Halalan taiyyiban perlu penuhi setiap amalan baik digariskan Islam
HALALAN taiyyiban adalah kaedah yang terbukti memberi manfaat untuk
meraih kejayaan serta keberkatan sumber rezeki umat Islam, juga kepada
bukan Islam. Ia kaedah menyeluruh yang boleh diguna pakai dalam semua
urus tadbir pemakanan, produk, perbankan dan perkhidmatan.
Namun, perkataan halal sering dikaitkan dengan makanan khususnya
dalam aspek sembelihan atau sama ada mempunyai logo halal sedangkan
kaedahnya sangat menyeluruh dan luas meliputi sumber, proses dan hasil
usaha.
Wahai sekalian manusia! Makanlah dari apa yang ada di bumi yang halal
lagi baik dan janganlah kamu ikut jejak langkah syaitan; kerana
sesungguhnya syaitan itu ialah musuh yang terang nyata bagi kamu. –
Surah al-Baqarah, Ayat 168
Dari sudut hukum, halal memberi maksud apa yang dibolehkan oleh
syarak. Menurut Imam Nawawi, baik atau taiyyiban bermaksud suci dan
bersih dari segala keburukan amal seperti riak, sombong, angkuh,
kecuaian, pecah amanah, penipuan, penyalahgunaan kuasa, rasuah dan
sebagainya.
Seseorang pernah bertanya kepada Ibn Abbas, bagaimana hasil kerja
yang dilakukan dengan penganiayaan dan mengambil yang haram, kemudian ia
mengerjakan haji, memerdekakan hamba dan bersedekah. Adakah itu dapat
menyucikan harta yang diperoleh.
Ibn Abbas menjawab dengan tegas dan ringkas: “Sesungguhnya yang kotor
tidak menghilangkan yang kotor.” Jawapan ini menunjukkan kualiti amalan
zahir dan batin yang amat dititikberatkan walaupun rukun serta syarat
sah amalan telah dipatuhi.
Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Dan sesungguhnya Allah
memerintah orang mukmin dengan apa yang Ia perintahkan kepada sekalian
rasul. Maka Allah SWT berfirman: Hai sekalian rasul! Makanlah dari
segala yang baik yang telah direzekikan kepada kamu. Kemudian ia
menyebutkan seorang lelaki yang jauh perjalanan, kusut rambutnya lagi
berdebu mukanya menghulurkan dua tangannya ke langit (berdoa): Hai
Tuhanku! Hai Tuhanku! Padahal makanannya haram, dan mulutnya disuapkan
dengan yang haram, maka bagaimanakah akan diperkenankan baginya?” (Hadis
riwayat Muslim)
Firman Allah SWT bermaksud: “Wahai sekalian manusia! Makanlah dari
apa yang ada di bumi yang halal lagi baik dan janganlah kamu ikut jejak
langkah syaitan; kerana sesungguhnya syaitan itu ialah musuh yang terang
nyata bagi kamu.” (Surah al-Baqarah, ayat 168)
Antara sahabat Rasulullah SAW yang amat menitikberatkan sumber rezeki
halal dan cara membelanjakan atau menggunakannya ialah Saad Abi Waqqas
yang diriwayatkan berkata: “Aku tidak pernah mengangkat mulutku sesuatu
makanan melainkan aku tahu dari mana datangnya dan dari mana pula
keluarnya.”
Hal inilah yang diberi penekanan oleh Ibn Hajar al-Haitami dalam
penjelasan hadis di atas iaitu Allah SWT tidak menerima sedekah daripada
hasil haram kerana yang bersedekah telah mengambil hak dan menzalimi
orang lain.
Konsep halalan taiyyiban adalah kefarduan yang mesti diperluaskan dan
difahami sebagai kunci piawaian kualiti Islam termasuklah dalam konteks
perkhidmatan.
Tujuh kitaran halalan taiyyiban dapat memastikan kelangsungan usaha menjadi ibadat dan berkat.
Daripada Jabir Abdullah, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:
“Wahai Kaab bin ‘Ujrah Sesungguhnya seseorang tidak akan masuk syurga
jika terdapat daging yang tumbuh di dalam tubuh badannya daripada sumber
yang haram.” (Hadis riwayat Ad-Darimi)
Justeru, dalam perkhidmatan, halal atau niat yang baik kerana Allah
SWT, jujur dan bersih mengelak daripada sifat khianat, prejudis,
prasangka serta bangga diri.
Halal matlamat bukan sekadar jelas, baik, boleh diukur, dicapai dan
bermanfaat tetapi bebas daripada unsur yang boleh mendorong kepada
penindasan, sabotaj, serta kepentingan peribadi. Halal sumber bermaksud
diperoleh dengan berintegriti tanpa penipuan, rasuah, suapan, salahguna
kuasa.
Halal proses dan operasi selain mempamerkan persekitaran tempat kerja
yang bersih, ditekankan ialah halal dan baik berteraskan nilai seperti
cermat, teliti, cekap, cepat, telus, mesra, bersungguh, konsisten dan
tanpa kesilapan berulang serta tidak meninggalkan solat kerana bekerja.
Halal penilaian bermaksud dibuat dengan seadil yang mampu,
menyeluruh, mengikut peraturan dan prosedur. Halal pengeluaran bermaksud
memenuhi spesifikasi dan matlamat disasar tanpa kecacatan atau kecelaan
produk, kos berpatutan, tanpa pembaziran serta eksploitasi.
Keseluruhan kitaran halalan taiyyiban menatijahkan pencapaian yang
halal lagi baik iaitu bukan sekadar pada ukuran keuntungannya tetapi
hasil usaha benar, jujur, beramanah, bermanfaat serta memenuhi kriteria
pencapaian.
Justeru, pemakaian sebenar konsep halalan taiyyiban dalam semua
urusan perlu dihayati untuk mencapai kualiti menyeluruh yang diberkati
di dunia serta diberi ganjaran di akhirat kerana Rasulullah SAW bersabda
yang bermaksud: “Sesungguhnya Allah itu baik, Ia tidak menerima
melainkan yang baik.” (Hadis riwayat Muslim)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Sila Tinggalkan Komen Disini