah Maha
Mengetahui lagi Maha Bijaksana.” (Surah al-Nisa’, ayat 111)
Mereka yang meninggalkan larangan Allah SWT melalui fasa perubahan
yang dinamakan hijrah atau transformasi diri. Tindakan ini perlu
dilakukan setiap masa kerana amalan muhasabah memang digalakkan dan
diterjemahkan usaha berubah kepada lebih baik dalam bentuk perlakuan.
Mukmin yang sengaja tidak menghiraukan tegahan Allah dibimbangi ajal
menjemputnya lebih dulu sebelum sempat bertaubat. Dinyatakan dalam
hadis, Allah SWT cemburu kepada hamba-Nya yang melakukan perkara
ditegah.
Nabi SAW bersabda yang bermaksud: “Sesungguhnya Allah SWT memiliki
sifat cemburu, dan kecemburuan Allah itu ialah apabila orang mukmin
melakukan perbuatan yang diharamkan oleh-Nya.” (Hadis riwayat al-Bukhari
dan Muslim)
Sesungguhnya akhlak yang mulia adalah buah daripada ibadah yang
sempurna. Ibadat yang difardukan Allah SWT seperti solat lima waktu,
puasa, zakat fitrah dan ibadah haji, selain bukti kepatuhan kepada Allah
SWT, juga membentuk pelakunya menjadi manusia berakhlak mulia.
Dengan kemuliaan akhlak itulah, manusia mampu menjauhi segala amalan mungkar yang ditegah Allah SWT.
Mukmin yang insaf bahawa hidup ini sementara dan amat singkat,
sedangkan masa berlalu setiap saat adalah usianya, akan memandang
umurnya masih berbaki itu sangat bernilai dan tidak wajar dibazirkan
kepada perkara sia-sia.
Apalagi menjerumuskan diri ke kancah kejahatan dan maksiat. Hidup ini
sebenarnya adalah kesempatan emas untuk memburu dan berlumba-lumba
mengejar amal kebajikan sebagai bekalan menemui Allah SWT kelak.
Diceritakan, suatu hari seorang lelaki yang gemar berbuat maksiat
datang menemui ahli sufi bernama Ibrahim bin Adham untuk meminta nasihat
(dengan harapan ia dapat meninggalkan amalan maksiatnya).
Ibrahim bin Adham lalu menasihati lelaki itu dengan berkata: “Jika
kamu mahu menerima lima syarat dan mampu melaksanakannya, maka boleh
kamu lakukan maksiat.”
Syaratnya ialah, jika kamu bermaksiat kepada Allah, jangan (kamu)
makan rezeki-Nya; jika kamu berbuat maksiat, jangan tinggal di bumi-Nya,
jika kamu masih bermaksiat, carilah tempat tersembunyi yang tidak dapat
dilihat oleh-Nya.
Jika malaikat maut datang hendak mencabut rohmu, katakan kepadanya,
ketepikan kematianku dulu kerana aku masih mahu bertaubat dan melakukan
amal salih. Jika malaikat Zabaniah datang hendak mengiringimu ke api
neraka di hari kiamat nanti, jangan engkau ikut bersamanya.
Nasihat Ibrahim bin Adham itu amat menusuk kalbunya, membuatkan
lelaki berkenaan insaf. Air matanya bercucuran kerana tidak tahan
mendengar nasihat sangat mengesankan dan sedar bahawa semua syarat itu
tidak mampu dilaksanakannya. Mulai saat itu dia bertaubat kepada Allah
SWT.
rajin copypaste
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Sila Tinggalkan Komen Disini