solat itu tiang agama |
PELIHARA…solat adalah amalan yang mula-mula sekali dihitung pada hari akhirat kelak.
IMAM Ahmad menyatakan, jarak antara seorang lelaki dengan kekufuran
adalah meninggalkan solat. Di dalam riwayat At-Tabrani pula “Siapa
meninggalkan solat dengan sengaja, maka dia kafir nyata.” Tidak seperti
ibadah lain, Allah memfardukan ibadah solat secara langsung kepada
Rasulullah dalam peristiwa Israk dan Mikraj.
Antara kelebihan dan kepentingan solat dalam hidup kita ialah berpeluang berinteraksi dengan Allah.
Solat memelihara serta membentuk hubungan antara seseorang hamba
dengan Tuhan-Nya melalui kemanisan bermunajat dan menyerahkan segala
urusan kepada-Nya.
Seperti yang diajarkan Rasulullah, solat bermula dengan berdiri, rukuk, ‘iktidal, sujud dan berakhir dengan salam.
Semua itu dilakukan bertujuan membesarkan Allah atas segala nikmat
kurniaan kehidupan di dunia ini seperti kesihatan yang baik, zuriat,
pasangan suami isteri, ibu bapa dan keluarga.
Maka perbanyakkanlah berdoa memohon kepada Allah supaya dijauhkan daripada segala bahaya dan tipu daya syaitan.
Solat memberi manusia peluang menggandakan pahala serta menghapuskan
segala dosa. Kita perlu mengucapkan rasa kesyukuran tidak terhingga
kerana Allah memberikan banyak kelebihan kepada umat Nabi Muhammad yang
tidak terdapat pada umat sebelumnya.
Daripada Abu Hurairah r.a. katanya: “Bahawasanya aku mendengar
Rasulullah s.a.w. bertanya kepada sahabatnya, adakah kamu percaya bahawa
kekotoran masih melekat pada tubuh seseorang yang mandi lima kali
sehari dalam sungai yang mengalir di hadapan rumahnya?” Lalu baginda
bersabda: Begitulah umpamanya kesan solat yang dikerjakan lima kali
sehari. Dengan rahmat Allah ia dapat menghapuskan segala dosa” (Muttafaq
Alaih).
Allah berfirman yang bermaksud: “Dan dirikanlah sembahyang (wahai
Muhammad, engkau dan umatmu), pada dua bahagian siang (pagi dan petang),
dan pada waktu-waktu yang berhampiran dengannya dari waktu malam.
Sesungguhnya amal-amal kebajikan (terutama sembahyang) itu
menghapuskan kejahatan. Perintah-perintah Allah yang demikian adalah
menjadi peringatan bagi orang-orang yang mahu beringat (Surah Hud ayat
114).
Malah rahsia solat juga tersingkap 1,001 makna kerana ia memberi
riadah kepada tubuh badan harian selain memberikan kerehatan jiwa.
Maka solat menjadi salah satu caramerawat kegelisahan dan gundah gulana dalam diri manusia.
Menurut riwayat Ahmad, apabila Rasulullah mengalami satu perkara yang
mendukacitakan, Baginda mengatakan: “Berdirilah Wahai Bilal, damaikan
kami dengan sembahyang.”
Meninggalkan solat pula menjadikan hati manusia jauh untuk melakukan amal kebaikan malah buruk akhlaknya.
Malah amalan yang mula-mula sekali dihitung pada hari pembalasan
kelak ialah solat. Jika sempurna solatnya maka baiklah seluruh
amalannya.
Kewajipan menunaikan solat lima kali sehari semalam tidak membataskan
manusia walau di mana atau dalam apa juga keadaan sekalipun.
Ia perlu dilaksanakan sama ada dalam keadaan sihat, sakit, dalam
peperangan, sedang bermusafir dan tidak mengira golongan sama ada kaya
atau miskin.
Solat tidak boleh dipandang ringan dan ia perlu kepada kesabaran dan kekuatan dalaman yang kuat.
Malah seseorang yang inginkan diri mereka sentiasa menjaga serta
memelihara solat perlu ada rasa tanggungjawab tinggi untuk melakukan
amalan itu hanya kerana Allah.
Tidak boleh sesekali seseorang menggunakan cara yang bertentangan
dengan ajaran Islam seperti memakai susuk atau ilmu sihir bagi mendorong
mereka ‘rajin’ beribadah.
Pegawai Agama Masjid Putra Nilai, Mohd Fakhrurrazi Mohd Hanafi
berkata, bagi mereka yang menggunakan susuk atau sihir bagi menzahirkan
kekuatan untuk beribadah boleh membawa implikasi besar terhadap akidah
mereka.
“Bahkan, jika tidak dikeluarkan susuk itu daripada tubuh badan, ia
akan memudaratkan diri terutama ketika menghadapi saat nazak
sakaratulmaut.
“Susuk ialah amalan memasukkan sesuatu bahan asing ke dalam badan
bagi mendapatkan kelebihan sama ada secara nyata mahupun ghaib.
“Antara jenis susuk yang nyata adalah seperti susuk emas yang paling
banyak digunakan untuk ilmu pengasih, susuk geliga buaya untuk tujuan
pelacuran, susu beruang untuk ilmu kebal dan susuk buluh perindu untuk
memerdukan suara atau menggoda,” katanya.
Beliau berkata, tujuan memakai susuk itu untuk menaikkan seri wajah,
hebat dalam hubungan seksual, kebal, pelaris perniagaan dan juga sebagai
kekuatan tenaga termasuk mendirikan solat.
“Pantang larang bagi pemakai susuk antaranya mereka tidak boleh
memakan pisang emas, buah kundur, labu, makanan bercucuk seperti sate
dan tidak boleh melihat cermin dalam tempoh tertentu dan dilarang
menghadiri majlis pengebumian atau pergi ke tanah perkuburan.
“Amalan ini masih menjadi amalan segelintir masyarakat disebabkan
kedangkalan mereka. Jelas ia membawa syirik kepada Allah,” katanya.
Mohd Fakhrurrazi berkata, terdapat banyak kes pemakai golongan muda
disebabkan ibu atau nenek mereka memaksa memakai susuk sejak kecil bagi
tujuan kecantikan.
“Lebih malang, pemakai tidak menyedari terdapat bendasing dalam tubuh mereka sehingga membawa kepada bertahun-tahun lamanya.
“Malah mereka melakukan ibadat seperti solat, puasa dan pergi menunaikan haji dalam keadaan bersusuk,” katanya.
Beliau berkata, hukum mendatangi pengamal atau menggunakan susuk adalah haram.
“Hadis Nabi Muhammad yang bermaksud: “Sesiapa yang mendatangi,
menilik nasib dan bertemu pawang atau bomoh maka dihukumkan kafir.
“Kedua, menggunakan susuk atau cara amalan yang tidak dipastikan
kesahihan ibadat itu sehingga terdengar ada suara ghaib menyuruh
seseorang mendirikan solat dan berbuat amal kebajikan disepakati haram.
“Ini berdasarkan tarjih ulama, amalan sesuatu ibadat ini tidak boleh
diamalkan sehingga terdapat dalil pengharusan atau membolehkan ibadat
dilakukan.
“Masyarakat kita juga sering dibelenggu pengamalan ayat tertentu sehingga didatangi ‘khadam’ atau penjaga.
“Hukumnya tetap haram dan membawa kepada syirik sehingga merosakkan
akidah. Terdapat kisah ketua wali sheikh Qadir al-Jailani hampir ditipu
iblis yang datang dalam bentuk cahaya gilang gemilang dan memaklumkan
kepadanya sudah sampai ke peringkat tertinggi sehingga tidak diwajibkan
untuk bersolat.
“Namun ia dihidu Sheikh Qadir dan melemparkan sepatunya dengan
menyebut ‘auzubillahi mina syaitonirrojim’ supaya dapat berlindung
daripada hasutan iblis yang sering memperdayakan manusia,” katanya.
Mohd Fakhrurrazi berkata, bagi pesalah yang melakukan amalan khurafat
itu, mereka perlulah segera bertaubat dengan sebenar-benarnya.
“Pemakai susuk perlu membuang bahan yang dimasukkan itu ke dalam
mana-mana anggota badan. Rawatan ini boleh didapati daripada mana-mana
pengamal perubatan alternatif yang diiktiraf dan berpengalaman.
“Akidah pesalah juga perlulah dibimbing semula oleh pembimbing yang
diiktiraf seperti dari Jabatan Mufti negeri yang mempunyai bahagian
pemantapan akidah yang mampu menjalankan tugas berkenaan.
“Di sinilah hikmah mengapa kita seringkali mengulangi bacaan surah
al-Fatihah memohon supaya sentiasa dibimbing ke arah jalan yang lurus,”
katanya
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Sila Tinggalkan Komen Disini